Azman hanya mendiamkan diri merenung kertas projek di hadapannya. Projek ini adalah masa depan sains. Untuk apa mereka membazirkan masa menceburi bidang sains jika tidak mencuba sesuatu yang baharu.

“Aku tetap nak teruskan projek ini.” Azman membalas ringkas. Dia tidak mahu berbalah panjang.

Hamdan bingkas bangun dan terus meninggalkan Azman. Pintu makmal dihempas kuat. Terbuku seribu kekesalan di dalam hatinya dengan keputusan . Azman. Dia tidak menyangka rakan baiknya itu membuat keputusan untuk melakukan projek yang dianggapnya mustahil dan hanya wujud dalam filem-filem Hollywood. “Tidak ada yang mustahil di dalam dunia sains.” Hanya itu kata-kata Azman setiap kali Hamdan menyanggah keputusannya. Azman terus menyambung kerjanya hingga lewat malam. Telefonnya berdering.

“Hello, Encik Azman Umar?” suara di hujung talian memulakan bicara.

“Ya saya. Kenapa ya encik telefon malam-malam begini?” Bagaikan orang hilang kesabaran dan adab sopan, Azman terus mengajukan soalan setelah menjawab soalan.

“Maafkan saya encik. Saya Inspektor Latiff dari ibu pejabat Sentul ingin memaklumkan bahawa rumah encik telah dipecahkan masuk tengah malam tadi.” Suara Inspektor Latiff agak tegas. Ya Allah! Fatihah! Jasmin!

. Azman terkejut. “Isteri dan anak saya macam mana?” saat ini fikirannya hanya terbayang wajah isteri dan anak tunggalnya sahaja. “Justeru saya pinta Encik Azman segera pulang dan melihat sendiri keadaan anak dan isteri encik...” belum sempat Inspektor Latiff menyudahkan bicara, talian diputuskan.

Dia bergegas keluar dari makmal hingga terlupa menguncinya dan berlari ke arah kereta yang diparkir berdekatan. Dalam keadaan serabut, dia meluru masuk dan memandu. Pemanduannya malam itu bagaikan seorang jagoan pelumba jalanan. Hatinya terus gelisah. Bibirnya bergumam menyebut nama anak dan isteri kesayangannya. Fatihah! Jasmin! Fatihah! Jasmin! Ya Allah selamatkanlah mereka!

*****

DUA buah kenderaan polis dan sebuah ambulans diparkir di hadapan rumah Azman. Azman terus memberhentikan keretanya berdekatan rumahnya dan terus berlari mencari anak dan isterinya.

“Encik, mana anak dan isteri saya? Apa yang dah berlaku encik?” Azman tercungap-cungap mengajukan soalan sejurus bertemu seorang pegawai polis. Dia ingin masuk ke dalam rumah, tetapi ditegah.

“Sabar encik. Dengar dulu apa yang saya ingin cakap.” Inspektor Latiff cuba menenangkan Azman sebelum menyambung bicara. “Saya harap encik bersabar. Rumah encik telah dipecah masuk kira-kira jam 1.30 pagi tadi. Berat untuk saya katakan, anak dan isteri encik telah dibunuh. Selebihnya kami menunggu hasil autopsi ke atas mangsa-mangsa. Saya harap encik terima hakikat pemergian ini. Maafkan saya.” Inspektor Latiff berbicara tenang. Dia tahu, amat sukar untuk menerima kehilangan orang yang tersayang. . Azman bagaikan hilang kekuatan lantas berlutut di atas bumi dan menangis teresak-esak. Dia menguatkan diri berjalan ke arah anak dan isterinya yang sudah dimasukkan ke dalam beg jenazah hitam. Dia menatap wajah mereka dengan penuh hiba.

“Kenapa tinggalkan abang Tiha? Min?” Tanyanya kepada tubuh yang tidak akan lagi disambungkan nyawanya.

