“Kalau ada persembahan di laut, saya akan panggil saudara..” umum kapten.

Aku hanya diam. Lebih kerana tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh kapten dengan “persembahan di laut”.

Apakah ada persembahan seni dan budaya di lantai feri?

 

Lagi pun orang Maluku memang terkenal dengan lagu-lagu rakyat mereka yang harmonis. Siapa yang tidak kenal dengan lagu “Bila hujan sore-sore”? Ia sudah dialunkan dalam puluhan bahasa dunia lalu mengangkat martabat komposer dan penyanyi Maluku. Dan kumpulan Van Dijck dari Belanda yang membawakan lagu tersebut dengan berkebaya pendek sungguh mengujakan. Sudah tentu siapa yang tidak kenal Broery Marantika penyanyi unggul bersuara serak basah dari wilayah ini? Lagu-lagu cintanya masih berkumandang di radio hingga ke hari ini. Siapa yang pernah bercinta sudah tentu mengenali penyanyi “Angin Malam” ganteng berkulit gelap itu.

Dari dulu sudah kuandaikan: Siapa cakap lagu-lagu Nusantara tidak boleh menggugah dunia?

Pelayaran ini harus kulalui juga. Lebih-lebih lagi Naira telah merubah sejarah alam Melayu, fikirku. Naira telah mempertemukan Barat dan Timur. Cuma, apakah Barat hanya mahu berdagang untuk mendapatkan bekalan buah pala dan cengkih atau sejak awal sudah menyematkan muslihat untuk menjarah Nusantara? Aku berharap petualanganku kali ini dapat menjawab persoalan itu.

Yang penting dalam tempoh pelayaran aku dapat lelap. Cermin mata hitam sudah kusediakan untuk menyembunyikan mata yang kupejamkan. Aku perlu mengembalikan tenaga yang hilang. Penerbangan dari bandara Sukarno-Hatta ke Pattimura selama hampir tiga jam sudah cukup meletihkan. Itu tidak termasuk dua jam penerbangan dari KLIA2 ke Jakarta. Situasi ini diburukkan lagi oleh pemeriksaan imigresen yang kurang efisien di Pattimura. Kulihat ramai parawisata yang merungut. Dan cara memandu wak supir dari Pattimura ke Tulehu sangat tidak membantu. Dia memandu secara sambil lewa sedangkan rupa bumi berbukit-bukit dan jalan raya seperti ular kena palu. Silap nyetir sudah pasti terjun gaung!

Ada angin jinak berhembus dari arah laut, membuatkan rumpun-rumpun bambu di sisi warung menggeliat. Burung-burung laut berwarna putih dan coklat bermain-main di sekitar pelabuhan. Agaknya mereka memberikan sambutan kepada parawisata. Di pelabuhan aku makan sebungkus nasi kuning bertemankan segelas jus pala. Menurut pemilik warung yang berambut berketak-ketak dan berkulit gelap, marek tersebut dibawa khas dari Banda Naira. Aku beri gred “C+” untuk nasi kuning dan “A” untuk jus pala. Barangkali tekakku sudah terbiasa dengan nasi lemak, nasi dagang atau pulut dengan gulai taucu berencahkan ikan bilis mata biru.

Saat feri meluncur meninggalkan Pelabuhan Tulehu, kulihat air laut jernih bak kristal, hinggakan bot bagai belayar di atas kaca. Pada tempat-tempatnya ulitan matahari yang garang menjadikan permukaan laut seakan hamparan permaidani manik-manik beraneka warna. Mujurlah lautan tenang di pagi itu. Ada sekitar dua ratus orang dalam feri yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Ramai juga kulihat orang Belanda. Ini kupastikan menerusi perbualan mereka. Ada beberapa patah bahasa Belanda yang kufahami. Aku biasa dengan perkataan-perkataan seperti Indonesië, geschiedenis, mijn schande dan de zee.

Apa pun perjalanan ini tidak akan terjadi tanpa undangan daripada seorang teman Fb yang bermastautin di pulau itu. Shinta, nama Fbnya. Aku tidak tahu apakah itu nama sebenar batang tubuhnya atau pun nama samarannya kerana dia juga seorang penyair. Sang penyair biasanya punya lebih dari satu nama. Ada seorang sahabat penyairku punya lima nama samaran! Sepanjang perkenalan hampir setahun kami tidak pernah berbicara hal-hal selain daripada puisi. Aku tidak tahu apa anutannya atau ideologi politiknya. Beberapa kali dia pm puisinya untukku. Aku dapat mengecam aroma melankoli yang kental lewat puisinya. Tetapi aku tidak pernah menyatakannya kepada Shinta. Penyair harus bebas seperti lautan dan ikan paus!

“Datanglah ke sini.” Shinta mengundangku tidak lama dulu.

“Apa ada di sana, selain larik-larik puisi..” Aku bertanya secara berseloroh.

“Di sini ada rumah buangan Bung Hatta dan Bung Syaril,” terangnya. “Pulau ini memang ada sosok politiknya yang tercatat dalam sejarah bangsa Indonesia,” sambungnya.

