Itulah tujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Teratai, Ampang dekat sini, yang menganjurkan Program Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk secara gotong-royong di sekolah itu hari ini.

Menurut Yang Dipertuanya, Nor Diana Othman, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan untuk berkongsi rasa dan rezeki di bulan yang mulia ini bersama murid-murid dan warga SK Taman Bukit Teratai.

Beliau berkata, selain pihak ahli jawatankuasa PIBG, program itu juga melibatkan pihak sekolah yang diketuai oleh Guru Besar, Romzi Mohd. Ali, Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) dan komuniti setempat.

“Program ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan di antara PIBG dan sekolah.

“Menariknya, kos untuk program ini dikongsi sepenuhnya oleh guru-guru,komuniti dan orang perseorangan tanpa menggunakan dana PIBG,” katanya di sini hari ini.

Bubur lambuk PIBG
Nor Diana Othman (kiri) dan Guru Besar, Romzi Mohd. Ali mengagihkan bubur lambut kepada murid-murid dalam Program Memasak dan Mengagihkan Bubur Lambuk anjuran PIBG SK Taman Bukit Teratai, Ampang, hari ini. - UTUSAN ONLINE 

Nor Diana berharap program tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana ia memberi manfaat kepada murid-murid kerana ia secara tidak langsung mendidik mereka mengenali makanan tradisi yang popular setiap kali bulan Ramadan.

“Lucunya ada kalangan murid yg tidak mengenali bubur lambuk dan melalui program ini secara tidak langsung mereka mengenali makanan tradisi di bulan Ramadan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE