Lelaki yang berumur dua puluhan itu sering menjadi perhatian dan bualan orang luar yang sering berkunjung ke daerah itu. Mid atau nama sebenarnya Hamid itu lebih dikenali oleh penduduk di sekitar daerah itu kerana tingkah lakunya yang unik atau lebih tepat dipanggil sebagai orang sakit mental bagi sesetengah penduduk di kawasan itu.

Mid bertubuh sasa dan gemar memakai celana berceloreng seperti seorang askar. Wajah Mid yang dihiasi kumis nipis dan berkulit sawo matang itu sentiasa mengukirkan senyuman kepada orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu. Malah Mid gemar menggoyang-goyangkan kepalanya mengikut rentak lagu Jalur Gemilang yang dinyanyikan olehnya.

“Jalur Gemilang… di bawah naunganmu, Jalur Gemilang… kami semua bersatu, perpaduan ketaatan, amalan murni rakyat Malaysia, Jalur Gemilang… megah kami terasa, Jalur Gemilang… kibarkanlah wawasan, merah putih biru kuning, jalur semangat kami semua.”

Mid sering berdiri dari pagi hingga ke petang di lampu isyarat yang terletak betul-betul berhadapan simpang masuk ke pekan di daerah itu. Satu persimpangan yang cukup sibuk pada waktu puncak. Pada mulanya aku tidak memberi perhatian kepada aspek ini sehinggalah pada suatu hari aku mendengar seseorang berkata, “Tengok Mid tu, kesian dari pagi sampai petang tak jemu-jemu berdiri di tepi tiang lampu isyarat.”

“Kenapa?” tanyaku.

“Kenapa lagi, tak kasihankah kau pada orang gila seperti Mid itu? Mana keluarga dia?”

Aku hanya tersenyum sendirian mengingatkan kata-kata itu. Barangkali orang yang berkata begitu mungkin tidak suka Mid berdiri tercegat di tengah panas atau barangkali juga mereka bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Mid.

Pernah juga aku mendengar kisah bagaimana Mid boleh menjadi gila. Kisah sedih itu diceritakan sendiri oleh beberapa jiran tetangganya yang tinggal berdekatan rumah keluarga Mid. Mereka menceritakan dahulu Mid dilahirkan normal sama juga seperti insan yang lain. Sewaktu Mid masih kecil, dia sering dibawa membonceng motosikal kepunyaan arwah ayahnya menelusuri jalan-jalan di daerah itu. Pada setiap petang, ayah Mid akan membawa Mid serta ibunya bersiar-siar makan angin di pekan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari kediaman mereka. Motosikal ayah Mid dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang di kiri dan kanan pemegangnya. Disebabkan itu Mid amat menyukai Jalur Gemilang yang berkibar megah tatkala ditiup oleh angin.

Ayah Mid merupakan seorang yang berjiwa patriotik. Disebabkan itu di halaman rumah Mid terdapat deretan Jalur Gemilang yang dijahit cantik oleh ibu Mid. Jalur Gemilang akan bertambah banyak di rumah Mid tatkala menjelangnya Hari Kebangsaan malah ayahnya akan memasangkan lagu-lagu patriotik sehinggakan sesiapa sahaja boleh mendengarnya tatkala melintasi rumah Mid.

Mid dibesarkan dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang. Saban waktu tanpa jemu, ayahnya akan memasangkan lagu Jalur Gemilang itu berulang kali. Disebabkan itu, Mid hafal benar dengan seni kata lagu patriotik itu. Setiap kali pergi dan pulang dari sekolah dengan membonceng motosikal ayahnya, Mid pasti menyanyikan lagu tersebut.

Sayang seribu kali sayang. Suatu hari Mid dan ayahnya ditimpa kemalangan. Mid terlantar selama enam bulan di hospital akibat hentakan yang kuat di kepalanya. Manakala ayahnya pula meninggal dunia di tempat kejadian. Usai Mid keluar dari hospital, dia masih lagi dapat mengingati segala-galanya. Mid ingat tentang ayahnya dan Jalur Gemilang. Mid tetap ingat lagu kegemarannya iaitu Jalur Gemilang. Mid masih boleh berfikir dengan waras pada waktu itu namun usai diberitahu tentang kematian ayahnya, Mid menjerit dan meraung-raung macam orang gila.

