Pernah sekali saya ditanya soalan ini oleh gadis itu. Dahi saya berkerut. Pelik mendengar soalan yang jarang sekali ditanya oleh orang namun pastinya pernah bermain dalam minda sesiapa pun. Saya mengambil seketul batu kecil lalu melemparkannya ke dalam tasik yang berada di hadapan saya kini. Seekor itik betina terlihat perlahan mengayuh dua kakinya di dalam tasik dituruti oleh anak-anaknya di belakang.

 

“Mengapakah bertanya soalan seperti itu?”

“Saya mahu hidup dengan lebih lama.” Bibir gadis itu membentuk lekukan seperti anak bulan. Anak bulan yang terlihat seakan suram. Kurang bercahaya. Matanya merenung ke arah saya, sekilas sahaja kemudian kembali merenung ke tasik hijau yang luas di hadapan kami. Kedua kakinya terlihat mula dirapatkan ke dada dan dipeluknya erat. Hamparan rumput hijau yang kering menjadi pilihan untuk kami duduk selepas sampai ke taman tasik ini.

Saya terdiam. Perkara itu mustahil. Mustahil bagi gadis itu kerana baru sahaja semalam dia menyampaikan berita mengenai sakit kronik yang dihidapinya kepada saya.

“Sejujurnya saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk hidup dengan lebih lama. Soal jodoh, hidup dan mati semua ditentukan oleh Tuhan.” Perlahan saya bersuara. Mata saya merenung wajah gadis di sebelah saya itu. Dia terlihat kemas bertudung litup berwarna merah kesumba, salah satu warna pastel kegemarannya.

“Tiga bulan. Tiga bulan sahaja lagi untuk saya hidup dan melihat dunia ini.”

“Tapi tidak semestinya. Keajaiban mungkin berlaku untuk kamu.”

“Kalau benar keajaiban bakal berlaku, mengapakah saya diberikan penyakit ini?”

Saya terdiam lalu melepaskan keluh perlahan-lahan. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab persoalan gadis itu. Kami diam untuk seketika, mendengarkan bunyi angin yang lalu menghembus lembut ke wajah kami. Langit petang melampiaskan spektrum warna yang menarik untuk dinikmati. Senja terlihat semakin memunculkan diri kerana terlihat warna lembayung sedikit terhampar di langit.

“Manusia sering benar mempersoalkan kenikmatan hidup yang dimiliki oleh mereka.” Saya bersuara setelah lama kami berdua mendiamkan diri. “Sebenarnya walaupun hidup ini hanya sekali, sepanjang perjalanan kehidupan kita, haruslah kita nikmati ia dengan sebaik-baiknya. Sesukar mana pun kehidupan yang kita tempuhi, pandanglah ia dari sudut yang maha indah dan murni.”

“Tapi tidak bagi mereka yang mempunyai kehidupan yang singkat...”

Saya menghela nafas, mengharapkan Tuhan memberikan kefahaman yang mudah bagi saya untuk menerangkan kepada gadis itu bahawa dunia ini tidaklah seburuk-buruk kehidupan yang disangka.

“Sesungguhnya yang singkat itulah lebih indah untuk dinikmati.” Saya mengujarkannya sambil melihat wajah gadis di sebelah saya itu. Dia merenung saya kembali seakan-akan menanti kata-kata saya yang seterusnya.

“Kamu tahu... apabila kita dapat tahu yang hidup kita ini singkat, kita akan berusaha untuk melakukan apa-apa sahaja yang pernah kita cita dan cintakan. Kita akan lebih menghargai segala perkara yang kita ada dan punya. Kita akan menghargai semua orang yang ada di sekeliling kita. Setiap momen kita bersama-sama mereka, akan kita perjuangkan untuk mencipta kenangan yang seindah-indahnya. Kerana apabila kita meninggalkan mereka, mereka hanya akan mengingat perihal yang indah-indah mengenai kita. Kita juga akan dapat meninggalkan mereka dengan rasa yang aman dan bahagia. Bahagia sebahagia-bahagianya.”

“Itu cuma kata-kata orang yang tidak pernah melihat keperitan hidup dan mengalami perasaan duka sahaja.” Gadis itu membaling sebiji batu ke dalam tasik di hadapan kami. Batu itu memercikkan kelok air yang membulat dan bergelombang.

Saya melihat burung merpati yang berterbangan di langit. Sesekali terdengar kicauan burung-burung kecil jua menjadi halwa buat kami. Nampaknya ketenangan tasik ini tidak dapat menyurutkan rasa kenafian terhadap bahagianya kehidupan dalam diri gadis itu. Saya perlu meyakinkan dia. Bahawa hidup inilah tidak sebegitu memeritkan. Ah, mungkin saya salah? Kerana saya tidak berada di tempat dia sekarang ini, kerana saya ini hanya pandai berkata-kata sahaja tapi tidak mengalami keperitan hidup seperti yang dialami oleh gadis itu.

“Kamu tahu... ibu dan ayah saya tidak mengetahui tentang penyakit yang saya hidapi ini.”

“Mengapakah kamu tidak memberitahu kepada mereka?”

“Saya merasakan jika saya memberitahu kepada mereka, pastinya saya hanya akan meninggalkan momen kesedihan sahaja buat mereka sehinggalah ke akhir hayat saya nanti. Saya tidak mahu itu. Saya tidak mahu melihat mereka dihurung rasa kesedihan dan kedukaan sahaja.”

“Mereka berhak untuk mengetahui,” ujar saya lembut kepada gadis itu. Saya memujuk dia. Benar, saya mahu dia menyampaikan khabar penyakit itu kepada keluarganya agar keluarganya dapat bersama-sama mencipta kenangan yang indah sementara hayat dia masih ada. Sekurang-kurangnya mereka berhak akan perihal itu.

Gadis itu menghela nafas berat. “Ia tidak semudah itu.”

“Tidakkah mereka itu keluarga kamu? Yang susah dan senang itu perlu dihadapi bersama-sama?”

“Tapi bukan untuk perkara ini.”

“Jadi, sehingga bilakah kamu akan menyembunyikan perkara ini daripada mereka? Sehingga kamu sudah tiada di dunia inikah?” Saya meluncurkan kata-kata tanpa memikirkan perasaan gadis itu. Dia terdiam kali ini. Bibirnya seakan-akan bergerak-gerak ingin menyatakan sesuatu namun tidak jadi apabila dia merenung wajah saya untuk kesekian kalinya.

“Jadi, bagaimanakah?”

“Bagaimana apa?”

“Adakah kamu akan menyampaikan kepada mereka?”

“Tidak. Saya memilih untuk tidak.”

Saya menghela nafas berat. Nampaknya pujukan saya tidak berjaya.

“Saya ada satu cita-cita yang ingin saya lakukan sebelum saya pergi.” Beritahu dia kepada saya setelah lama kami mendiamkan diri.

“Apakah dia?”

“Saya ingin ke Somalia. Saya ingin melakukan kerja-kerja amal di sana.”

“Demi anak bangsa di sana?”

“Ya, demi anak bangsa di sana.”

“Tidakkah di sini juga kamu boleh melakukan kerja-kerja amal. Di negara kita sendiri? Ada banyak mereka dan anak-anak yang memerlukan bantuan. Tidakkah dengan kamu menumpahkan keringatmu untuk negara ini terlihat lebih mulia? Kerana ia negara kamu. Tanah tumpah darahmu sejak kamu dilahirkan ke dunia ini.”

“Saya tetap menumpahkan keringat demi kesejagatan manusia. Ertinya lebih besar.”

“Hmm...”

“Lagipun saya mahu sekurang-kurangnya saya ini pergi dalam keadaan tidak diratap oleh keluarga saya. Biarlah saya dikebumikan di sana, jauh daripada keluarga saya.”

