Sahara. Aku nyaris hilang rasional setelah bertemu dengannya. Dia mengubah aku menjadi lelaki melankolis yang sensitif lalu merajuk sendiri. Sahara persis haura syurga yang melonjakkan perasaanku tanpa aku pinta. Nafasku membeku. Membuatkan aku berdiri di atas muka bumi ini sebagai manusia yang tidak punya cukup nyawa. Aku terusan bertanya kepada diriku, adakah ini yang dinamakan cinta? Jika ya, maka aku harus cepat-cepat membunuh rasa ini. Cinta tidak harus maujud. Bunga tidak layak mekar di tangkai jantungku. Kerana aku sendiri masih belum menyukai bayang-bayangku.

Hari ini aku menopeng muka, lagi. Tidak seperti hari-hari sebelum ini, topeng kali ini agak menakutkan. Padahnya, aku digeruni. Pensyarah di dewan kuliah juga kaget dengan bentuk rupa topeng itu. Aku tiada niat. Juga tiada pilihan. Sementara bungkam, Sahara muncul di hadapanku. Dia berkurung dalam karungan hitam yang memenjara seluruh kepala dan tubuhnya. Hanya terlihat sepasang mata biru merak, yang tidak pernah gagal menggoyah imanku.

Mata asli perempuan kacukan Iran itu sudah lama ingin ku sapa. Namun, pesan Syeikh Yousuf selalu menangkis niat busuk itu. Lalu, ku biarkan sahaja angin silir-semilir membuai rambutku, meniup kerudungnya, sehingga dia membuka bicara.

“Mengapa kau memakai topeng?”

Aku terdiam. Lidahku terenjat. Wajahku dipenuhi gementar, cemas dan segala perasaan yang bercampur baur. Tetapi Sahara pasti tidak dapat menebak resah itu. Dia sekadar mampu memandang sebuah topeng dengan biji mata tersembul, barisan gigi yang besar melebar, wajah coklat kehitaman serta misai dan rambut yang berkeriting lebat.

“Kerana ini adalah diriku.” Jawabku ringkas. Aku mahu menguburkan sebuah tanda tanya.

“Tapi, kau kelihatan aneh. Topeng ini sungguh ngeri.” Sahara tidak menatap mataku.

“Namanya Topeng Kelana.” Bertambah segan untuk aku mengangkat muka setelah digelar aneh.

“Kau marahkan siapa, Magai?” Ah, persoalan Sahara terus menampar batinku.

“Ya, memang topeng ini melambangkan murka manusia. Tetapi aku tidak marahkan sesiapa.” Aku membias suara jiwa.

“Termasuk dirimu?” Sahara terus membunuhku dengan pertanyaan yang sukar.

Kali ini, kata-kataku terus mati. Sahara memaksa aku untuk mengaku suatu hal yang tidak perlu dia tahu. Pertemuan serampang dua mata kali pertama aku dengan Sahara, berakhir dengan perasaan seorang lelaki yang tersiat hebat. Benarlah, enggang sama enggang, pipit sama pipit.

***

Menurut kata politikus, kami tidak pernah dipinggirkan. Tetapi aku masih ingat, sewaktu kecil dahulu, aku jarang dipandang. Aku berjalan puluhan kilometer sepanjang jalan raya untuk pergi dan pulang dari sekolah. Tidak banyak kenderaan berhenti untuk menumpangkan aku. Aku yakin ia adalah kerana wajahku gharib di mata mereka. Akibat terlalu jauh berjalan, aku selalu merasakan ketingku ibarat tiang gol besi. Ia kurus dan kuat sekali.

Rakan-rakanku juga masih ramai yang enggan sekolah. Tiada apa yang seronok di sekolah. Hanya buku-buku yang wajib diulang baca, nombor-nombor yang perlu dihitung mengikut formula, juga bahasa asing yang berbunyi ganjil dan sukar diungkap. Guru-guru juga kekok. Guru-guru merasa mereka sudah memahami kami. Hakikatnya mereka belum. Mereka cuma berlumba-lumba mengkhatamkan silibus. Gara-gara itu, rakan-rakanku lebih suka bermain pacat di sungai, menyelongkar belukar serta berseronok dengan menjerat burung.