Mid kemudiannya dimasukkan ke rumah sakit jiwa di Tanjung Rambutan. Lama Mid dirawat di sana dan kemudiannya Mid dibawa pulang oleh ibunya yang sudah semakin uzur. Doktor mengesahkan Mid tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada orang awam justeru Mid dibenarkan pulang. Namun ada juga segelintir penduduk tempatan yang ragu-ragu tentang Mid. Namun akhirnya mereka akur bahawa Mid hanya sakit mental yang tidak berat seperti pesakit mental yang lainnya. Bermula dari kejadian itu, Mid hanya memikirkan tentang Jalur Gemilang semata-mata.

Tatkala aku mendengar kisah Mid, aku merasa sedih. Barangkali jika kemalangan itu tidak berlaku sudah pasti Mid akan hidup normal seperti orang lain. Namun setiap yang terjadi sudah tentu ada hikmatnya. Mid kini lebih selesa berada dalam dunianya sendiri.

Justeru aku sudah terbiasa melihat gelagat Mid yang kadang-kala dapat pula menghiburkan hati para pemandu yang sesak pada waktu puncak. Malah kehadiran Mid itu seperti memberikan peluang untuk para pemandu melempiaskan kelelahan tatkala pulang dari pejabat.

Namun ada ketikanya terbit juga perasaan simpati kepada Mid. Sudahlah berdiri tercegat dalam terik mentari malah kadang-kadang suaranya juga menjadi garau kerana tidak henti-henti menyanyikan lagu Jalur Gemilang. Disebabkan itu tatkala aku menghampiri tiang lampu isyarat sebelum ke pejabat, aku akan membeli nasi lemak serta air mineral untuk diberikan kepada Mid. Waktu itu Mid akan berwajah ceria dan menyambut pemberianku itu.

Suatu hari aku menjemput ibu datang ke rumahku. Kebetulan ibu baru sampai dari Perak dan ingin melawat rakan lamanya yang sedang uzur. Tatkala melalui persimpangan lampu isyarat, ibu melihat Mid sedang tercegat sambil menyanyikan lagu Jalur Gemilang.

“Siapa tu, orang gilakah?” soal ibu kehairanan.

Aku hanya tersenyum. Seperti orang lain yang pertama kali berkunjung ke daerah itu sudah pasti akan bertanya mengenai Mid.

“Itu Mid.” Aku memberitahu sambil tersenyum.

Ibu kehairanan lantas melihat ke dalam bebola mataku. Barangkali ibu berasa hairan mengapa aku mengenali lelaki itu dengan lebih dekat?

“Mid? Siapa Mid?” tanya ibu lagi.

“Mid, namanya Hamid.” Ujarku membalasnya.

Ibu tersentak. Kemudian ibu menoleh ke arah Mid yang masih ligat mengibarkan bendera Jalur Gemilang dengan megah.

“Hamid?” soal ibu kembali.

“Kasihan, masih muda tetapi sudah tidak waras.” Kata ibu perlahan.

Aku hanya diam. Ada kebenaran daripada kata-kata ibu itu. Sejak kebelakangan ini aku melihat ramai orang muda yang menjadi kurang siuman gara-gara tekanan perasaan.

Dianggarkan seramai tiga juta penduduk Malaysia adalah orang gila. Dalam istilah moden, penyakit gila digelar penyakit mental yang melibatkan gangguan pada saraf di bahagian otak yang menjejaskan fungsi dan peranan otak. Pesakit menunjukkan perubahan dalam proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang merencatkan aktiviti harian mereka. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan kehilangan upaya di seluruh dunia. Dijangkakan pada tahun 2020 ia menjadi penyakit kedua tertinggi di dunia. Kajian yang dilakukan ke atas golongan dewasa di Malaysia pada tahun 1996 mencatatkan 11.1 peratus dikesan mengalami penyakit mental. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir enam peratus sejak 10 tahun lalu. Statistik tahun 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Pada tahun 2007, jumlah pesakit adalah 346,196 orang.