Aku pernah terbaca fakta tersebut tetapi tidak pernah menatapnya secara langsung. Dusun dan ladang buah pala juga banyak terdapat di pulau itu. Menurut Shinta, ladang-ladang tersebut adalah legasi Belanda. Tetapi semua itu bukanlah penyebab utama aku menerima undangan Shinta ke Banda Naira.

Mataku terlayang. Antara tidur dan jaga, aku dikejutkan oleh teriakan dari bilik kapten.

“Cepat, cepat, ada tarian paus!”

Aku membuka mata secara automatik. Kulihat beberapa orang lelaki dan perempuan meluru ke bilik kapten. Pintu bilik kapten yang memisahkan ruang tersebut dengan ruang penumpang terbuka luas.

Ada yang terus ke alu feri menerusi pintu sisi di kiri dan kanan bilik kapten. Aku hanya melihat di belakang cermin feri bilik kapten. Kulihat ada beberapa ekor paus menari-nari, tenggelam timbul serta memancutkan air dari lubang di tengah belakangnya. Seumur hidup, itulah lali pertama aku menyaksikan paus menari.

Aku hanya mampu menyebut perkataan “Masya-Allah” di dalam hatiku.

Feri berlabuh di pulau ketika matahari tersangkut pada paras 120 darjah di dinding langit khatulistiwa dengan suhu pula terpacak pada kedudukan 26 darjah Celsius. Aku hanya membawa sebuah beg kecil beroda dan sebuah beg sandang. Memang sejak dulu aku pemegang kuat konsep travel light.

Aku cuba mengingatkan wajah Shinta yang tersimpan dalam telefon bimbit. Namun wajah itu tidak terpancar dengan jelas. Lagi pun tentu ia tidak sama dengan wajah sebenar seseorang. Tiba-tiba seorang remaja menghampiri dan menegurku. Dia memperkenalkan dirinya sebagai salah seorang pekerja motel milik Shinta. Itulah kali pertama kuketahui bahawa Shinta adalah juga pemilik motel, selain seorang penyair.

“Di pulau ini pengangkutannya hanya motor,” jelas anak muda itu.

“Lebih baik…jalan dan alam tak rosak,” jawabku.

Aku sendiri tidak tahu kenapa aku menjawab begitu, sedangkan sememangnya aku tidak selesa menunggang atau membonceng motor. Barangkali ia ada kaitan langsung dengan kemalangan motor yang pernah kualami suatu masa dulu. Akibatnya tangan kiriku sampai sekarang tidak boleh dibengkokkan sepenuhnya. Tetapi apakan daya jika tidak ada pilihan!

Ternyata motel milik Shinta sangat hampir dengan pelabuhan. Tidak sampai lima minit kami sudah terpacak di Motel Shinta. Motel comel itu terletak betul-betul di gigi pantai yang bertebing kira-kira tiga meter. Selesai urusan check-in aku masih belum nampak tampang Shinta. Seorang gadis tinggi lampai menghampiriku dan meminta aku ke ruang makan terbuka di satu sudut berhampiran pantai.

“Shinta menunggu di sana,” katanya, sambil menunjuk ke arah ruang makan tersebut.

Aku benar-benar terkejut dengan keadaan fizikal Shinta. Foto-foto tentang dirinya yang dihantar menerusi WA hanya menampakkan muka, tidak keseluruhan tubuhnya. Memang, dia mempunyai raut wajah yang menarik – putih bersih dan berdagu runcing. Aku tidak menyangka sama sekali bahawa Shinta adalah seorang OKU. Dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Dan selama ini dia tidak pernah menceritakan hal itu kepadaku. Dia boleh berjalan tetapi hanya dengan bantuan tongkat yang diselakkan di bawah kedua-dua ketiaknya.

Kami minum petang bersama. Shinta menjamuku dengan jus pala, emping belinjau dan kopi Banda. Teksturnya pekat dan rasanya gurih. Seperti kebiasaan dalam pertemuan antara penyair, kami bertukar-tukar kumpulan puisi.

Keesokannya pembantu Shinta yang memperkenalkan dirinya sebagai Andi membawaku dengan motornya ke sebuah kebun pala milik kawan Shinta. Ia terletak di lereng sebuah bukit yang agak curam. Mengikut ceritanya ia merupakan kebun pala tertua di pulau itu dan benih asalnya disemai oleh pengusaha Belanda.

Andi juga membawaku melawat rumah buangan Bung Hatta dan Bung Syahril. Kedua-duanya terletak kurang sepuluh minit dari tempat aku menginap. Kedua-dua rumah tersebut dijaga rapi. Ada gambarfoto mereka tergantung di dinding rumah banglo. Di rumah buangan Bung Hatta mesin taipnya juga masih boleh digunakan dan terletak di meja tulis yang comel. Aku turut singgah di rumah buangan Bung Syahril. Aku dapat dua pengajaran yang berguna di kedua-dua rumah buangan tersebut. Menulislah di mana-manapun, walau jauh di hujung benua dan jangan sekali-kali mengalah!

