‘Sampai hati Mak Nab,’ getus kakak. Kata- kata Mak Nab tadi seolah- olah telah menyedut keluar seluruh tenaga yang kakak ada. Kakak menapak perlahan- lahan mengatur langkah kecil. Sakit kakinya akibat terpijak serpihan kaca pagi tadi tidak sesakit kata- kata Mak Nab. Kakak cuba menahan butir- butir jernih yang melonjak- lonjak untuk keluar daripada kedua- dua belah tubir matanya, namun kakak tidak berdaya.

Kakak mengutip kembali semangat yang telah hancur berkecai dan terus berlari dengan laju untuk pulang ke rumah selaju air mata yang mengalir di pipi. Kakak sudah tidak menghiraukan kakinya yang mencucuk- cucuk kepedihan. Apa yang kakak tahu, kakak ingin segera sampai ke rumah. Kakak hendak memberitahu mak apa yang Mak Nab cakap.

Air mata dan peluh yang menggelongsor turun daripada mata dan kepala kakak saling berlumba. Akhirnya kakak tiba di rumah dan terus menuju ke dapur kerana yakin bahawa mak pasti menunggu di situ.

“Mak, Mak Nab tak bagi ambil. Dia minta mak jelaskan hutang yang dulu baru boleh ambil yang baharu.” Kakak mengulang kata-kata Mak Nab dengan linangan air mata. Mak terduduk kesedihan. Sedih memikirkan apa yang mak hendak sediakan untuk makan tengah hari buat enam orang anak- anaknya. Sarapan pagi tadi mak hanya menyiapkan menu kampungnya iaitu gandum yang diletak secubit garam serta beberapa sudu gula dan digoreng dengan minyak yang sedikit. Cukup untuk mengalas perut sehingga waktu tengah hari.

Minda mak terbang mencari wajah ayah yang jauh di perantauan. Mak rindu untuk bercakap, bercerita dan meluahkan perasaan dengan ayah tetapi mak reda kerana ayah berada jauh daripada keluarga demi anak-anak dan diri mak yang sentiasa terpahat kukuh dalam hatinya.

Mak berpaling kepada kakak dan air matanya masih lagi mengalir. Mak kasihan kepada kakak. Walaupun kakak baru berusia sebelas tahun tetapi kakak telah memikul tanggungjawab yang cukup besar. Kakak seperti orang kanan mak yang membantu apa sahaja.

Selalunya setiap hujung bulan mak akan ke kedai Mak Nab untuk membayar hutang yang digunakan untuk membeli barang-barang dapur tetapi kali ini terlambat sedikit sebab ayah belum lagi menghantar wang belanja. Ayah selalu mengirimkan wang belanja melalui kawannya Pak Mail. Mak pun berasa hairan kerana ayah tidak pernah selewat ini. Paling lewat pun tiga hari tetapi, ini sudah lapan hari, namun mak berbaik sangka, mungkin ayah tidak sempat atau Pak Mail yang lambat datang menemui mak.

Ayah bekerja jauh di Kota Singa sebagai buruh binaan. Sudah dua tahun ayah mencurahkan keringatnya di sana setelah kepakaran ayah dalam membuat barang-barang perhiasan perak tidak dapat dilakukan lagi kerana mata ayah semakin hari semakin kabur. Sedangkan ukiran perhiasan perak ini memerlukan penelitian yang cukup tinggi untuk setiap satu ukiran.

Mak juga selalunya takkan mengambil secara hutang barang-barang dapur yang kecil jumlah harganya tetapi kebetulan Yang Maha Berkehendak aturkan untuk mak tidak mungkin mak tepis. Mak akur dan reda dengan-Nya. Duit yang mak simpan sedikit hasil mengambil upah mengupas bawang merah yang digunakan untuk membuat serondeng daging telah digunakan untuk membeli kasut sekolah kakak yang telah koyak teruk.

Mak bertuah kerana berjiran selang empat buah rumah dengan Kak Yam yang mengusahakan serondeng daging. Walaupun bayaran upahnya adalah lima puluh sen sekilo tetapi mak berpuas hati kerana mak mengupasnya dari rumah dan kakak jugalah yang mengambil dan menghantar bawang merah seberat lima kilogram setiap hari selama tiga hari seminggu.

Mak mengusap kepala kakak dengan lembut.

“Sudah, jangan menangis, ajak adik pergi main di luar. Mak Nab tak marah pun, dia bagi tahu je tu. Mak nak masak apa yang ada.”

Kakak memang tahu bahawa mak tiada satu apa pun bahan untuk dimasak sebagai lauk tengah hari nanti, sebab barang yang mak minta kakak belikan secara hutang adalah telur dan minyak masak. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang dan Maha Mendengar. Kakak terdengar suara jiran memanggil nama mak. Kakak meluru ke muka pintu.

“Nah, ambil gulai ikan keli ni bagi pada mak. Kak Jah buat lebih tadi.” Kakak menyambut pinggan yang berisi gulai ikan sambil mengucapkan terima kasih. Kakak terus membawanya ke dapur.