“Kamu tidak wajar melakukan sebegitu. Beginikah balasan kamu kepada mereka setelah bertahun lama kamu hidup bersama-sama mereka?”

“Kamu tidak faham.”

“Jelaskannya kepada saya. Saya akan mendengar.” Tegas saya. Dia merenung wajah saya. Mata coklat cair miliknya bergerak-gerak seakan-akan mencari sesuatu daripada wajah saya.

“Saya ingin melakukannya. Saya ingin mencapai cita-cita saya yang satu itu sebelum saya pergi. Saya tidak mahu meraikan rasa duka bersama-sama keluarga saya. Biarlah terdetiknya rasa bangga dalam diri mereka ke atas diri saya. Bahawa saya ini, anak mereka yang boleh disebut-sebut dan disanjung dengan sesungguh-sungguhnya kepada orang lain.”

“Kamu ini keras kepala, kamu tahu?”

Dia tersenyum mendengar kata-kata saya. “Ya, saya tahu... keras kepala seperti batu.”

“Batu yang besar. Sebesar batu Hajjar al-Hibla di Baalbek, Lebanon.”

Dia tertawa mendengar kata-kata saya. Sememangnya dia tahu apa yang saya sampaikan. Pengajian arkeologi dan antropologi yang kami pelajari pada zaman universiti dulu, terimbas memorinya serta-merta.

“Kamu tidak mahu menyambung pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah?” Tanya dia kepada saya.

Saya menghadiahkan senyuman kepada dia. Sungguh saya menginginkannya namun tidaklah saya beritahu kepada dia kerana merasa bagaikan saya ini seakan-akan memusnahkan harapan dia. Harapan yang dia juga mahukannya namun mungkin tidak berkesempatan dan berpeluang seperti saya.

“Kamu lebih utama.” Ujar saya kepada dia.

“Apakah kaitannya dengan saya pula?”

“Saya mahu bersama-sama dengan kamu...” Saya mengucapkannya perlahan sambil merenung mata dia, lembut. Berharap dia faham akan apa yang saya cuba sampaikan ini. Dia menoleh ke arah lain. Tidak membalas renungan saya.

“Kamu tahu... saya tidak boleh.”

“Kamu tidak mahu mengecap kebahagiaan dengan saya?”

“Ia mustahil buat saya.”

“Ia tidak mustahil bagi saya.”

Dia diam.

“Saya mahu sekurang-kurangnya kamu pergi dalam keadaan bahagia.”

“Adakah dengan bersama-sama itu mampu membuatkan saya bahagia? Saya tidak mahu menambahkan lagi orang yang akan berdukacita disebabkan saya.”

“Kamu telah pun membuatnya.” Balas saya sambil menunduk. Mencabut rumput hijau yang berdekatan dengan kaki saya.

Dia mengeluh perlahan di sisi saya.

“Kamu mahu mengetahui sesuatu?” soal dia kepada saya setelah lama kami mendiamkan diri, membiarkan semilir memuput wajah kami.

“Apakah dia?” Jawab saya acuh tidak acuh.

“Di Aomori, ada sebuah jambatan yang mampu memanjangkan usia seseorang jika orang itu menelusurinya. Namanya Tsuru-no-Mai.”

Saya mendiamkan diri. Menunggu dia menyambung kata-katanya. Dia tersenyum kepada saya apabila saya menoleh dan memberi perhatian kepada dia.

“Jambatan itu panjangnya 300 meter dan merupakan jambatan kayu terpanjang di Jepun yang mempunyai tiga buah gerbang. Jika dilihat dari jauh jambatan itu seakan-akan burung jenjang yang sedang terbang berlatarbelakangkan Gunung Iwaki.”

“Jadi?”

“Saya mahu ke sana.” Jawab dia sambil menoleh ke angkasa. Langit semakin memerah. Imbasan cahaya mentari lembayung terkena pada wajah dia. Indah. Dia begitu indah saat ini bersama-sama dengan selendang merah kesumba yang dipakai.

