Yuhanis berdiri di hadapan pintu bilik adiknya itu. Pintu diketuk, nama dipanggil, namun masih tidak berjawab.

“Adik... buat apa kat dalam bilik tu? Akak dah siapkan makan malam ni, jom makan sama-sama!”

Yuhanis memanggil lagi, dan seperti tadi, tidak berbalas. Pelik juga, takkanlah Syuhada tidak dengar, sedangkan dia berdiri di depan pintu. Beberapa minit menunggu, Yuhanis masuk ke bilik Syuhada.

Apa yang dilihat amat mengejutkan. Adiknya itu sedang duduk di atas katil sambil menghayunkan kepala yang ditundukkan. Badannya bergerak ke kiri dan kanan mengikut ayunan kepala.

“Astaghfirullahalazim, kenapa ni, dik, kenapa?” Yuhanis bertanya sambil memegang bahu adiknya itu. Sebaik sahaja tangannya menyentuh bahu Syuhada, adiknya itu terus ketawa.

“Hihihi… Kenapa? Kau terkejut?” Syuhada menoleh ke arahnya dan bertanya dengan suara seperti seorang nenek.

Yuhanis tersentak. Dia berundur beberapa langkah kerana sedar yang di hadapannya itu bukan lagi Syuhada. Ada sesuatu yang telah merasuk tubuhnya. Yuhanis berlari keluar dan meminta pertolongan rakannya untuk memanggil Ustaz.

Setelah dua jam Syuhada dirukyah, akhirnya makhluk yang menduduki tubuhnya berjaya dikeluarkan.

Yuhanis difahamkan ada orang yang berdendam dengan mereka, sehingga sanggup menghantar jin untuk mengganggu. Tujuan orang itu adalah supaya hidup mereka terseksa. Malang, mangsa pertamanya ialah Syuhada.

Siapa punya angkara? Ustaz itu merahsiakannya.

Yuhanis mendekati Syuhada yang terbaring di lantai dengan darah tidak henti-henti mengalir dari hidung dan mulutnya. Dia tidak menyangka ada orang yang berdendam dan sanggup menzalimi mereka.

PERTENGKARAN

Melihat Syuhada terbaring tidak bermaya, Yuhanis teringat kembali pertengkaran yang tercetus antara dia dan adiknya itu, beberapa minggu lalu…

“Syuhada! Apa yang kau buat ni adik?”

“Tak ada apa lah, kak! Orang setakat hisap rokok dan lepak dengan kawan aje pun! Apa masalahnya?” Syuhada melenting apabila disergah di hadapan kawan lepaknya, Afiq, di luar sebuah pasar raya berhampiran rumah mereka.

“Kenapa dengan kau ni, dik? Sejak arwah ibu meninggal, dah jadi tanggung jawab akak untuk jaga kau. Kita pun dah tak ada ayah lagi. Dah, mari ikut akak balik!”

Namun Syuhada enggan dan pergi mendapatkan Afiq.

“Kak… kalau adik akak ni tak nak balik, biarkan aje lah dia lepak sini dengan saya. Setakat hisap rokok je pun, bukan hisap dadah,” Afiq mencelah apabila melihat Yuhanis menyuruh Syuhada pulang.

“Kau diam! Aku tak pernah ajar adik aku merokok dan buat benda-benda tak senonoh! Kau jangan nak ajar adik aku buat perkara-perkara tak elok! Aku nak kau jauhkan diri dari adik aku, faham!” Yuhanis memarahi Afiq.

“Ingat! Kau jangan jumpa dengan adik aku lagi!” Yuhanis mengherdik Afiq, kemudian memberi amaran yang sama kepada adiknya itu.

Dia menarik Syuhada supaya mengikutnya pulang. Semakin kuat Syuhada membentak, semakin kuat genggaman Yuhanis pada lengan adiknya itu. Dia kemudian menolak Syuhada masuk ke dalam perut kereta lalu pergi meninggalkan Afiq sendirian.

Afiq hanya dapat memerhati. Marah dan sakit hati bercampur. Dia berasa malu apabila diherdik sebegitu hingga menjadi perhatian serta ditertawakan orang ramai yang lalu lalang.

PENEMUAN

Di bilik tidurnya, Yuhanis menatap gambar arwah ibu dan Syuhada silih berganti. Dia tidak menyangka pertengkaran itu menyebabkan Syuhada menghilangkan diri. Sejak meninggalkan rumah, Syuhada tidak pernah menghubunginya lagi.

