Rekod ini tercipta pada 24 Julai lalu namun pengiktirafan pencapaian tersebut telah diumumkan secara rasmi oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah Yeow Hooi baru-baru ini.

Majlis menandatangani sijil pengiktirafan MBOR itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek.

Pengetua SMK Puteri, Saadiah Saad berkata, jumlah peserta yang mengambil bahagian ialah sebanyak 770 orang terdiri daripada murid, pelajar dan guru SMK Puteri serta beberapa sekolah sekitar Seremban iaitu Sekolah Rendah Islam Seremban, Sekolah Menengah Islam Seremban, SMK King George V dan SMK Dato’ Shamsuddin Nain.

"Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib dipilih sebagai bahan bacaan untuk rekod tersebut. Ia mengandungi 358 muka surat dan dibahagikan kepada beberapa perenggan untuk dibaca oleh setiap peserta secara bergilir-gilir sehingga tamat.

"Pembacaan novel itu bermula pukul 7 pagi dan tamat pada pukul 3.40 petang. Pemilihan novel bertemakan sejarah ini selain memupuk budaya membaca juga diharap dapat menyemarakkan semangat cinta akan negara dalam kalangan murid seterusnya menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu," katanya ketika ditemui di sini.

Yang turut hadir, wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Pejabat Pendidikan Daerah serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Jamilah Katis.

Menurut Saadiah, setusan idea untuk melakar nama dalam MBOR adalah satu cabaran kepada warga SMK Puteri kerana rantaian bacaan sebuah novel ini merupakan rekod yang pertama dicipta di Malaysia.

Katanya, rekod ini diharapkan menjadi perangsang kepada warga SMK Puteri untuk terus cemerlang selaras dengan identitinya sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. - UTUSAN ONLINE