Sekali pun angka jualan ini nampak besar, tetapi itu bukan realiti sebenar. Bagi industri perbukuan, nilai jualan itu tidak mendokong petunjuk positif. (Sejujurnya tiada data terperinci mengenai industri buku di negara ini).

Justeru, relatif artikel ini merujuk pada logik tanggapan. Namun, perpegang dan harga pasaran dan kadar cetakan yang realistik secara purata. Pada 2017, sebanyak 17,123 judul buku diterbitkan. Jumlah itu melepasi 50 peratus sasaran Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Sekiranya merujuk indeks standard satu peratus bagi per kapita 31 juta rakyat Malaysia, jumlah piawaian sebenar tahun 2017 ialah 31,000 judul.

Realiti julat pendapatan RM800 juta pula, kalau ditanggap secara ekonomi, jelas wujud kerugian sekitar 33 peratus lambakan buku tidak terjual setiap tahun.

Kalau ditanggap secara mudah, 17,000 judul dicetak pada kadar 3,000 salinan per judul dan dijual dengan harga purata RM20 senaskhah, nilai paling rendah ialah RM1.2 bilion. Justeru, daya beli mengalami defisit dana RM400 juta.

Maksud lainnya, setiap tahun, RM400 juta nilai buku dilempar ke dalam stor. Sekiranya RM400 juta lambakan ini berlaku pada tempoh lima tahun, nilai buku dalam stor mencecah RM2 bilion.

Jadi, tidak hairanlah, stok buku dalam stor melebihi jumlah buku dalam rak perpustakaan seluruh negara!

  • Ayuh raikan KL Kota Buku Dunia

Tahun depan, 2020 - tahun keramat bagi industri perbukuan. Kuala Lumpur pada 1 April akan diisytiharkan sebagai Kota Buku Dunia UNESCO. Pastinya warga buku berbangga kerana ibu negara tersenarai sebagai Kota Buku Dunia Ke-20 dan tahunnya pula 2020. Namun, fokus artikel ini merujuk pada realiti industri perbukuan negara.

Kalau sudah menjadi Kota Buku Dunia, kita perlu berusaha mencapai satu peratus judul bagi purata penduduk mengikut standard UNESCO. Ini bermakna 32,000 judul buku perlu diterbitkan.

Sekali lagi, kalau jumlah itu didarab harga purata RM20 senaskhah, dengan 3,000 cetakan per judul, total daya beli yang mesti diwujudkan ialah RM1.920 bilion. Sekali lagi berbalik pada data Mapoba, dengan daya beli hanya RM800 juta setahun, akan wujud kelompongan RM1.120 bilion!

Buku perkara paling membosankan untuk diperbualkan. Tahap bosan yang menyamai mentaliti majoriti rakyat Malaysia yang juga bosan membeli buku. Malah, forum ekonomi atau diskusi akademik mengenai masalah industri perbukuan juga bertaraf bosan. Barangkali kurang 10 kali dianjurkan dalam tempoh sepuluh tahun.

Buku bukan 10 pilihan utama keperluan hidup di negara ini. Malah, buku bukan juga 10 topik utama untuk dibualkan. Sikap yang sama diwarisi pemimpin, pentadbir dan masyarakat.

  • Mitos instafamous hedonistik

Terdapat banyak klan yang percaya, migrasi digital adalah penyelamat industri buku. Teorinya betul, tetapi praktikalnya naif. Wujud tafsiran, migrasi ke platform media sosial ialah melahirkan penulis instafamous. Kononnya, penulis selebriti akan dikejar peminat hingga ke kilang cetak.

Bagi klan ini, angka 32,000 dan lompong daya beli RM1.120 bilion bukan isu. Ekosistem industri bukan isu. Apa yang relevan ialah penulis perlu popular. Analisis klan ini mudah. Sekiranya ada 10 penulis dan 10 judul buku yang laris, ia bukti kaedah instafamous satu penyelesaian.

  • Kisah realiti empat penulis

Penulis pertama memaklumkan, telah menulis 350 judul buku dan 100 peratus ialah buku latihan peperiksaan. Itu fokus kerjayanya sejak 20 tahun lalu. Purata pendapatan RM150,000 setahun. Total pendapatan tentulah RM3 juta bagi tempoh dua dekad yang dihitung dengan purata 17 buku setahun.

Alhamdulillah. Secara tanggapan, penulis ini telah menjadi jutawan walaupun semua pendapatannya dihitung bagi tempoh dua dekad menulis.

Tanggapan kejayaan ini satu realiti mudah berdasarkan pencapaian menerbitkan purata 17 buku setahun. Serta pendapatan royalti purata RM150,000 setahun.

Penulis ini tidak lagi menumpukan pada penulisan buku sastera atau ilmiah. Tumpuannya hanya mengkaji dan sentiasa mengubah suai kandungan buku latihan Bahasa Melayu. Sasaran jualan ialah kepada calon peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Penulis kedua pula, membelanjakan RM20,000 untuk menerbitkan sendiri tiga judul buku sasteranya. Jumlah cetakan pula hanya 600 buah per judul. Namun, pulangan jualan hanya sekitar RM3,000.

Selebihnya, buku yang tidak terjual akan disedekah kepada rakan-rakan atau pembaca. Atau akhirnya, dibiarkan saja mereput dalam bilik stor di bawah tangga.

Penulis ketiga, memberikan empat judul buku kepada empat penerbit berbeza. Semuanya diterbitkan dan dicetak 1,000 naskhah. Sedihnya, total royalti per buku hanya sekitar RM800.

Namun, tindakan itu dianggapnya pilihan terbaik berbanding menanggung kerugian sekiranya buku dicetak dengan kos sendiri. Malah, niatnya menulis pun bukan kerana royalti. Seperti ribuan malaikat sastera yang lain, dia menulis demi kelangsungan sastera Melayu.

Malah, langkahnya dianggap lebih bijak berbanding menanggung kerugian lebih teruk sekiranya menerbitkan dengan kos sendiri.

Penulis keempat, lain pula kisahnya. Karyanya dijadikan buku teks SPM (2016-2020). Satu kebanggaan kerana cerpennya dijadikan bahan pembelajaran Komsas Bahasa Melayu.

Cuma realitinya, royalti yang dibayar penerbit hanya RM457 sahaja. Apabila ditanya, jawapan penerbit jelas dan mudah. Walaupun buku teks Komsas dicetak lebih 150,000 naskhah, itulah saja royalti yang mampu dibayar.

Realitinya, buku dan penulis di Malaysia sama malangnya seperti pelarian Rohingya. Nasibnya dikasihani hingga perhimpunan pembelaan yang dianjurkan berjaya mengumpulkan ratusan ribu demonstran.

Namun ironinya, nasib pelarian Rohingya di negara ini, berakhir dengan menjadi pengutip tin atau peminta sedekah di jalanan. Buku dan penulis di negara ini juga senasib warga hamba kukit hitam ketika era apartheid di Amerika Syarikat. Lebih 200 tahun dikerah menjadi buruh paksa sebelum menikmati kebebasan total dan mendapat hak mengundi pada 1966.

Justeru, harapan kita, sempena tarikh bersejarah pada 1 April 2020 ketika KL sudah rasmi bergelar Kota Buku Dunia UNESCO Ke-20, merdekakan segera buku dan penulis.

Buku tidak punya nyawa. Penulis pula tidak punya nyali. Namun, kedua-duanya punya jiwa. Itu pun ‘jiwa hamba’ sahaja. Apa pun, berdasarkan sejarah panjang industri perbukuan di negara ini, penulis telah membuktikan, malah terus membuktikan, mereka sentiasa tabah.

Tanggungjawab menulis terus dilaksanakan demi kelangsungan sastera dan bahasa. Itu perjuangan demi bangsa dan negara. Sama ada nasib penulis seperti pelarian Rohingya atau mangsa apartheid, buku demi buku tetap dihasilkan.

Karya besar tetap wujud pada setiap dekad. Walaupun purata buku berkualiti sangat terhad dihasilkan secara tahunan.

Penulis masih menulis dengan semangat yang tegar walaupun hakikatnya ia tugas yang tidak menghasilkan pendapatan. Penulis tetap tabah seperti pelarian Rohingya. Malah, sama tegar seperti kaum kulit hitam bangkit menentang apartheid.

Selamat datang KL Kota Buku Dunia UNESCO 2020. Sama ada gah atau tidak, atau nilainya sekadar retorik atau sarkastik, penulis berjiwa hamba tetap berjuang.

Apa sangat hendak pedulikan nasib sendiri. Sama ada setaraf pelarian atau mangsa diskriminasi. Penulis sejati tidak pernah merdeka hidupnya. Namun, kekal berjuang memerdekakan karya di dalam jiwanya!

Adoi! Jadi bersemangat pula. Namun, kesedihan tetap ada...