“Sarjan, klasifikasikan kes ini sebagai rompak dan bunuh. Cari sebarang bukti. Ambil keterangan saksi. Sekarang!” Inspektor Latiff pantas mengarahkan anak buahnya menjalankan tugas.

Hamdan yang baru sahaja mendapat khabar buruk mengejutkan itu pantas berlari ke tempat kejadian. Azman dicarinya terlebih dahulu. Dia memaut bahu Azman. Cuba untuk menenangkan. “Sabar, Azman. Sabar.” Ucapnya tenang dan lembut.

“Fatihah...Jasmin...” . Azman terus menangis.

“Ini sudah takdir Allah. Bawa mengucap.” Rakannya itu terus-terusan berusaha menenangkan. Tatkala mayat-mayat itu diangkut oleh pihak polis ke dalam kenderaan milik polis, tangisan Azman terus sahaja memuncak.

*****

“AZMAN, kau dah fikir masak-masak nak gunakan mesin ini?” Hamdan menyoal Azman ketika mereka sedang menikmati minum petang. Dia hanya diam menikmati hirupan kopi.

“Ya.” Jawabnya seusai menghirup kopi. “Mesin ini ciptaan terulung aku, Am. Kalau dulu hanya wujud dalam filem-filem Hollywood sahaja, kali ini aku akan realisasikannya.” Katanya penuh bangga.

“Tapi kau pun tahu kan mesin itu tidak diluluskan lesen penggunaannya. Malah boleh merosakkan otak manusia. Mesin itu mempunyai kesan sampingan kepada pengguna. Dan siapa yang akan menjadi bahan ujikajinya?” Hamdan bagaikan tidak puas hati dengan jawapan rakannya itu.

“Mudah. Aku akan jadi bahan uji kaji. Aku akan mencubanya sendiri. Kalau kau nak ikut, tak ada masalah. Ada tempat khas disediakan.” Azman berseloroh. Sedari dulu lagi dia tahu rakannya itu memang tidak mahu dia meneruskan projek gilanya itu. Katanya, mustahil. Melawan takdir Tuhan. Tetapi baginya belum cuba belum tahu.

“Kita tak boleh melawan takdir Allah, Man. Kau nak ubah takdir, kau bukan Tuhan. Mesin itu juga bukan Tuhan.” Hamdan mengeluh.

“Salahkah aku ingin kembalikan Fatihah dan Jasmin? Lima belas tahun aku kesepian. Aku cuma nak mereka kembali. Itu saja. Aku bukan mahu mengubah seluruh dunia. Aku cuma nak keluarga aku. Tidak akan memberi kesan pada yang lain bukan?” Azman mematikan hujah Hamdan. Kali ini Hamdan terkelu.

“Tapi kau mengubah apa yang telah ditentukan Allah. Aku takut kau bukan sahaja hilang mereka, malah kau akan hilang segalanya. Lagipun penjenayah-penjenayah tu dah kena tangkap. Kau masih tak dapat terima takdir. Relakanlah mereka yang telah pergi. Berdoalah untuk mereka. Allah tahu apa yang patut ke atas hamba-hambanya. Tugas kita sentiasa beribadah kepada-Nya.” Hamdan cuba untuk menyedarkan Azman supaya sentiasa ingat kepada Allah. Segala yang ada di atas muka bumi ini berkehendak di atas kehendak Allah. Jika Allah berkehendak, maka jadilah ia. Begitu juga ajal dan maut, segalanya sudah ditentukan oleh Allah.

“Aku tetap dengan keputusan ini. Muktamad.” Azman tetap berkeras. Tua tubuhnya tidak bermakna lembut orangnya. Hamdan akur. “Baiklah. Tapi kau kena ingat, sains mestilah berpandukan agama. Bukan agama berpandukan sains. Aku tak nak kau menyesal kemudian hari.”

