Zakiah Amira Daeng Mikail usung bagasi sederhana besar ke gerbang masuk ke laman. Baruga sisipan bilah bambu kuning ditenun corak ketupat itu sudah berusia sekian lama. Pesiar kaki yang dihiasi ati-ati tersusun indah bersulam lidah buaya menyambut ketibaannya.

Di kiri kanan pintu masuk terpacak dua helai bendera kebanggaan negara di puncak yang gah kibarannya. Menjelang hari keputeraan negara yang gemilang ini, pepanji itu kelihatan makin galak tarinya.

“Kata tak balik minggu ni,” perli sinis Dikna. Kiah terus sahaja membuang senyum sambil tergelak kecil. Tersengih-sengih dia menampakkan gigi tersusun cantik ketika melihat kelibat Dikna di anjung.

“Ala, Dikna ni, orang nak balik awal pun tak boleh.” Kiah buat-buat manja. Sebenarnya Dikna ialah adik angkat arwah ibu Kiah yang menjaganya sejak kecil. Sementelah lagi dia tak bersekolah macam Kiah. Nama Dikna itu kekal sampai kini walaupun umurnya lebih sedikit daripada Zakiah.

“Bukan tak boleh, selalu tu kalau Dikna tanya bila nak balik, kata sibuk manjang.” Dikna pulang paku buah keras. Kiah toleh rakannya yang dari tadi senyum-senyum sahaja, tahu helahnya. Kiah pegang tangan Dikna mesra, tanpa hirau sindirannya sebentar tadi.

“Dikna, ni Satun, rakan sekuliah.” Baru teringat dia akan mengenalkan temannya kepada Dikna. Pantas sahaja kedua insan itu bersalaman sambil sama-sama bergerak ke graha rumah.

Sewaktu tiba di laman rumah tadi, Dikna sedang memangkas daun pisang di tepi laman. Pokok pisang memang banyak di sekeliling. Pisang itu boleh dijadikan aneka kuih tradisi seperti naga sari, belebat dan berongko.

Sempat juga Kiah melirik gulungan daun pisang yang Dikna kelek, tapi tidak mampu untuk membantu membawanya. Maklumlah diapun baharu balik. Letih juga membetis kira-kira dua kilometer dari jalan besar.

Kiah tahu Dikna selalu buat kuih dengan tangannya sendiri. Malah mengikut ceritanya Dikna bukan calang-calang orang dalam bidang ini. Banyak jenis masakan dan kuih-muih tradisi dalam radar pengetahuannya. Zakiah memang tidak pernah lepaskan peluang itu acapkali pulang bercuti.

“Dikna nak buat apa daun pisang ni?” Kiah cepat sahaja ubah haluan.

“Nak buat kuihlah, sudah gaharu cendana pula. Macam tak tahu kalau anak dara yang comel ni balik,” Dikna pandai sahaja menebak naluri Kiah. Memang itulah kelebihananya dari dahulu. Dikna akan layan dan ramahi Kiah ketika sesekali balik. Malah ciri itu kekal bertahan sejak Kiah dalam buaian lagi.

Dikna memang mudah faham kehendak anak asuhannnya itu. Malah dia telah masak dengan fiil dan kegemarannya yang kekadang mengada-ngada itu. Sekilas ikan di air dia sudah tahu jantan-betinanya.

“Tun, hari ini kita akan makan menu Bugis,” kata Kiah kepada rakan senegeri tetapi dari keturunan subetnik Jawa Punorogo itu. Silsilah asal memang berakar di kepulauan nusantara itu juga.

“Hmm, bagus juga. Saya suka,” ujar Satun angguk-angguk. Mereka melangkah ke ruang tengah rumah klasik itu. Terpapar beberapa ukiran mendiami jenang pintu dan kekisi tingkap dari kayu cengal itu.

“Kita akan makan bahulu pecak!”

“Ye ke? Dah lama Kiah kata nak ajak saya makan bahulu pecak,” Satun pula teruja. Mereka melabuhkan punggung seketika di bangku panjang buatan tangan. Ira jati asli jelas kelihatan pada batang kayu yang tampak dijaga rapi.