Hari berganti hari, kini sudah dua minggu Syuhada tidak pulang ke rumah. Lebih membimbangkan Yuhanis, tiada sebarang tanda yang menunjukkan adiknya itu akan pulang.

“Maafkan Yuhanis ibu, kerana tak dapat mendidik dan menjaga adik dengan baik…” Yuhanis menangis sambil memeluk gambar ibu dan adiknya.

Sedang leka melayan perasaannya, tiba-tiba dia terdengar ada seseorang memberi salam dan mengetuk pintu rumahnya. Pantas Yuhanis menyimpan gambar tersebut ke dalam almari, kemudian tergesa-gesa berjalan ke pintu sambil mengesat air mata yang masih berlinang.

Sebaik sahaja membuka pintu, Yuhanis terkejut. Syuhada! Ya, adiknya balik! Syuhada sedang berdiri di depan pintu rumahnya. Tapi Yuhanis hairan, apa yang terjadi pada adiknya itu? Kenapa keadaan Syuhada tidak terurus, pakaian kotor, muka cengkung dan pucat.

“Kakak… Adik balik, kak. Adik rindu, kakak…” Syuhada memandangnya dengan wajah sayu.

“Ya Allah Syuhada, apa dah jadi dengan kau ni? Ke mana kau pergi selama dua minggu ni? Kakak risau dan rindu sangat kat kau, dik…” ujar Yuhanis sambil memeluk adik yang dirinduinya.

Walaupun Syuhada kembali dalam keadaan tidak terurus, Yuhanis tidak kisah. Yang penting adiknya itu sudah pulang dengan selamat. Yuhanis menyuruh Syuhada membersihkan diri dahulu sementara dia menyediakan makan malam. Dia tidak sabar hendak makan bersama Syuhada.

Ketika menyediakan makan malam, Yuhanis dengar pintu rumahnya diketuk dengan kuat. Segera dia membukanya.

“Ini Puan Siti Yuhanis, kakak kepada Hanis Syuhada ke?” soal seorang pegawai polis yang berdiri di hadapan pintu. Seorang lagi membawa fail di tangan.

“Ya. Ada apa ya encik?”

“Saya harap puan dapat bersabar. Untuk makluman puan, kami telah menemui mayat adik puan di dalam sebuah tasik. Adik puan dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke dalam tasik itu,” terang pegawai polis itu.

Yuhanis terkejut. Syuhada sudah meninggal? Ah, mustahil.

“Tak mungkin itu mayat adik saya. Baru sekejap tadi adik saya balik. Dia tengah mandi sekarang ini, encik,” ujar Siti Yuhanis tak puas hati.

“Tapi kami jumpa alamat pada kad pengenalan Hanis Syuhada dan kami ingin membawa puan ke bilik mayat untuk mengecam mayat tersebut. Sila ikut kami puan,” kata pegawai polis itu lagi.

Yuhanis enggan. Dia tetap bertegas mengatakan polis tersilap orang. Itu bukan mayat Syuhada, tapi mayat orang lain. Adiknya baru saja pulang dan sekarang sedang mandi di biliknya.

“Puan Yuhanis, kalau adik puan dah balik, cuba panggil adik puan keluar.”

Yuhanis begegas memanggil adiknya itu, namun tidak bersahut. Dia memeriksa bilik air, kosong. Bukan sahaja kosong, malah lantai bilik airnya juga kering.

“Adik! Adik!”

Dia memanggil dan mencari Syuhada ke sana ke mari, tetapi hampa. Adiknya memang tidak ada di rumah.

“Adik! Adiiikkkk!!”

Yuhanis memanggil berkali-kali, tetap sia-sia. Dia melangkah mengikut kedua-dua pegawai polis tersebut dengan linangan air mata.

PEMERGIAN

Setelah seminggu pemergian Syuhada, Yuhanis menerima panggilan daripada pihak polis memaklumkan pembunuh adiknya itu sudah dapat diberkas. Motif pembunuhan ialah sakit hati dan dendam kerana si pembunuh itu dipaksa menjauhkan diri daripada Syuhada. Dia juga berasa malu apabila diherdik di hadapan orang ramai.

Siapa yang membunuh Syuhada? Menurut polis, pembunuh itu ialah rakan lepak Syuhada sendiri, Afiq.

Siapa pula Yuhanis? Dia adalah sahabat saya dan tinggal di Ubi Avenue 1, Eunos, Singapura. Kejadian ini berlaku pada 2008 dan mayat Syuhada dibuang oleh Afiq ke dalam tasik Empangan Bedok.

(Anisah, Bedok North Road, Singapura.