MoU untuk tempoh enam tahun itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail manakala GSM diwakili oleh Presidennya, Rasid Jaapar, di Pejabat Pendaftar, Bangunan Canseleri, UMK Bachok, dekat sini, hari ini. 

Noor Azizi berkata, kerjasama itu turut merangkumi program penyelidikan dan akademik; pembangunan bahan-bahan saintifik; penerbitan dan maklumat; penganjuran seminar, bengkel, persidangan dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.

Beliau berkata, inisiatif itu seiring dengan hasrat pihaknya untuk menguatkan dan memperkukuhkan keupayaan di dalam bidang pengantarabangsaan dengan mengambil pelbagai langkah bagi meningkatkan kecemerlangan akademik dan kualiti penyelidikan.

“UMK membina hubungan dan rangkaian dengan GSM yang merupakan persatuan yang aktif mempromosikan kemajuan sains bumi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang bertepatan dengan bidang pengajian yang ditawarkan oleh Fakulti Sains Bumi (FSB),” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan, dekat sini, hari ini.


Noor Azizi berkata, UMK juga sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pas Kelantan untuk memajukan industri sumber mineral bagi meningkatkan hasil kekayaan bumi demi manfaat kerajaan dan rakyat di negeri ini.

Menurutnya, UMK mempunyai kepakaran yang mencukupi dan bersedia untuk memberi bimbingan, tunjuk ajar dan nasihat mengenainya.

“Antara hasil bumi yang terdapat di Kelantan ialah emas, batu marmar dan batu permata yang terletak di kawasan hulu Kelantan termasuk di Gua Musang dan Jeli yang bernilai tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Rasid ketika ditemui berkata, kerjasama itu dapat membantu menyelesaikan serta menanggani beberapa krisis berkaitan dengan sumber alam dan isu air.

“Kelantan bukan sahaja terkenal dan kaya dengan budaya tetapi juga sumber asli serta kepelbagaian geologi dengan morfologi dan landskap karstik batu kapur serta marmar di Gua Musang.

“Sumber semulajadi ini bukan hanya boleh diekploitasi sebagai bahan-bahan binaan dan sumber mineral tetapi juga boleh dijadikan eko dan geopelancongan jika berjaya dimafaatkan penduduk setempat.

“Contohnya, di kompleks migmatite Strong di pergunungan Stong yang terletak di antara pekan Kemubu dan Dabong amat menarik jika dijadikan Geopark Kebangsaan dengan menggunakan keretapi sebagai pengangkutan utamanya,” katanya. - UTUSAN ONLINE