SYED ANUAR

Presidennya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad menegaskan, masyarakat Melayu beragama Islam di negara ini berasa sangat terhina apabila diperlakukan begitu sekali oleh mereka atau ‘orang luar’ yang tiada kaitan dengan Pendidikan Islam.

Beliau juga pelik dengan ‘campur tangan’ itu seolah-olah tidak ada seorang pun yang pakar dalam bidang berkenaan khususnya kalangan masyarakat Islam di negara sendiri.

Syed Anuar seterusnya menggesa Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik supaya segera membuat kenyataan rasmi dalam menangani kemelut itu bagi mengelak keadaan menjadi semakin meruncing.

“Kita (Alumni GPMS Kebangsaan) juga minta Menteri Pendidikan umumkan siapa panel yang dilantik bagi mengkaji subjek Pendidikan Islam.

“Menteri Pendidikan kenalah umum siapa sebenarnya yang menganggotai panel Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) yang ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bertujuan mengkaji sukatan subjek Pendidikan Islam,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam laman Facebooknya semalam mengenai pasukan petugas khas berkenaan bagi meneliti isu membabitkan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.

Syed Anuar menjelaskan, hakikatnya pihaknya menyokong usaha untuk mengkaji semula subjek agama Islam bagi tujuan penambahbaikan tetapi dengan syarat, ia dilakukan golongan pakar kalangan Islam dan bukan bangsa atau penganut agama lain.

“Saya sangat kecewa dan kesal kenapa ada bangsa lain yang kemukakan pandangan mengenai perkara ini, ini (subjek) bukan mata pelajaran Sejarah dan sebagainya tapi ini subjek agama Islam, bukan boleh dibuat main,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE