Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin menegaskan, pihak terbabit perlu rasional dan tidak terbawa-bawa dengan sentimen sempit perkauman.

“Tidak ada sebab untuk membantah kerana cadangan pembelajaran berkenaan memandangkan subjek hanya diajar lima atau enam kali sahaja dalam tempoh setahun dan hanya enam muka surat daripada keseluruhan 156 muka surat buku teks diperuntukan.

“Pelajaran seni khat juga tidak diwajibkan dan tidak masuk dalam peperiksaan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) sebelum ini menentang pelaksanaan tulisan Jawi dan seni khat selain tampil menafikan akan menganjurkan satu perhimpunan membantah dasar itu pada Isnin ini.

Ini berikutan penegasan Kementerian Pendidikan yang mahu meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan berkenaan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahun depan.

Abdullah berkata, jika ditelusuri berdasarkan piawaian pembelajaran, bakat dan kreativiti pelajar akan dapat dilatih seawal sekolah rendah dan secara tidak langsung dapat memupuk rasa cinta akan budaya warisan bangsa.

Sehubungan itu, Pas Johor akan terus menyokong pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan kerana tulisan khat mempunyai nilai artistiknya yang tersendiri dan para pelajar digalakkan untuk menghargainya.

Tambahan pula katanya, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan Bahasa Malaysia hendaklah menggunakan tulisan rumi dan tiada halangan untuk menggunakan tulisan Jawi.

“Pas Johor juga menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memutuskan pembelajaran tulisan khat ini akan diteruskan,” katanya. -UTUSAN ONLINE