Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qalam ayat 1 mahfumnya:“Nun! Demi pena (kalam) dan apa yang mereka tulis.” Ulama muktabar mentafsirkan ayat makkiyah ini sebagai sumpah Allah terhadap kalam (pena) dan segala apa yang ditulis. Sesetengah ulama tafsir berpendapat, penegasan ini sama dengan penegasan dalam wahyu pertama iaitu Iqra’ (Bacalah) pada keseluruhan surah al-Alaq.

Dalam era Revolusi Industri 4.0, peranan dan tanggungjawab penulis cukup besar. Ketika seseorang itu memilih bidang penulisan sebagai medium akal dan budi, ketika itulah telah terpikul beban amanah di atas bahunya, mempertahankan maruah bahasa, bangsa dan budaya serta membentuk peribadi masyarakat

 

Fokus kupasan penulis berkisar tentang soal prinsip dan peranan seorang penulis. Dai dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, diberi konotasi sebagai pendakwah dan merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab. Sementara Islam, memberi takrifan yang lebih luas cakupannya, iaitu seseorang yang menyampaikan dakwah, pesan atau nasihat dengan tujuan menyeru supaya mengikuti syariat Allah.

Dr. Ab. Aziz Mohd Zin, dalam buku Pengantar Dakwah Islamiah (1999) memberikan takrifan, dai ialah kaedah yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan dengan pendekatan tertentu bagi memimpin manusia ke arah kesejahteraan dan keredaan Allah.

Timbul persoalan, adakah karya yang bersifat sastera Islam atau sufisme sahaja, pengkaryanya layak disebut sebagai dai? Bagaimana pula dengan penulis genre lain seperti novel popular, indie dan cerpen?

Prinsip dan konsep

Pendekatan bahawa golongan penulis adalah dai merujuk kepada beberapa prinsip asas iaitu matlamat karya dihasilkan, isi dan konsep penulisan serta kesannya kepada masyarakat pembaca. Sebagai analogi, pengkarya diibarat penunjuk arah yang memandu pembaca ketika berhadapan dengan pilihan hidup yang bersimpang-siur (samar), sekian banyak duri yang menikam telapak kaki atau menelusuri denai kehidupan dengan jalan yang bahagia.

Penulis bersetuju dengan pandangan Mohd. Affandi Hassan yang menyentuh fungsi estetika dan fungsi intelek dalam sesebuah karya. Dalam bukunya Pendidikan Estetika daripada Pendidikan Tauhid terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1992), Mohd. Affandi Hassan membahaskan, pengkarya tidak boleh lari daripada memberikan sentuhan ilmu (intelektual) dengan menghadirkan pesanan moral tanpa mengganggu fungsi estetika sesebuah karya. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7 hingga 8 dan surah-surah lain tentang konsep dosa dan pahala.

Sasterawan Negara, Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaludin Muhammad, ketika diwawancara oleh wartawan majalah Nadi Insan (1980) ada menyatakan, kemajuan teknik dan estetik tidak semestinya menenggelamkan prinsip bahawa seni haruslah menegakkan kebenaran. Tokoh yang mengakrabkan slogan `seni untuk masyarakat’ ini berpendirian, kaedah penyampaian dan mesej perlu bergerak seiring. Proses kesenian itu sendiri bermula dengan fasa perasaan yang kemudiannya diolah kepada estetika. Idea yang menjadi mesej itu adalah suatu rantaian proses pematangan keintelektualan.

Para penulis harus memperakui hakikat, mereka adalah sebahagian daripada komuniti dalam masyarakat yang tidak pernah terpisah. Mereka bertanggungjawab membina paradigma pola berfikir secara umum kepada olah fikir dan daya yang bersifat universal. Isu-isu yang dekat dengan masyarakat seperti ketidakadilan status sosial, ekonomi dan politik serta kemanusiaan perlu disentuh dengan lebih berani.

Bagi menjawab persoalan adakah penulis yang menghasilkan karya berbentuk sastera Islam atau sufisme sahaja layak digelarkan sebagai dai? Bagaimana pula dengan penulis yang menghasilkan karya-karya berbentuk novel popular, karya indie dan cerpen?

Penulis berpandangan, selagi naratif karya tersebut menghidangkan nilai-nilai murni, tidak bersifat melanggar batas hukum dan syarak, mengandungi unsur-unsur mendidik dan tinggi nilai estetika terma penulis sebagai dai terpakai kepada pengkarya dalam genre yang lain. Prinsip moral dan kepatuhan terhadap lima prinsip Rukun Negara sebagai landas utamanya. Dengan memperluas konotasi dakwah kepada pelbagai genre, seseorang penulis itu akan memberi nilai tambah kepada sesebuah karya agar terus mengalir ke dalam masyarakat.

Integriti, sastera siber dan media baharu

Dunia penulisan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Ini merupakan satu cabaran dan tentangan kepada para penulis masa kini. Cabaran yang menuntut golongan penulis beradaptasi dengan teknologi baharu sebagai penyambung lidah dalam berkarya. Ruang masyarakat untuk menikmati maklumat dan karya pelbagai bentuk terbuka luas. Karya boleh diakses oleh khalayak pembaca dengan mudah dan cepat sekali gus mewujudkan alur kesatuan antara penulis dan masyarakat.

Justeru, soal integriti dan mutu karya tidak boleh dipandang sepi. Pengkarya media baharu wajib mematuhi garis panduan tatabahasa, langgam dan lenggok bahasa yang tepat. Bukan itu sahaja, kesahihan fakta dan etika dalam penulisan tidak boleh diabaikan sama sekali waima karya tersebut hanya disiarkan dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan Instagram.

Kerjaya dalam bidang penulisan bukan sekadar mengolah daya imaginasi, merajut kuantum atau bersemenda dengan aksara dan estetika. Sebaliknya, kerjaya ini adalah ‘kerjaya berprinsip’, prinsip moral dalam mengangkat maruah sastera ke singgah sananya yang tersendiri. Kerjaya yang terdapat dalamnya nilai akal dan budi.

Umum mengetahui, dunia maya datang bersama-sama warna ‘hitam’ dan ‘putih’ yang seringkali berselirat dalam ruang benar dan salah. Kepalsuan yang digilap dengan segala macam kosmetik memungkinkan ‘hitam’ berubah spektrum. Di sinilah keupayaan penulis teruji dalam mematuhi prinsip moral. Oleh kerana wujudnya kesatuan antara karya dengan pembaca dalam hubungan penulis–masyarakat, golongan pembaca menilai dan menonton layar pemikiran yang disampaikan.

Pilihan ada di tangan anda. Menghidang sakar madu dan pahit jadam sebagai ubat atau menghidang pesona pada kanvas yang palsu. Proses menghidangkan karya bermutu bermula daripada kesedaran kendiri pengkarya. Kesan kesilapan dalam memberikan hidangan jiwa dan pemikiran yang salah akan menyebabkan ketamadunan bangsa terhunjam ke lembah paling bawah. Tanyakan pada diri, adakah cukup sekadar menjadi penulis yang bergelar penulis atau penulis yang pemikirannya membentuk masyarakat?