Dua jaringan Alexandre Lacazette, selain satu gol menerusi Pierre-Emerick Aubameyang memberi bekalan terbaik buat Gunners apabila bertandang ke Sepanyol dalam aksi timbal balik, Khamis depan.

Anak-anak buah Unai Emery bagaimanapun cemas seketika selepas Valencia terlebih dulu membuka jaringan menerusi tandukan Mouctar Diakhaby seawal minit ke-11.

Namun begitu, Gunners tidak menunggu lama untuk bertindak balas apabila Lacazette meledak gol penyamaan pada minit ke-18 selepas menolak hantaran Aubameyang .

Jaringan tersebut nyata menaikkan semangat tuan rumah, dan pada minit ke-25, Lacazette akhirnya meletakkan Arsenal di depan selepas menanduk hantaran silang Granit Xhaka.

Ketika permainan kelihatan akan berakhir dengan keputusan 2-1, Aubameyang menceriakan penonton di Stadium Emirates apabila meledak gol ketiga Gunners pada waktu kecederaan.

Pada ketika peluang Arsenal untuk secara automatik ke Liga Juara-Juara musim depan agak sukar selepas menghuni tangga kelima Liga Perdana dengan dua mata di belakang Chelsea, menjuarai Liga Europa adalah jalan terakhir buat mereka untuk memburu tiket.

Kemenangan ini juga pastinya membangkitkan semangat Gunners sebelum dibenam 3-0 oleh Leicester dalam aksi domestik, Ahad lalu. - AGENSI