Kemenangan tersebut membolehkan pasukan yang diwakili seramai 25 pelajar itu membawa pulang Piala Naib Canselor UMT, wang tunai RM1,500 serta plak dan sijil.

Dalam persaingan melibatkan sembilan buah sekolah yang menjadi johan di peringkat zon masing-masing, tempat kedua disandang oleh Sekolah Seri Puteri Cyberjaya manakala SM Sains Muzaffar Shah pula di tempat ketiga.

Turut serta dalam pertandingan ini ialah SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, MRSM Baling, MRSM Pasir Salak, MRSM Gemencheh dan MRSM Kota Putra, Terengganu.

Bagi konduktor terbaik disandang oleh Arissa Hadirah Ahmad Zaimi dari Sekolah Seri Puteri sekali gus membawa pulang wang tunai RM100, plak dan sijil.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.

Yang hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Azman Othman; Penolong Pegawai Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kecemerlangan, Mohamed Azhar Mohamed Harith di samping Pengetua MRSM Kuala Terengganu, Ahmad Shariff.

Dalam penganjuran kali ini, UMT mengetengahkan tema ‘Oceans Priorities’ bagi membangkitkan kesedaran kepentingan menjaga dan memulihara kelestarian laut dan biodiversiti sempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang disambut pada 8 Jun setiap tahun.

Sementara itu, Nor Aieni Mokhtar dalam ucapannya berkata, pertandingan tersebut bukan sahaja memberi pendedahan berkaitan kepentingan melindungi biodiversiti marin, malah turut memperkasakan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah yang secara tidak langsung dapat memperkenalkan UMT sebagai universiti awam yang menawarkan bidang sains kelautan.

Katanya, sebanyak 69 SBP dan MRSM bertanding di peringkat separuh akhir pertandingan itu pada tahun ini.

“Ini bermakna UMT telah menyebarkan kempen kesedaran berkenaan pemuliharaan kelautan kepada 40,000 pelajar SBP dan 33,000 pelajar MRSM di seluruh Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE