Kejayaan di Jerman itu susulan daripada kemenangan manis di Poland apabila pasukan koir Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menang tiga emas dan dua anugerah khas.

Dr. Masashi Kishimoto (dua dari kiri) menunjukkan pingat kemenangan  UiTM Chamber Choir di 11th International Johannes-Brahms Choir Festival & Competition yang berlangsung dari 3 hingga 7 Julai lalu di Wienergerode, Jerman. 

Namun, pertandingan di Jerman lebih besar di mana sebanyak 45 kumpulan koir dari 17 buah negara bertanding antaranyadari Belgium, Bolivia, China, Hong Kong, Taiwan, Denmark, Jerman, Faroe Islands, Israel, Latvia, Poland, Romania, Russia, Sweden, Hungary dan Malaysia yang membabitkan lebih kurang 1500 orang peserta koir.

Di sebalik cabaran hebat itu, UCC membuktikan keunggulan mereka apabila memenangi dua kategori Mixed Choir dan Folklore, sementara UiTM Women's Chorale (UWC) pula memenangi Special Prize for Outstanding Stage Performance untuk lagu pertandingan 'Ikimilikiliklik' dan Anugerah Khas Penonton secara undian para penonton selama tiga hari pertandingan.

Apa yang paling mengejutkan adalah anugerah Outstanding Performance, UWC telah berjaya menambat hati juri daripada semua persembahan oleh kumpulan koir yang betanding dan memberi pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Juga tiada koir lain yang mendapat empat anugerah sekali gus.

Johannes Brahms adalah nama komposer terkemuka Jerman dan pertandingan kali ini adalah yang ke-11 Festival setiap dua tahun sekali ini di adakan.

Kontinjen UITM Chamber Choir yang menyertai 11th International Johannes-Brahms Choir Festival & Competition yang berlangsung dari 3 hingga 7 Julai lalu di Wienergerode, Jerman. Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin (paling kanan).

UCC telah mempersembahkan sebelas buah lagu bagi keseluruhan pertandingan tersebut.

UCC telah ditubuhkan sejak tahun 2015 oleh Pensyarah Kanan' Dr. Masashi Kishimoto.

Kumpulan koir ini telah mengharumkan nama UiTM sekali gus nama Malaysia dimata dunia dengan membuat pelbagai persembahan dan menjadi juara di pelbagai pertandingan di dalam dan luar negara.

Antaranya ialah, 4th Bali International Choir Festival (2015), 30th Praga Cantat 2016 di Prague, 2nd Kalamata International Choir Competition di Greece (2017) , Musica Eterna Roma International Choir Festival & Competition di Italy (2018), Malaysian Choral Eisteddfod (2016-2019) dan pelbagai lagi.

Kesemua 30 ahlinya adalah terdiri daripada pelajar dan alumni Fakulti Muzik UiTM. Terdiri daripada pelajar program diploma sehingga ke ijazah sarjana, ahli UCC telahpun memulakan latihan intensif semenjak akhir tahun 2018 lagi.

Pasukan koir UiTM itu telah berlepas untuk siri jelajah dunai mereka ke Poland, Jerman dan Austria pada 27 Jun lalu diiringi oleh Dekan Fakulti Muzik, Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin.

Kumpulan UCC akan berada di Eropah sehingga ke 13 Julai ini. Mereka juga bakal membuat persembahan di Austria pada 9 Julai 2019 sebelum pulang ke tanah air. - UTUSAN ONLINE