*****

MEREKA berdua sedang memeriksa sebuah mesin khas. Mesin ini terlihat seperti sebuah roket dan mengandungi dua buah balang kecil yang boleh menempatkan dua pengguna dalam satu masa. Mesin ini mampu mengekstrak memori si pengguna dan membawanya ke masa lampau. Si pengguna akan kembali ke waktu-waktu tertentu yang telah disetkan untuk melihat kembali situasi, bertemu orang-orang yang dikenali malahan mampu mengubah jalan memori tersebut. Dalam prakata yang mudah, mengubah takdir. Bertahun-tahun dia menyiapkan mesin ini semata-mata untuk mengembalikan anak dan isterinya yang tercinta. Dia akan cuba menyelamatkan anak dan isterinya dalam tragedi itu.

“Azman, sudah bersedia? Mesin akan beroperasi dua minit lagi.” Beritahu Hamdan.

“Aku bersedia.” Balasnya ringkas. “Kalau kau nak ikut sekali, masuklah dalam balang sebelah. Setidaknya ada juga aku teman.” Azman berseloroh. Walaupun dia tahu rakannya itu terpaksa, tetapi dia tidak mahu mendesak.

“Kalau terdesak, baru aku masuk. Ingat masa kau terhad. Jika tubuh mengalami hentakan, kau akan kembali ke dunia asal. Satu lagi, jangan ubah apa-apa perkara atau situasi kecuali menyelamatkan anak dan isteri kau.” Hamdan mengukir senyuman. Dia juga tidak mahu mencetus perbalahan jika sudah ini keputusan yang di ambil Azman.

“Baiklah.” Azman ringkas menjawab. Hamdan menyelaraskan waktu yang ingin ditembusi iaitu lima belas tahun ke belakang. Sejenis kapsul diberikan kepada Azman untuk mengurangkan kesakitan ketika proses memasuki ruang waktu berjalan.

“Sedia...mesin akan beroperasi dalam kiraan lima, empat, tiga, dua, satu.” Punat ditekan.

Dalam sekelip mata sinar cahaya putih memancar di ruang makmal. Hamdan yang tadinya sempat memejamkan mata, kini mengalih pandangan ke mesin. Azman telah hilang dalam balang kaca. Proses berjaya! Hamdan berdoa agar rakannya itu selamat.

*****

MATA Azman berpinar-pinar. Dia tertidur. Dia bingkas bangun dan menyambung kerjanya. Sesekali dia menggeliat memperbetulkan segala urat-uratnya yang tidak selesa. Dilihat sekeliling ruang makmal, Hamdan tiada.

“Mungkin dah balik tadi. Nampak gaya aku keseorangan je la.” Seraya dia mencapai telefon bimbit dan membuat panggilan.

“Hello abang. Abang balik tak malam ni?” Suara halus dan manja Fatihah terdengar di hujung talian.

“Maaf sayang. Abang tak balik malam ni. Esok abang baliklah. Baru satu hari tak kan dah rindu?” Azman berseloroh.

“Jasmin ni rindukan abahnya. Dah la jarang ada dekat rumah. Jangan sampai kami anak beranak mati baru abang ingat rumah.” Fatihah mulai tegas. Namun dalam tegasnya terselit kemanjaan seorang wanita.

“Apalah awak ni. Jangan sebut lagi mati-mati. Abang tak nak dengar.” Pantang sungguh bila dikaitkan tentang mati. Tetapi Azman cuba bersikap tenang dengan isterinya. Setelah selesai membuat panggilan, Azman bingkas bangun dan membancuh kopi. Setiap hirupan dinikmati sedalam-dalamnya. Kemudian dia menyambung tugasan.

“Selamatkan Fatihah dan Jasmin.” Azman tersentak. Fikirannya menerawang mencari tujuan asal. Tujuan asal adalah menyelamatkan Fatihah dan Jasmin daripada dibunuh! Lekas dia melihat jam dinding. 9.30 malam. Masih ada beberapa jam lagi sebelum insiden berlaku. Dia terus keluar mengunci makmal dan memandu kereta pulang ke rumah. Dia tidak mahu terlepas peluang keemasan ini.