Aku tidak pernah percaya kata-kata politikus. Mereka muncul bermusim dalam hidupku, dalam hidup keluargaku, juga di hadapan orang-orang kampungku. Muncul mereka sekejap-sekejap, kemudian menghilang lama seperti kapal-kapal nelayan yang karam dek amarah alam. Namun ada satu hal yang kuat aku percaya, bahawa pendidikan boleh mengubahku, mengubah masa depanku, juga keluargaku. Dan aku juga telah berjanji kepada diriku bahawa aku tidak pernah akan memaksa sesiapa sahajaku melihat wajahku dengan pandangan ghalib.

Malangnya, tidak semua yang mengerti kepercayaan yang kugarap sendiri. Aku memeluk belakang emak sewaktu mahu meninggalkan rumah bambu kami. Emak sedang menidurkan adik bongsuku di atas ribanya. Pahanya digoyang-goyangkan agar adikku terasa dibuai. Emak langsung tidak berpaling memandangku. Begitu juga bapak yang berpura-pura sibuk menghidupkan dapur kayu di dapur, walhal tidak ada apa yang ingin ditanak. Aku sedar bahawa mereka masih belum mengerti mengapa aku memilih untuk berkelana.

Padahal sekolah bagi mereka, adalah berburu di tengah-tengah hutan tebal, menyelam di dasar sungai terdalam, bertarung dengan apa saja bentuk serangan haiwan dan alam, juga berhibur dengan gesekan ranting-ranting kayu yang mendekat di telinga sepanjang masa.

***

“Kamu pernah melihat wajahnya?” Suatu petang aku tanpa silu menyuakan soalan bodoh itu kepada Rohim, seorang mahasiswa Indonesia. Mata Rohim hampir terbelalak mendengar soalanku. Sambil mengurut-ngurut lembut janggut kambingnya, Rohim menggeleng. Namun gelengan itu tampak berat sekali.

“Wajah sebegitu jarang sekali dapat dilihat, Magai.” Rohim tersenyum pula kini.

“Sungguh bertuah sekali siapa yang dapat melihatnya. Kenapa? kamu mahu melihat wajahnya?” Akhirnya ketawa Rohim pecah di perut. Tidak lama Rohim kembali serius, melihatkan keadaanku yang tidak mahu bergurau.

“Magai, perempuan seperti dia tu ibarat bidadari syurga di mata kami. Persis Rabiatul Adawiyah yang zuhud, tiada cela dan sempurna di mata Maha Pencipta. Jarang sekali ditemukan perempuan-perempuan seperti dia sekarang. Suatu hari nanti, kamu akan percaya kata-kataku.” Rohim memandangku dengan pandangan amaran agar aku hentikan niat untuk melihat wajah Sahara, walhal bukan itu maksudku.

Lantas, setelah pulang ke kamar, aku banyak membuat carian di laman sesawang tentang erti dan makna di sebalik sehelai tabir hitam yang dipasang di wajah seorang perempuan bernama Sahara. Niqab, purdah. Rupa-rupanya tidak semua tentang tabir hitam itu mendamaikan. Terroris – khilafiyah – kewajipan – perdebatan yang panjang tentang sejauh manakah kewajiban seseorang perempuan memakainya ataupun tidak. Dan perdebatan itu kelihatan tiada kesudahan. Ah, aku bingung. Aku memaksa diriku berhenti berfikir tentang dia. Ya, tentang Sahara. Namun, semakin aku mencuba, semakin hatiku terkapar.

Jujurnya, jarang kutemukan perempuan seperti Sahara. Pada zaman anak muda lebih condong memilih imej Barat. Dan membiarkan diri mereka disihir gelombang Hallyu yang jelas bertentangan dengan prinsip Melayu. Saat generasi muda memakai seluar senteng bukan kerana Baginda tetapi kerana artis pujaan mereka. Sahara cukup berbeza. Dia mekar bak middlemist merah yang kian pupus. Suaranya jarang terdengar. Namun pandangan matanya mampu memabukkan sesiapa sahaja. Dan, akulah yang selalu menjadi mangsa.

