Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz berkata, setakat ini, graduan politeknik telah mendapat perhatian dalam industri minyak dan gas; pembuatan dan perkilangan di Singapura, Vietnam, China, korea serta Timur Tengah.

Katanya, sebagai permulaan, kerjasama boleh dilakukan dengan syarikat-syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia.

“Setakat ini, lepasan politeknik sudah menjalinkan kerjasama dengan beberapa industri antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia seperti syarikat elektronik dan pelabuhan luar negara.

“Oleh itu, pelajar perlu menguasai bahasa asing sebagai persediaan untuk bekerja di luar negara. Kuasai bahasa di mana peluang pekerjaan wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu Kali Ke-32 Tahun 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah PKB, Kamaludin Daud dan Timbalan Pengarah Akademik, PKB, Azahan Daud.

Konvokesyen PKB ke-32 itu menyaksikan seramai 1,510 graduan menerima diploma masing-masing.

Dalam pada itu, Mohd. Ismail berkata, keboleh pasaran kerja bagi graduan PKB telah meningkat kepada 98 peratus tahun lalu berbanding 97 peratus tahun 2017.

“Usaha yang berterusan oleh warga PKB dalam merevolusikan bidang teknikal dan keusahawanan telah membuahkan hasil . Ini adalah pencapaian yang membanggakan ,” katanya. - UTUSAN ONLINE