Shinta menceritakan kepadaku kecelakaan jalan raya yang dialaminya ketika usianya mencecah angka tiga puluh. Ia terjadi ketika dia menuruni sebuah cerun di laluan yang berkelok-kelok di Ambon. Dia terlanggar dahan kayu yang terlintang di atas jalan dan tidak berjaya mengawal imbangan motor. Motornya terhumban ke bawah gaung dan sebaik sedar dia sudah terlantar di hospital. Mengikut kata anak saudaranya dia koma selama seminggu. Kedua-dua belah kakinya cedera teruk dan mengalami kecacatan kekal.

Sepanjang dia di hospital hanya dua kali teman lelakinya datang melawat. Itu pun hanya sebentar. Shinta tidak tahu kenapa terjadi begitu, sedangkan hubungan mereka cukup erat sebelum kemalangan tersebut. Apakah temannya tidak dapat menerima kecelakaan yang telah menimpa dirinya? Atau dia menjadikan kecacatan itu sebagai alasan untuk meninggalkannya?

“Datang pun hanya sekejap…macam menjenguk jerat sial…” desis Shinta.

Setelah sembuh, teman lelakinya menghilang.

Shinta akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke Naira. Dia mengambil alih sebuah motel milik pamannya.

“Walau setiap hari aku menatap landskap yang sama, tetapi ia langsung tidak menjemukan..”

Aku tahu Shinta sudah menemukan kedamaian di pulau itu walaupun pemandangan dan persekitarannya tetap sama - laut, gunung berapi, dermaga, kapal dan feri yang menurun dan menaikkan para wisatawan, dan mengangkut dagangan yang istimewa dari pulau itu - buah pala.

Ternyata persoalan yang berlegar dalam kepalaku masih belum terjawab: Apakah orang Belanda datang dengan rancangan agung untuk menawan Alam Melayu? Lalu memporakperandakan trajektori sejarah Nusantara. Dan buah pala hanya dijadikan alasan! Apa pun kejayaan Belanda menukar Pulau Run di Maluku dengan Pulau Manhattan di Amerika Utara membuktikan kelicikan mereka, hinggakan orang Amerika juga tertipu!

Akhirnya aku yakin bahawa Barat bukan saja licik, tetapi punya agenda jahat terhadap Alam Melayu. Bukti kejahatan mereka berselerak di Nusantara!

Saat feri meninggalkan Banda Naira ada kesayuan singgah di benakku. Sekarang aku sudah mengenali Shinta (Shinta Octavia nama penuhnya) dengan lebih dekat dan faham akan pendirian dan perjuangannya. Pohon-pohon pala kini memberi pengertian baru buatku. Feri membelah selat menuju ke laut lepas, melewati gunung berapi yang sudah menyepi sekian lama. Sebaris lagu nyanyian nelayan yang menyambutku beberapa hari lalu bagai mengiringiku menuju Tulehu. Sangat menikam senikatanya.

Orang-orang Banda

Kuat mencari laut

Kalau dapat ombak

Rezekilah melaut

 

Perlahan-lahan lirik lagu itu hilang bersama angin Laut Maluku yang mula rakus. Siapa tahu ada lagi tarian paus di pelayaran kali ini. Sepanjang pelayaran selama enam jam dari Banda Naira ke Tulehu aku tidak tidur walau sepicing. Aku harus fokus menyiapkan sebuah sajak yang tiba-tiba saja menjelma dalam fikiranku. Di separuh perjalanan ada jeritan dari kapten memberitahu tentang tarian paus dan ikan lumba-lumba. Ramai penumpang bergegas ke deck. Aku tidak mempedulikannya. Aku perlu siapkan sajakku.

Akhirnya sajak itu dapat juga kusiapkan saat pelabuhan Tulehu mengambang di horizon. Ada rindu yang mengasak-ngasak benakku dengan keras.

Apakah Ini Rindu, Naira

Setiap alun ombak menghantar biru ke mataku tarian paus dan sketsa burung-burung laut semakin dekat semakin sarat maksud dan ibarat

Kerdipan cahaya dari renggangan kamar dan rumah api membangkitkan aroma desa dan sumur tua di halaman rumah nenda sungguh, tampangmu seindah riwayatmu setulus lambaian pohon kelapa di pantai

gemersik dedaun ketapang disinggung angin petang bagai korus lagu syahdu dan senyuman gadis sunti di warung makan di pinggir jalan mengingatkanku tentang cantiknya warna matahari yang tenggelam

Ketika dermagamu membukakan tangan menyambutku apakah ini rindu, Naira?

Menarilah sepuas-puasnya wahai sang paus, aku pun ada rindu yang mendalam di Laut Maluku!

Cerpen yang disiarkan adalah rekaan semata-mata. Setiap watak, tempat dan masa tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Sekiranya ada persamaan itu hanyalah kebetulan.

PENULIS karya kreatif dialu-alukan menyumbang cerpen, puisi, ulasan buku dan rencana. Panjang cerpen lebih kurang 1,900 perkataan manakala rencana sastera dan ulasan buku 800 perkataan. E-mel karya anda kepada [email protected]