“Mak, Kak Jah bagi lauk.” Mak memandang muka kakak tanpa bersuara. Mak ambil daripada tangan kakak dan meletakkannya di atas meja makan. Cepat- cepat mak berpaling membelakangi kakak. Kakak tahu mata mak telah mula berkaca. Kakak meninggalkan mak di dapur kerana tidak mahu mengganggu mak.

“Kakak, ajak adik-adik makan.” Mak memanggil kakak sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan. Tanpa berlengah kakak mengajak semua lima orang adiknya. Kakak dukung adik bongsu yang berusia dua tahun. Mak mengatur lima pinggan nasi secara bulatan. Mak riba adik bongsu untuk menyuapkannya. Mak minta kakak ambilkan lauk untuk adik-adik yang lain.

“Lauk tu bahagikan sama rata ya kakak, biar semua dapat merasa.” Mak mengingatkan kakak. Kakak mengangguk faham. Mak suapkan dua orang adik-adik yang masih kecil.

“Mak tak makan sama?” tanya kakak sambil meletakkan lauk ke dalam pinggan nasi.

“Makanlah dulu, mak nak suapkan adik-adik. Nanti mak makan.” Mak mengutip beberapa biji nasi yang jatuh ke lantai. Mak selalu berpesan bahawa Allah marah kepada orang yang membazir dan mak cakap, nenek selalu mengingatkannya bahawa nasi akan menangis sekiranya tidak dikutip dan dibuang.

Mak melihat anak-anaknya makan begitu berselera sekali lauk yang diberi oleh Kak Jah, gulai kuning ikan keli yang dimasak dengan daun kaduk. Bau daun kaduk memenuhi ruangan dapur. Kakak amat menyukainya dan itu memang kegemarannya selain siput sedut yang dimasak dengan cara yang sama. Kakaklah orang yang akan memotong buntut kecil siput sedut sekiranya mak memasakkannya. Kakak memang mahir sebab sering bersama dengan nenek. Kakak tahu buntut siput yang tidak dipotong dengan betul pasti susah hendak menyedutnya, isinya tidak boleh dikeluarkan walaupun disedut dengan kuat.

“Mak, nak nasi lagi,” minta adik lelaki.

“Adik, tak payah la, nanti lambat pula nak siap. Tadi cakap dengan kakak nak main sorok-sorok,” pantas kakak memotong percakapan adik lelaki.

“Aah lupa la. Nanti kita main ya. Cepat, cepat makan.” Adik mengingatkan yang lain dan bergegas untuk membasuh tangan.

Semua menghabiskan makanan masing-masing. Tinggal kakak dengan mak. Mak masih lagi menyuapkan adik bongsu. Kakak bersihkan sisa-sisa nasi yang tumpah dan lapkan lantai dengan kain basah. Kakak basuh pinggan yang ditinggalkan adik-adik dalam sinki hingga selesai. Kakak membuka periuk nasi. Ya Allah. Hanya kerak yang tinggal. Kakak sebak. Kakak sudah dapat mengagak, apabila mak tidak makan bersama, pasti nasi itu cukup-cukup untuk anak-anak.

Kakak pasakkan pandangan ke arah mak. Mak masih tersenyum sambil menyuapkan adik. Hati kakak sekali lagi terluka. ‘Ayah.’ Suara kakak kelam rindukan ayah yang tiada di sisi.

Kakak sentiasa terkenangkan ayah yang selalu melayan kerenahnya dan adik- adik setiap kali pulang ke kampung. Ayah akan menggendong adik bongsu di belakangnya dan yang lain akan mengejar sambil ayah berlari anak. Terkekek- kekek adik bongsu ketawa. Kakak tersenyum sendirian apabila mengingati detik itu. Detik itu hanya berlaku tiga bulan sekali sahaja apabila ayah pulang dari perantauan.

“Assalamualaikum.” Kakak cam suara garau itu. Suara Pak Mail. Berbunga- bunga hati kakak menjawab salam.

“Mak ada?” Pak Mail bertanya sambil kepalanya menjenguk ke dalam rumah mencari- cari mak.

“Mak… mak… Pak Mail datang.” Kakak meluru mendapatkan mak yang sedang mengelap mulut adik. Riak wajah mak sungguh ceria apabila mendapat tahu kedatangan Pak Mail. Mak bergegas untuk bertemu Pak Mail.

“Kakak jaga adik ya kejap.” Kakak mengambil adik yang berada dalam dukungan mak. Kakak bagi adik minum air.

“Ya Allah Mail.” Kakak mendengar suara mak dari luar sana. Kakak segera meletakkan gelas pada tangannya dan meluru ke luar untuk mendapatkan mak. Kakak melihat mak menangis teresak- esak. Kakak mendengar mak menyebut nama ayah berulang kali. Kakak tidak tahu apa yang berlaku kepada ayah tetapi apa yang pasti kakak mendengar perbualan mak dan Pak Mail menyebut hospital dan kemalangan. Rupa- rupanya ayah telah terjatuh daripada bangunan setinggi tiga tingkat dan masih koma di hospital Johor Bharu.

Kakak terbayang tubuh kurus ayah yang terlantar di hospital. Kakak memandang wajah cengkung mak yang dalam kesedihan. Kakak terdengar suara adik- adik yang riuh bergembira di luar sana. Kakak tahu selepas ini kakak mesti lebih tabah, kuat dan tidak akan mudah menangis lagi.