“Si Kiah ni tak ada lainlah kegemarannya kalau balik, Satun.” Kiah terkulat-kulat kesipuan apabila Dikna membuka pekongnya. Namun di dalam hati, bugar senyuman yang sudah lama dinanti.

“Dah, ajak kawan berehat dulu, Dikna ada kerja nak buat ni,” lirik ekor matanya yang mudah Zakiah fahami. Dikna memang suka buat kerja sendiri-sendiri. Malah dia tidak mahu meminta bantuan daripada sesiapapun ketika menyediakan juadah.

Itulah Dikna, insan yang paling rapat dengan Zakiah Amira pasca kehilangan kedua orang tuanya.

ii

Malam itu suasana agak dingin. Pintasan kilat sesekali mencelah di kepulan awan. Semilir lembut mengusap lapisan cindai polos. Nyaman kosmos desa tidak sama dengan keserabutan aspal kota.

Seusai solat isyak, mereka sudah duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang berkerawang tepi di ruang antara dapur dan tengah. Dari bilik ke laluan dapur, terdapat semacam binaan mirip pangkin pelamin di tepi dinding. Ada dua buah kerusi kayu jati dirapatkan yang sentiasa berkilat.

Ada alas tepi daripada kain sutera halus berawan larat corak kecubung. Suami Dikna, Adi Umar yang membuatnya. Sangat teliti dan setia dia menjaganya. Kiah masih ingat sejak dari sekolah rendah lagi pangkin itu telah ada di situ.

Dahulu, sebelum emak dan ayah meninggal dunia, Kiah selalu bermain dengan sepupu-sepapatnya di situ. Rumah mereka bersebelahan sahaja. Selepas ketiadaan orang tuanya, rumah pusaka inilah menjadi destinasi Kiah setiap kali balik kampung. Maklumlah tiada siapa lagi di rumahnya.

Kemudian Dikna mula melakukan kerja-kerja membuat kuih tradisional warisan mereka itu. Kiah dan Satun hanya perhati sahaja kelincahan Dikna melakukan kerja-kerja tersebut, macam cef profesional sahaja lagaknya.

Antara bahan-bahan yang digunakan ialah telur, tepung pulut dan gula melaka. Peralatan lama juga masih kelihatan elok digunakan, antaranya ‘mak gontang’ dan loyang aluminium. Dikna mula memukul telur dengan perkasan itu.

Selepas telur itu kembang dan adunan sebati, dia menuang ke dalam loyang acuan. Kemudian adunan itu akan dikukus selama kira-kira setengah jam dengan api sederhana dapur kayu. Ketika dikukus itu aroma harum menusuk pelipis hidung menghantar isyarat enaknya kudap autentik tersebut.

“Arwah mak kau dulu selalu bantu Dikna buat hidangan ini,” cerita Dikna sambil jeling-jeling mengusik Kiah.. Seakan terpukul pula Kiah tetapi dia buat muka sadin saja.

Kiah ingat saban kali negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, bahulu pecak tidak akan lepas menjadi hidangan keluarga mereka. Malah kuih itu seakan menjadi hidangan wajib pada malam 31 Ogos.

Kiah walaupun dibesarkan oleh Dikna tetapi tidak tahu banyak tentang asal-usul mereka. Hubungan dengan ayah dan ibunya pun dia tidak tahu setakat mana. Yang pasti walaupun bukan sama keturunan, tetapi mereka cukup intim.

Kiah dan Satun bersantai seketika di pangkin kayu tadi sambil menanti adunan itu masak. Bahulu becak ini boleh dimakan panas-panas atau disejukkan. Selepas masak, Dikna potong dadu bahulu itu kemudian direndamkan ke dalam bekas yang mengandungi cairan gula tengah panas. Likat gula merah memuncakkan selera.

“Hmm, sedapnya!” Kiah segera memberi reaksi tatkala mencicip bahulu yang telah siap dihidangkan. Satun yang pertama kali merasai kuih itu turut angguk-angguk mengiyakan. Dikna pula yang jadi pemerhati melihat gelagat anak jagaannya yang kian membugar menjadi dara sunti itu.