Aku sering tertanya-tanya, mengapa seseorang itu harus menyembunyikan kesempurnaan? Padahal dengan kesempurnaan, mereka mampu raih bahagia. Aku tahu Sahara cantik. Cukup dengan mendengar suaranya di balik tabir kecil pada wajahnya, atau dengan panahan matanya yang tajam menyala. Aku tahu dia jelita.

Aku sendiri pernah curi-curi melihat kulit tangannya sewaktu dia rancak menulis di meja kuliah. Kulit itu halus sekali. Namun cepat-cepat aku mengutuk diriku sekeras-kerasnya, kerana aku langsung tidak berhak melihat dan memperkatakan tentang Sahara.

Cuma yang nyata, jikalau dia sudah sempurna, mengapa dia berselindung?

***

Politikus tidak berjaya merubah apa-apa di kampung kami. Kami hanya menjadi gumpalan objek yang melantun-lantun di udara, berasak dengan jirim dan graviti. Kami ditarik, disedut sedalam-dalamnya ke dalam keterpaksaan dan ketawa yang dibuat-buat, sedangkan hati kami tidak bahagia. Duit mungkin boleh memberi bahagia kepada orang kaya, tetapi bagi kami, duit hanya penyisih. Memukau dan melupakan kami kepada tanah asal kami. Sehingga kami tidak lagi istimewa di tanah sendiri.

“Prof., bukankah prof. pernah kata, bahawa semua manusia istimewa, dan ada hak keistimewaan ke atas tiap-tiap diri mereka.” Aku membetulkan topeng agar letaknya kembali tepat – di wajah.

“Benar, Magai.” Profesor Malaika sibuk membelek sebuah artikel bertajuk Implikasi Sosiologi Pemikiran George Herbert Mead tulisan Najeemah Mohd Yusof.

“Sama seperti yang tertulis dalam artikel ini.” Profesor Malaika mengutarakan semula apa yang dibaca. Sememangnya aku mengenalinya sebagai seorang yang cukup gemar berkongsi.

“Kalau tak keberatan, boleh Prof. ceritakan kepada saya?”

Profesor Malaika tersenyum. Senyum tipis terbit sepanjang masa. Senyum sempurna itu telah mengaburi kedut-kedut tua pada wajahnya. Kata beliau, orang yang senantiasa senyum akan kelihatan muda selalu. Dan beliau sendiri, berhasil membuktikannya.

“Mead menyatakan bahawa manusia adalah seorang pelaku yang berbeza secara radikal. Ia hasil tanggapan bahawa manusia mendominasikan psikologi dan sains sosial terkini. Apa yang menarik, Mead melihat manusia sebagai satu organisma tersendiri. Di mana pemilikan diri tersebut telah mengubah manusia menjadi pelaku yang sangat istimewa, mengubah hubungannya dengan dunia, dan membolehkannya bertindak unik.” Prof. Malaika menghulur artikel yang dikepil di dalam fail kertas putih. Aku menyambut dengan anggukan kecil.

“Manusia tidak lagi bertindak kerana faktor dalaman atau luaran, tetapi bertindak terhadap dunianya semata-mata, dengan cara mentafsir perkara yang sedang dia hadapi.

Misalnya, untuk mengatakan seseorang itu ‘ego’ haruslah melihat orang itu dalam keadaan situasi dia sedang berhadapan dengan perasaan ‘ego’ tersebut, dan bukanlah menyelarnya semata-mata sebagai seorang yang bersifat ego.” Aku memerhati artikel yang berada atas tangannya. Dia membaca sekilas.

“Bagaimana dengan perasaan marah?” Aku mahu terus tahu.

“Ya, sudah tentu seseorang itu tidak boleh dituduh marah, sehingga dia benar-benar berdepan dengan situasi yang boleh membuatnya marah. Marah itu juga proses. Ia tidak akan hadir semena-mena.”

