Naib Canselor UMK, Prof. Ts Dr. Noor Azizi Ismail berkata, kebanyakan pelajarnya adalah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) iaitu 6,382 orang daripada kira-kira 8,500 pelajar.

Beliau berkata, jumlah itu termasuklah pelajar yang dikategorikan sebagai asnaf iaitu lebih 1,000 pelajar apabila ibu bapa mereka mempunyai pendapatan bulanan kurang RM1,000.

“Pihak universiti berusaha membantu setakat yang kita boleh sebab itu kita perlukan sokongan ramai pihak terutama syarikat korporat.

“Antara usaha terkini universiti adalah memberi bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 seorang kepada 200 pelajar malah kita juga menyediakan elaun bulanan kepada 10 pelajar asnaf sebanyak RM300 sebulan sehinga tamat pengajian.

“Kita turun meninjau sendiri hingga ke rumah keluarga pelajar dan ada yang kita dapati hidup mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Iftar dan Solat Tarawih Tengku Mahkota Kelantan bersama Pimpinan Pelajar IPT, Pelajar Maahad Tahfiz al Quran dan Darul Aitam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini semalam.

Pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra menyerahkan zakat Maik dengan jumlah keseluruhan RM140,000 kepada tujuh IPT di negeri ini yang akan diagihkan kepada pelajar asnaf di kampus masing-masung.

Selain UMK, turut menerima sumbangan zakat adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang; Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM); Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM); Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias); Politeknik Kota Bharu (PKB) dan Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt).

Sementara itu, Noor Azizi berkata, pihaknya pada minggu lalu juga telah menerima sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM210,000 daripada tiga syarikat korporat iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB) dan Maybank Berhad bagi membantu pelajar asnaf di universiti itu. - UTUSAN ONLINE