Hari itu, mereka bisa tidur lena membawa bersama nikmat bahulu becak dalam mimpi masing-masing. Esok pagi, mereka akan merasainya pula dalam keadaan dingin.

iii

Sidang petang, mereka bersembang lagi sambil membuat resensi tugasan universiti yang dibawa bercuti. Sesekali mata Satun menyelinapi keunikan estetika binaan seiras pelamin itu.

Ukiran cermat yang mengelilingi bahagian penyandar dan pemegang kerusi itu amat unik dan halus. Motif rebung buluh dikombinasikan dengan corak awan larat menjadikan ira kayu jati itu lebih tampak.

“Sebenarnya tidak semua orang layak duduk di bangku ini, Kiah,” Adi Umar yang baru balik dari danau menegur. Memang selama di sini pun tidak nampak sesiapa yang duduk di situ. Mereka sahaja yang sejak semalam cuba mendekati pangkin itu.

Baharu Kiah ingat, dahulu ketika kanak-kanak, arwah ayah dan ibu selalu melarangnya daripada membuat sepah di ruang itu.

“Kenapa, ya?” tiba-tiba pula soalan yang masih bermakam di minda sekian lama, dikemuka. Lama juga menanti Umar memberi jawapan, sambil sesekali dia memandang Dikna seakan meminta izin.

“Panjang juga kisahnya,” Umar kelihatan agak berhati-hati menutur kata. Kiah dan Satun diam, dengar dengan teliti. Terasa teruja mereka seakan menanti kesudahan sebuah sinetron penuh ketergantungan.

“Ia ada kaitan dengan milik arung bangsawan Bugis.” Kiah mamah dan hadam satu-persatu bicaranya. Memang Kiah tidak sempat mengetahui kisah-kisah sejarah keluarga mereka sebelum ini.

Dikna hanya diam sahaja, mengemas bekas makanan dan gelas yang mereka gunakan. Dari dahulu sampai sekarang sikapnya sama, tawaduk dan merendah diri. Walaupun kini mereka hampir sebaya, namun masih anggap seperti pengasuh Kiah.

“Milik arung? Kenapa ada di sini?” Kiah mula membuat parafrasa. Diam. Kiah lihat wajah Dikna yang sentiasa tenang itu memohon jawapan selepas Umar tunduk memaku pandangan. Dikna tenang. Senyum tidak pernah lekang dari rekahan bibir yang dihiasi pula sebutir tahi lalat pemanis wajah.

“Asalnya binaan itu daripada anyaman bambu mengikat tiang ketika majlis pernikahan kerabat bangsawan.” Umar semacam mendapat restu Dikna untuk meneruskan kisah.

Sepatah-sepatah Umar berkisah sehinggalah jelas kepada Kiah. Pelamin itu dia hasilkan mengambil inspirasi pelamin yang tidak sempat mereka dirikan. Ia sebagai lambang cinta kasihnya kepada Dikna dan diabadikan sebagai binaan kekal di dalam rumah.

“Jadi, pelamin ini untuk kerabat bangsawan Bugis?” Kiah menemui sesuatu untuk dipanjangkan. Satun juga kelihatan semakin melekat khusyuk mendengar. Kelihatan Dikna pula sedikit resah.

“Kiah tahu siapa nama sebenar Dikna?” Umar tidak menjawab sebaliknya melontarkan pula soalan. Kiah mengingat sesuatu. Baru dia sedar nama sebenar Dikna ialah Andik Rozana, akronimnya Dikna.

Kiah perasaan sesuatu. Sesuatu yang ada dalam tugasan universitinya bersama Satun. Mereka berpandangan. Tugasan kuliah Sosiologi Doktor Rafdi itu belum tuntas disiapkan. Tapi seakan dapat penyudahan.

Ya, kedatangan sepasang keluarga ketika Dikna bersiaga untuk menyambut kemerdekaan negara kali yang entah ke berapa. Pasangan yang baru dinikahkan ketika itu.

iv

Kiah surut kembali ke zaman persekolahan. Dia dan Kelsom (sepupunya belah emak) pernah melihat Umar cantumkan semula cebisan papan dengan bantuan rakannya, Nong yang mahir kayu. Hampir sepurnama juga masa diambil untuk menyempurnakan binaan pelamin berukir itu.

