Katanya, pengiktirafan itu turut menunjukkan kebanyakan liga utama di seluruh dunia sedang memberikan perhatian terhadap Liga Malaysia walaupun pihak media di negara ini kurang berminat mengenainya dan hanya bertumpu kepada isu-isu yang mampu melariskan jualan akhbar.

“Saya kecewa apabila ketika liga kita semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan tinggi serta penghormatan dunia (menerusi WFS), media-media (tempatan) pula hanya berminat kepada isu-isu negatif (demi) melariskan jualan akhbar mereka.

“Kami (MFL) sudah buat yang terbaik untuk liga kita sejak dua tahun lalu tetapi (sejauh mana pihak tempatan) menghargainya, masih belum jelas pada kami,” katanya selepas menjadi ahli forum WFS, ‘Potensi Liga Bola Sepak Asia Dan Cabaran Terhadap Pembangunannya’ di Pusat Konvensyen Sunway hari ini.

Kevin selain itu menganggap Liga Jepun yang diwakili oleh Pengerusinya, Mitsuru Mirai dalam WFS ini sebagai rakan kongsi karib Malaysia yang mampu membantu MFL dan Liga Malaysia dalam beberapa aspek kerjasama tertentu.

“Liga J juga telah diiktiraf dunia dan perkongsian aspirasi bola sepak dengan mereka meletakkan kita pada landasan yang betul. Kami juga boleh saling membantu dalam aspek tertentu yang bakal dikenal pasti kerana kita tidak mahu hubungan ini hanya bersifat sehala,” katanya.

Kata Mirai, liga di negaranya juga kerap menghadapi konflik dengan pasukan dan pemain namun kesemua pihak di sana sentiasa diingatkan tentang pentingnya mereka berkongsi satu visi jangka panjang yang membina. - UTUSAN ONLINE