Kegemilangan sastera bermula dengan sastera lisan yang mempunyai keunikan tersendiri dalam kehidupan bermasyarakat. Antara sastera lisan yang dikenali juga sebagai sastera tradisional ialah cerita jenaka, cerita lipur lara, cerita asal-usul, mitos dan legenda. Cerita-cerita ini amat popular dalam masyarakat terdahulu. Selain untuk berhibur, sastera lisan ini banyak memberikan pengajaran, nasihat, tunjuk ajar, malah sindiran kepada khalayak. Sehinggakan sastera ini begitu sebati dengan jiwa rakyat dan dianggap sebagai hak rakyat. Sastera ini dikenali juga sebagai sastera rakyat.

Malah, terdapat cerita-cerita dalam sastera rakyat yang masih kekal dan sentiasa segar dalam ingatan anggota masyarakatnya, walaupun cerita-cerita ini pernah didengari atau dibaca sekian lama. Ternyata betapa kuatnya pengaruh sastera lisan atau sastera tradisional ini.

Begitu juga dengan karya sastera berupa puisi tradisional seperti pantun, syair, seloka, gurindam dan mantera. Puisi-puisi tradisional ini juga mempunyai peranan tersendiri dan sebati dengan jiwa rakyat. Antara bentuk puisi tradisional ini yang digemari ialah pantun. Salah satu pantun paling popular dalam masyarakat kita ialah, `pulau pandan jauh ke tengah; gunung daik bercabang tiga; hancur badan dikandung tanah; budi yang baik dikenang juga. Pastinya tidak menghairankan jika sebahagian besar anggota masyarakat yang pernah mendengar dan menuturkan pantun ini akan segera teringatkannya apabila diperdengar atau dituturkan semula.

Seusai era sastera lisan, sastera tulisan pula mengisi ruang budaya dalam masyarakat sekitar abad ke-19 dan ke-20. Kedudukan sastera tulisan ini diperkukuhkan lagi dengan penggunaan teknologi moden dalam bidang percetakan dan penerbitan selaras dengan kelahiran genre sastera moden seperti novel, cerpen dan puisi moden atau sajak.

Kemunculan Abdullah Munsyi dianggap sebagai pelopor sastera moden apabila berjaya menghasilkan karya seperti Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah, Hikayat Abdullah Munsyi dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan. Kemudiannya, perkembangan sastera moden ini semakin melebar dengan tertubuh pula Asas 50 yang dipelopori oleh Keris Mas, Usman Awang dan beberapa rakan lainnya.

Pembentukan Asas 50 merupakan titik tolak kehebatan sastera dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Malah kehebatan sastera turut diwarnai dengan munculnya nama tokoh-tokoh penulis seperti A. Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail dan ramai lagi yang berjuang menentang penjajah berlandaskan sastera.

Para penulis ini menggunakan mata pena bagi menaikkan semangat rakyat untuk berjuang menentang penjajah. Walaupun ketika itu, hanya media bercetak sahaja yang digunakan namun sasaran dan matlamat penulisan karya sastera dapat dirasai oleh rakyat. Semangat perjuangan yang dilahirkan melalui karya-karya sastera mampu menggugat kedudukan penjajah. Sehinggakan ada kalangan penulis atau sasterawan yang meringkuk di dalam penjara. Kekuatan dan kehebatan `orang sastera’ begitu ditakuti oleh pemerintah Inggeris tatkala itu. Ternyata ketajaman mata pena mampu melangkaui mata pedang atau muncung senapang!

Sekadar perbandingan, di negara jiran seperti Indonesia, penulis novel Keluarga Gerilya, Pramoedya Ananta Toer terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana perjuangannya. Begitu juga dengan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka yang cukup terkenal sebagai penulis dan pejuang di Indonesia. Malah, penubuhan Angkatan 45 membuktikan betapa sastera juga memainkan peranan yang sangat penting di negara berkenaan.

Berbalik kepada kedudukan sastera pada masa sekarang, ternyata amat jauh bezanya. Tidak ubah seperti jauhnya 
langit daripada bumi. Begitu jauh sekali sastera ketinggalan dek kerana ditinggalkan oleh bangsa sendiri.

Diakui, negara ini sedang melangkah keluar dari dunia ketiga. Dunia yang dikelaskan sebagai negara-negara yang sedang membangun. Bagaimanapun, Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara lain di Timur seperti Jepun dan Korea Selatan. Malah lebih jauh lagi, jika dibandingkan dengan negara-negara Barat seperti United Kingdom, Perancis, Jerman dan beberapa buah negara maju yang lain. Anehnya negara-negara maju tersebut sama ada di Timur atau di Barat tidak pula melupai sastera bangsa mereka sendiri. Sastera mereka tetap berada di tempat yang selayaknya.

Apapun semuanya masih belum terlambat. Sastera negara ini masih tetap boleh dipertahankan dengan meletakkannya pada kedudukan yang membanggakan sebagai jati diri bangsa. Hanya kesedaran diri tentang kepentingan sastera sahaja mampu mengukuh dan mempertahankan kedudukan sastera ini. Langkah kerajaan mewujudkan Komsas merupakan satu langkah dan usaha yang sangat baik. Langkah ini bukan sahaja perlu diteruskan, malah perlu diperkasakan lagi. Sebaiknya, sastera harus diterap ke dalam jiwa generasi muda negara ini sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Sehubungan itu, pengajaran sastera harus dimulakan sejak dari sekolah rendah lagi dengan apa-apa cara sekalipun sama ada melalui program seperti Komsas atau mewujudkan mata pelajaran Sastera khusus untuk generasi rebung ini. Dengan cara inilah sahaja, sastera tidak dianggap sebagai sesuatu yang asing setelah mereka meningkat 
remaja dan seterusnya dewasa kelak.

Begitu juga di peringkat sekolah menengah dan institusi pendidikan lain. Sastera tidak harus dipinggirkan walaupun para pelajarnya mengikuti bidang pengajian sains atau bidang pengajian yang jauh berbeza dengan sastera ini. Malah sastera perlu dijadikan mata pelajaran atau kertas wajib untuk melayakkan pelajar mendapat sijil atau ijazah tanpa mengira jurusan pengajian.

Langkah ini sudah tentu dapat mengangkat martabat sastera pada pandangan masyarakat. Malah, sastera perlu ditonjolkan sebagai bidang yang sama penting sebagaimana pentingnya bidang sains dan teknologi yang menjadi kebanggaan masyarakat dalam dunia moden sekarang. Sekali gus dapat menguatkan hujah bahawa sastera bukanlah melukut di tepi gantang, ada atau tiada sama sahaja.