*****

AZMAN memarkir keretanya sepuluh meter tidak jauh dari rumahnya. Dia hanya memerhatikan jam kereta. Ketika sudah melepasi jam 11 malam. Tiba-tiba tingkap keretanya diketuk.

“Azman, takkan duduk dalam saja.” Terpampang wajah Hamdan di luar kereta. Azman terkejut dengan kehadirannya.

“Ingatkan tak sudi cuba mesin tu. Ubah takdir Allah katakan.” Sempat lagi Azman menyindir sambil keluar dari kereta.

“Kita memang tak dapat ubah takdir Allah. Aku cuma nak tolong kau, kawan. Selamatkan kau.” Hamdan tenang membalas.

Azman tidak memahami kata-kata Hamdan. “Kenapa kau nampak pucat, Am?” Tanyanya kehairanan. “Tak ada apa-apa. Mungkin kesan proses tadi. Kepala, badan jadi sengal-sengal. Sudah, mari bertindak.” Hamdan terus melangkah. Azman hanya mengikut rentak langkah Hamdan.

Azman membuka pintu rumah perlahan-lahan. Dia sememangnya menyimpan kunci pendua. Mereka menyelinap bagaikan sosok pencuri. Hamdan menyorok di belakang sofa manakala Azman menyorok di balik dinding menghala ke dapur. Jam sudah mencecah jam 12.30 tengah malam. Ini bermakna dia harus menunggu satu jam lagi sebelum ‘tetamu’ tiba.

Tiba-tiba corong telinga Azman menangkap bunyi dari dapur. Kedengaran seolah-olah tingkap dapur diumpil. Perlahan-lahan kepalanya menjengah ruang dapur. Di balik tingkap, terlihat samar-samar sosok tubuh dua orang perompak bergerak masuk. Dia mengisyaratkan Hamdan supaya mendekatinya.

Setelah beberapa minit, dua orang perompak itu berjaya memecah masuk dengan mengumpil jendela dapur. Wajah mereka dilitupi topeng pemotong rumput. Setelah mereka merasakan aman, perompak-perompak tadi bergerak perlahan-lahan mendekati ruang tamu.

Azman dan Hamdan sudah bersedia untuk bertindak. Sebatang kayu penyapu menjadi senjata. Sebaik sahaja perompak-perompak itu melangkah ke ruang tamu, Azman pantas menghayunkan kayu penyapu ke salah seorang perompak. Tidak semena-mena seluruh rumah bercahaya. Fatihah dan Jasmin keluar dari bilik dalam keadaan terkejut.

“Abang? Ya Allah. Perompak!” Fatihah meluru mendapatkan anak perempuannya dan memeluk erat.

Akibat panik, seorang lagi perompak mengeluarkan pistol dan menghalakan senjata ke arah Fatihah dan Jasmin. Hamdan dengan pantas berlari ke arah dua beranak itu. Namun belum sempat sampai, satu tembakan dilepaskan dari arah berlainan. Tidak sangka perompak yang dipukul oleh Azman juga menyimpan pistol. Hamdan terus rebah menyembah bumi.

“Hamdan!” Azman bagaikan dirasuk apabila melihat rakannya ditembak. Dia memaut Hamdan.

“Diam!” Salah seorang perompak bersuara. Pistol yang dipegangnya masih diacukan ke arah anak dan isterinya. “Kalau tak nak nyawa mereka melayang, diam!”

Hamdan membisikkan sesuatu ke telinga Azman. Beberapa saat kemudian nyawanya terpisah dari jasad. Azman terus berlari mendapatkan perompak-perompak bersenjata itu. Dia terlalu marah. Azman merusuh dengan menundukkan badannya untuk menjatuhkan perompak-perompak berkenaan. Salah seorang daripada perompak itu mengayunkan buku lima ke perut Azman. Lantas Azman terduduk bersujud di atas bumi. Dia mengerang kesakitan.

