Pengerusi Persatuan Penga­suh Pahang, Zubaidah Hussin berkata, kanak-kanak tidak perlu terlalu dipaksa untuk cepat pandai membaca atau terlalu awal menguasai akademik.

Katanya, usia enam tahun pertama adalah usia emosi mereka sedang berkembang dan cara terbaik adalah menerusi aktiviti bermain dan penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Cabaran mendidik kanak-kanak semakin besar yang mana mereka perlu didedahkan de­ngan nilai-nilai murni terlebih dahulu sebelum hal-hal akademik yang lain.

“Pendidikan akhlak adalah yang paling utama sebelum me­ngajar mereka membaca, menari dan berdikari kerana semua perkara bermula dengan akhlak,” katanya ketika berucap pada Karnival Kanak-kanak Warisan Dunia 2.0 anjuran Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS), Kolej Universiti Widad di sini, hari ini.

Karnival berkenaan bertujuan meneroka tentang keadaan pembelajaran dan pengalaman sebenar kepada pendidik Pendidikan Awal Kanak-kanak dan untuk mengenali sikap semulajadi kanak-kanak.

Menurut Zubaidah, tragedi ke­­bakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara baru-baru ini dan kejadian buli yang membawa kematian pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPMN) sebelum ini membawa kesan besar kepada masyarakat di negara ini.

Katanya, dua kejadian itu me­li­batkan golongan remaja yang menuntut di institusi pengajian tinggi dan kumpulan yang terjebak dengan penagihan dadah.

“Jika mereka memiliki akhlak dan nilai-nilai murni, kejadian seumpama ini tidak dapat dielakkan,” katanya.