Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, sehingga kini, empat kampus UiTM menerima pengiktirafan blue ribbon daripada Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat).

“Kampus-kampus tersebut ialah UiTM Cawangan Perlis yang telah menerima pengiktirafan ini semenjak 2015, diikuti UiTM Cawangan Kedah (2016), kemudiannya UiTM Cawangan Melaka (2017) dan terkini UiTM Cawangan Pahang, tahun lepas.

“Kempen blue ribbon diperkenalkan bagi mengiktiraf dan sebagai tanda penghormatan kepada organisasi yang memberi sumbangan penting dalam usaha melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok melalui usaha advokasi ke arah mewujudkan 100 peratus kawasan bebas asap rokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, usaha tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau 2015-2020 yang menyokong Artikel 8, The World Health Organisation Framework Convention on Tobacco Control bertajuk Perlindungan Daripada Pendedahan Kepada Asap Tembakau.

Beliau menambah, sehubungan itu, UiTM akan lebih agresif untuk memastikan kesemua 36 kampusnya di seluruh negara adalah bebas asap rokok.

“UiTM merancang untuk menubuhkan jawatankuasa bagi tujuan penguatkuasaan melibatkan pegawai-pegawai dari semua kolej kediaman, fakulti, bahagian dan kampus serta memastikan penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar.

“UiTM juga sedang dalam fasa terakhir menyediakan polisi dan peraturan sebagai panduan kepada semua warga. Penguat kuasa rasmi di dalam kampus akan dilantik dan audit dalaman turut dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya. - UTUSAN ONLINE