“Bagaimana pula dengan rasa malu, prof.?”

“Itu lumrah. Tetapi rasa malu itu pasti terhasil daripada apa yang sedang dihadapi seseorang.”

Lama aku terdiam, sebelum menyambung semula.

“Saya rasa apa yang dikatakan Herbert Mead itu benar. Kesan malu, saya menopeng muka ini.” Entah dari mana, aku berani membangkitkan isu topeng pada wajahnya yang selama ini begitu sensitif untuk dibicara.

“Itu tindak balasmu yang semula jadi dan tepat, Magai.” Profesor Malaika seakan mengerti. Aku menelan saliva. Sebelum ini, aku langsung tidak pernah tahu bahawa ada orang yang akan setuju dengan tindakanku memakai topeng.

Prof. Malaika mula menekan papan kekunci komputer riba. Sedari itu, aku segera meminta diri. Dia mahfum bahawa pensyarah kanan Jabatan Sosiologi itu ditimbuni tugas. Sebelum beredar, Prof. Malaika menghadiahkan senyuman seorang ibu. Sementara aku menyambut senyuman itu di balik topeng berwajah kaku.

***

Hari ini hari terakhir aku di kampus. Aku memakai topeng Panji. Topeng ini seputih susu. Suci sekali. Bertahun lamanya aku berselindung di balik pelbagai jenis topeng. Sehingga aku dipilih menyertai kumpulan Tari Topeng sehingga adakalanya aku seakan dirasuk oleh roh yang tidak kukenal. Tidak mudah rupanya berselindung, sesukar mana ingin ku berterus terang kepada semua. Tetapi adakah ada manusia yang mahu mengerti?

Sahara tidak pernah muncul lagi di hadapanku, setelah aku memenuhi kehendak hatinya untuk melihat seluruh wajahku. Dengar khabar, dia sudah pulang ke negeri asal bapanya serta merta selepas tamat pengajian. Ibu bapanya menyuruh dia berkahwin dengan Dzulkarnain, lelaki yang memiliki sepasang mata hazel. Dia tidak pula membantah. Benarlah, enggang sama enggang, pipit sama pipit.

Namun setelah tiga tahun Sahara pergi. Suatu hari, sepucuk surat tiba di tanganku. Sahara menulis dengan tulisan separa miring.

Saudaraku, Magai.

Hari ini aku diceraikan oleh suamiku. Dia tidak tahan dengan nistaan orang sekelilingnya tentang aku. Terutama keluarganya yang begitu menyanjung nilai kecantikan. Yang mereka mahu, adalah sempurna. Namun setelah puas meratap wajahku sehari-hari, akhirnya dia mengalah bahawa dia tidak betah hidup dengan perempuan yang menderita Vitiligo. Lama aku meratap, sehingga cahaya Tuhan membangkitkan aku semula. Aku sesal, kerana dahulu aku selalu menyembunyikan wajah burukku ini di balik sehelai niqab. Kononnya, mahu dilihat sempurna. Akhirnya aku sedar, Tuhan tidak suka hamba-Nya menyembunyikan apa-apa. Lalu menurutku, tanggalkanlah topengmu. Biar tidak ada manusia yang mengerti. Sekurang-kurangnya, Tuhanmu tidak akan murka pabila kau berjalan ke mana saja dengan jiwa terbuka. Usahlah kau terluka kerana kau dengan mereka tak sama.

Saudaraku, Magai,

Segalanya cantik di mata Tuhan. Kita semua manusia sama saja. Lalu Batak juga manusia, bukan?

Salam dari kejauhan

SAHARA

  • Cerpen yang disiarkan adalah rekaan semata-mata. Setiap watak, tempat dan masa tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Sekiranya ada persamaan itu hanyalah kebetulan.

MAKLUMAN

PENULIS karya kreatif dialu-alukan menyumbang cerpen, puisi, ulasan buku dan rencana. Panjang cerpen lebih kurang 1,900 perkataan manakala rencana sastera dan ulasan buku 800 perkataan. E-mel karya anda kepada [email protected]