NIK HAMDI ABDUL GHANI
NIK HAMDI ABDUL GHANI 

Pengetua SMUDA, Nik Hamdi Abdul Ghani berkata, seramai 130 pelajar tingkatan satu telah mendaftar manakala tingkatan dua (23 orang); tingkatan tiga (21 orang); tingkatan empat (20 orang) dan tingkatan lima (23 orang) menjadikan bilangan keseluruhan pelajar 217 orang setakat ini.

 Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana kemasukan pelajar adalah melebihi jangkaan malah lebih separuh daripada pelajar asal Mada tahun lalu telah mendaftar untuk menyambung pembelajaran mereka di SMUDA.
 
 "Bilangan pelajar Mada tahun lalu adalah 108 orang termasuk 26 orang yang telah selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi daripada baki 82 orang pelajar lagi lebih 50 orang sudah mendaftar semula dengan kami.

 "Pendaftaran sebenarnya telah ditutup bagi pelajar tingkatan satu kerana YIK menetapkan hanya empat kelas dibuka kepada mereka tetapi kita beri pertimbangan hari ini kepada beberapa pelajar luar Kelantan yang baru tiba.

SMUDA
 

“Kita juga masih membuka tempat terutamanya untuk pelajar tingkatan lain yang sebelum ini belajar di sekolah YIK yang agak jauh dari Pulau Melaka untuk berpindah ke sini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Perpindahan pengurusan Mada kepada pihak YIK pada pertengahan Disember lalu yang dibuat atas permintaan Keluarga Besar Nikmatillah menimbulkan kontroversi setelah mendapat bantahan daripada pengetua Mada sebelum ini, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, isu itu selesai apabila wakil kepada Nik Omar menyerahkan secara rasmi Mada kepada YIK pada 26 Disember lalu.

Sementara itu, Nik Hamdi berkata, guru-guru yang berkhidmat dengan Mada iaitu seramai 13 orang telah mengikuti temuduga dengan YIK dan penempatan mereka akan ditentukan selepas ini. 

Beliau berkata, setakat ini pihak YIK telah menempatkan lapan orang guru termasuk beliau sendiri bertugas ke sekolah itu dan sebanyak lapan orang guru lagi dijangka ditambah secara berperingkat pada minggu ini. - UTUSAN ONLINE