“Kau nak sangat mereka mati kan?” Ancam salah seorang perompak.

“Jangan, tolong jangan apa-apa kan mereka.” Azman merayu.

“Dah terlambat.” Picu pistol ditarik.

Tidak semena-mena Azman merasakan perubahan terhadap tubuhnya. Dia sudah melepasi had. Mungkin akibat kesan tumbukan sebentar tadi. Bila-bila masa dia akan kembali ke masa hadapan. Penglihatannya sudah mulai kabur.

Dua das tembakan dilepaskan. Azman melihat susuk tubuh mungil anak dan isterinya menyembah bumi satu per satu. Dia menitiskan air mata. Ketika itu juga pandangannya gelap.

*****

AZMAN membuka mata perlahan-lahan. Kini dia kembali ke tubuh tuanya. Tiba-tiba dia terhidu bau asap. Bau itu terus-terusan menujah ke mukus hidungnya. Asap itu menyebabkannya sukar untuk bernafas.

“Tuan, ada orang di dalam makmal.” Satu suara kedengaran berhampirannya.

“Bawa keluar dan panggil paramedik.” Arah seorang lagi yang dipanggil ‘Tuan’.

Tubuh Azman yang tidak berdaya dipapah keluar dari makmal. Alangkah terkejutnya tatkala melihat asap berkepul-kepul keluar diselangi sambaran api sedang memakan tempat kerjanya.

Azman diberikan bantuan kecemasan. Dia masih bingung dan tertanya-tanya insiden tika itu. “Encik, apa yang berlaku?” Dia terus bertanya apabila salah seorang pegawai bomba melewati hadapannya.

“Maaf encik, makmal encik mengalami kebakaran. Berpunca dari litar pintas di makmal encik. Makmal encik terkunci sewaktu kebakaran berlaku.” Pegawai itu menjelaskan.

“Rakan saya? Dia selamat?” Lekas dia mengingati rakannya itu. Seingatnya Hamdan ditembak oleh perompak dalam dunia lampau. Jika ditembak, jasadnya pasti ada.

“Maksud encik, Hamdan? Beliau telah meninggal dunia dalam kebakaran. Dia meninggal dunia kerana pernafasan tersekat sebaik sahaja api mulai marak dan asap tebal akibat pintu makmal ini yang terkunci secara automatik. Jasadnya ditemui terbaring di hadapan pintu makmal.”

Azman beristighfar. “Maksud encik, tubuh Hamdan bukan dalam balang kaca? Ada kesan tembakan?” Azman terus bertanya. Kali ini dia betul-betul bingung.

“Maksud encik? Kami hanya jumpa beliau terbaring sahaja.” Terang pegawai itu lagi. Azman kehairanan. Kalau dia tidak menggunakan mesin, bagaimana dia boleh sampai ke masa lalu?

“Kau sudah melakukan kesilapan. Terima takdir ini dengan ikhlas.” Bisikan terakhir Hamdan membuatkannya terkesima. Kesilapan apakah yang aku telah lakukan?

Mata Azman terbeliak. Segar dalam ingatannya bahawa dia yang mengunci pintu makmal dari luar semasa berada dalam ruang waktu lima belas yang lalu. Sedangkan hakikat asal dia tidak mengunci pintu selepas mendapat panggilan daripada pihak polis. “Maafkan aku Hamdan.” Dia menangis teresak-esak.

Bagaimana Hamdan boleh berada bersamanya di ruang waktu lima belas tahun yang lalu sedangkan dia sudah mati awal? Kejaiban itu menjadikan dirinya kesal di atas kehendaknya yang melampaui batas. Akibat ingin mengubah takdir, dia telah mengorbankan orang lain.