UKM menerusi kenyataan memberitahu, lawatan yang diwakili oleh Menteri Pendidikan. Dr. Maszlee Malik dan Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor ke kedua-dua buah universiti tersebut baru-baru ini telah berjaya membuka peluang kerjasama yang dianggap begitu bersejarah.

“Sebagai sebuah universiti yang berada dalam kedudukan 30 tertinggi dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings, Universiti Peking telah menyatakan minat untuk mempelajari bagaimana pendidikan di Malaysia dapat memberi penekanan terhadap nilai-nilai yang mempromosi keamanan dan keharmonian dalam masyarakat yang pelbagai.

“Dalam lawatan itu juga, Pengerusi Universiti Peking, Qiu Shuiping telah memberi isyarat untuk memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kedua-dua buah universiti yang meliputi bidang pengetahuan yang berkembang pesat serta kerjasama dalam bidang penyelidikan,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Universiti Tsinghua turut menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan UKM terutamanya dalam mempromosikan hubungan yang lebih kukuh di antara China dan Malaysia.

“Universiti Tsinghua juga berminat untuk melaksanakan program dwiijazah dan ijazah bersekutu bersama UKM selain bersetuju mengenai kepentingan untuk mewujudkan hubungan organik antara kakitangan dan pelajar kedua-dua universiti.

“Usaha ini juga dapat mempercepatkan usaha dalam membina masa depan pelajar Malaysia selain kerjasama masa depan di antara Malaysia dan China terutama di bawah rangka kerja inisiatif ‘Belt and Road’,” katanya. -UTUSAN ONLINE.