Memang kebanyakan perabot mahupun rumah orang Bugis dibuat secara lepas-pasang, tanpa paku untuk memudahkan mereka berpindah dan memasang semula. Anatomi rumah panggung yang mempunyai tiga bahagian ini lebih menyakinkan Kiah lagi.

Satun tinjau bahagian kolong rumah pusaka yang jarang didapati pada rumah lain. Nyata ada signifikasi dengan kertas kerja yang sedang mereka siapkan bab silsilah kerabat diraja Bugis.

Satun dan Zakiah berpandangan. Kiah mula menyimpulkan justifikasi. Sesuatu yang memang telah dia usuli sejak menjejakkan kaki ke universiti. Dapatan Kiah, menurut rujukan pakar, ‘Andik’ adalah sebutan alur kebangsawanan dari genetis kerabat diraja wanita di Sulawesi.

“Jadi, Andik Rozana adalah pewaris keturunan bangsawan Bugis?” Dikna runduk, matanya basah tiba-tiba. Adi Umar juga. Tahulah Kiah apa yang tersembunyi di rumah panggung tradisional ini. Sah, Diknalah kerabat yang dihambat keluarga arung ke tanah Melayu ini lantaran ingkar arahan mengahwini bangsawan bukan pilihan!

“Dikna, kenapa Andik tidak bagi tahu semuanya ini?! Kiah menyembamkan muka ke ribaan Dikna dengan bermerah mata. Satun turut berhiba. Dikna mengelus-ngelus bahu Kiah merangkap proksi zuriatnya yang tidak Allah bekalkan secara genetik.

“Sudah.. tak ada apa-apa, tak apa…” tetap rendah dan hemah suaranya.

Kiah kian kejap mendakap Dikna penuh kasih. Dia yang sejak kecil menjaga dan mengasuh. Membuang tinja dan memandikannya, menyuapkan nasi dan melayan kerenahnya, rupanya adalah warga arung yang sepatutnya dimuliakan. Ah!

Di lahan ini mereka bermastautin hingga arwah ibu Kiah menjadikan Andik Rozana adik angkat tanpa mengetahui uslub asalnya. Bukan sedikit pula sumbangan Dikna kepada gemulah ayah dan ibu Kiah.

Diknalah yang menjadi penyambung nyawa keluarga mereka ketika ditimpa musibah kesusahan dahulu. Malah biaya Kiah ke Menara gading juga rupanya atas tajaan Dikna.

Saban ulang tahun kemerdekaan negara, Dikna tidak akan alpa membuatkan menu itu.

Bahulu pecaklah yang jadi penganan ketika mereka dihijrah ke tanah ini dahulu. Hasil tangan yang menjadi alas perut sepanjang pengembaraan yang panjang. Dikna tidak akan lupa akan nostalgia bahulu pecak itu yang menjadi asas pertemuan dengan gemulah ibu.

Kiah masih belum puas menangisi kondisi. Anak bangsawan tega menjadi pengasuh, alangkah! Muka bujur sirih Dikna ditatap tanpa puas. Kiah berguling-guling di ribaan Andik Rozana, memohon apologia sikapnya yang tidak menghormati arung selama ini.

Tinggalan rumah panggung, gapura buluh, pangkin bangsawan dan seni ukiran turun-temurun itu telah menemukannya suatu artifak paling bermakna. Bukan sahaja asal-usul Andik Rozana, bahkan sinonimnya bahulu becak dengan keluarga dan negara ini.

Sekaligus menjadi hadiah paling bermakna sempena kemerdekaan kali ini. Satun dan Zakiah berpandangan dengan mata yang masih berkaca. Dalam kolam air mata itu ada riak kepuasan dan nyali perjuangan.

Ketahuanlah Kiah kini, misteri di sebalik wajah Dikna – si pengasuh yang tidak pernah memperlihat resah dan sukarnya menjadi orang banyak. Sesuatu yang telah lama berada di kolong rumah sendiri!

Lebih ironis lagi, arung ini tidak pernah mempersoal sendu nasibnya hidup bersama marhaen pingitan biarpun ada pilihan yang lebih baik. Selamat ulang tahun perkahwinan Dikna. Selamat ulang tahun negaraku, Malaysia!