Saya mengukir senyuman kecil. Dia ini, masih lagi mempunyai cita-cita sendiri walaupun sudah dikhabar bahawa usianya tidak akan meniti sampai ke tua. Itulah... itulah antara sebab saya menyukainya. Dia yang bercita-cita...

Petang itu merupakan antara petang-petang terakhir yang begitu saya ingat dan menghabiskannya bersama-sama dengan dia.

Saya berjayakah? Ya, saya berjaya memujuk dia untuk bersama-sama dengan saya, mengikat tali yang sah dengan saya. Kami bahagia walaupun untuk seketika. Namun segala momen yang dikongsikan bersama-sama amatlah saya hargai sehinggalah kini.

Saya berjaya membawanya ke Aomori seperti yang dia mahukan. Menelusuri jambatan yang dikatakan mampu memanjangkan usia sesiapa sahaja yang melaluinya. Tsuru-no-Mai yang mempunyai tiga buah gerbang.

Di gerbang pertama kami berhenti. Orang tempatan mengatakan gerbang pertama seolah-olah perhentian sementara buat usia sepertiga abad. Membuatkan kita merenung kehidupan yang telah kita lalui selama 30 tahun kita hidup di dunia ini sekiranya kita sampai ke usia itu.

Saya memegang tangannya sepanjang kami menelusuri jambatan itu. Di gerbang pertama perhentian sementara kami, saya mengucup belakang tapak tangannya, mengucapkan rasa cinta dan kasih kepadanya.

Dia tersenyum, begitu manis sekali walaupun dia tidak berhenti-henti batuk kecil sepanjang perjalanan kami itu. Dia masih memakai selendang yang sama. Selendang merah kesumba yang dipakainya ketika kami berbual di taman tasik pada petang yang saya ingati itu. Itu selendang kegemarannya.

Kami meneruskan perjalanan ke gerbang kedua. Jambatan ini yang mempunyai lekukan menaik dan kemudian menurun, seakan-akan menghabiskan tenaganya untuk berjalan. Dia bernafas agak laju. Lebih laju daripada kebiasaannya. Saya memaut lengan dia dengan sedaya upaya saya. Saya katakan kepada dia, “Tidak apa-apa. Kita boleh berjalan seperlahan yang mungkin, mengikut keupayaan kamu.”

Dia mengukir senyumannya untuk saya dan saya membalasnya dengan penuh kasih.

Di gerbang kedua, kami berhenti buat seketika. Menikmati pemandangan Gunung Iwaki yang bersalji putih bagaikan kapas. Iya, ia begitu indah untuk dinikmati dari jauh.

“Cantik.” Itu kata yang dituturkan olehnya di gerbang kedua jambatan Tsuru-no-Mai itu.

Saya mengangguk. Bersetuju dengan kata yang dituturkan olehnya. Saya merenung wajah dia. Saya melihat nafas dia semakin mengah. Semakin laju dari tadi.

“Kita berehat sebentar, ya?” Pujuk saya.

Dia menggeleng. “Tidak apa-apa. Saya masih boleh meneruskannya.”

“Berehatlah...” Saya masih memujuk.

“Mari...” Dia mengajak saya, menarik tangan saya dengan lembutnya, meneruskan perjalanan kami menelusuri jambatan itu.

Kami hampir sampai ke gerbang yang ketiga. Dia masih lagi dengan senyumannya. Semanis-manis senyuman yang pernah saya lihat dan tidak akan melupakannya. Di gerbang ketiga inilah saya tahu dan yakin dengan firasat saya sebelum itu bahawa saya tidak akan dapat melihatnya di dunia ini lagi. Mungkin itulah antara petang akhir yang akan saya berkongsi bersama-sama dengan dia. Dan ia benar. Saya melihat wajah dia yang disimbah cahaya merah lembayung senja. Merah darah dia jua yang melekat ke pakaian saya. Buat kali terakhirnya.