Fakta itu aku kutip daripada pembacaanku dalam laman-laman web. Betapa seriusnya penyakit mental dalam kalangan masyarakat sekarang. Ditambah dengan kehidupan yang semakin rencam ini membuatkan penyakit mental ini sudah seperti sebahagian daripada kehidupan manusia pada masa kini. Kadang-kala aku juga boleh terkena penyakit mental ini secara tiba-tiba. Bayangkan dalam kepenatan dan juga tekanan di pejabat dengan tugasan yang menimbun banyaknya sudah pasti ada ketikanya aku tidak sedar bahawa kepalaku akan pening dan aku akan cepat marah. Situasi semakin genting sekiranya kemarahan itu tidak dapat dikawal dan aku akan menjerit-jerit tanpa perasaan malu.

Namun sebagai insan di muka bumi ini, apa jua yang berlaku kita harus menangani segalanya dengan berhemah. Justeru, kita harus sentiasa bersabar dan menerima segalanya dengan berlapang dada. Nescaya segala apa yang kita lakukan akan pula mendapat keredhaan daripada Yang Maha Esa.

Hujung minggu itu aku membawa ibu menziarahi rakan lamanya yang terlantar sakit. Kebetulan, rakan ibu itu tinggal tidak jauh dari kawasan taman perumahan aku. Justeru, aku hanya berjalan kaki bersama-sama ibu dengan niat mengambil angin pagi secara tidak langsung dapat pula beriadah bersama-sama ibu.

Tatkala aku dan ibu melewati sebuah kedai makan, aku melihat Mid berdiri di hadapan kedai itu sambil menggosok-gosokkan perutnya. Barangkali Mid lapar. Selang beberapa minit keluar tuan punya kedai makan itu sambil membeliakkan biji matanya ke arah Mid. Mid hanya tunduk memandang muka lantai yang berbalam-balam.

“Pergi! Pergi!” tengking tuan punya kedai sambil menghalau Mid dari situ.

Mid tidak berganjak. Dia hanya diam seperti patung cendana. Matanya terkebil-kebil seperti meminta simpati. Serta-merta ada perasaan simpati mula tumbuh di sanubariku.

“Kau tak faham ke? Pergilah! Jijik tengok muka kau!” tengking tuan punya kedai yang semakin celopar itu.

Beberapa orang di dalam kedai makan itu terpinga-pinga melihat adegan yang tidak berperikemanusiaan. Ada juga yang merakam video tetapi tidak mahu membantu. Barangkali manusia zaman ini lebih suka berkongsi cerita tanpa mempedulikan keaiban orang lain. Tanpa mengira siapa dan di mana sudah pasti golongan seperti ini sentiasa wujud. Entahlah. Kadang-kadang aku berasa geram dengan manusia seperti itu. Bukannya mahu dileraikan atau dibantu tetapi semakin galak merakamkan video walaupun kita menegahnya. Kemudian ditularkan video tersebut untuk tatapan di alam maya.

“Pergi! Kenapa degil sangat!” tengking tuan punya kedai itu sambil mencampakkan bendera yang dipegang oleh Mid.

Tatkala melihat benderanya dicampakkan ke atas tanah, Mid seperti kerasukan. Mid meraung dan menjerit memarahi tuan punya kedai. Mid menghentakkan kakinya berulang kali di atas permukaan simen. Mid terus mengambil Jalur Gemilang dan menciumnya berkali-kali. Tindakan Mid itu membuatkan beberapa orang di dalam kedai makan itu keluar dan cuba menenangkan Mid.

Mid masih terus marah-marah. Dia meramas-ramas jari-jemarinya dengan kuat seolah-olah mahu menumbuk tuan punya kedai itu. Mid kemudiannya menjerit tanpa hujung pangkal. Mid semakin meracau.

Kebiadapan tuan punya kedai itu membuatkan aku dan ibu merasa marah lantas menerpa ke arah Mid yang tidak tahu apa-apa itu.

“Mid, sudah Mid. Sudah.” Kata ibu cuba memujuk Mid.

Mid tidak berganjak. Dia hanya tercegat sambil memerhatikan wajah ibu. Ada air mata jernih yang semakin bertakung di tubir kelopak mata Mid. Aku tersentak. Tanpa kata aku memasuki kedai makan lalu ke ruang bahagian menu makanan. Aku ambil bekas makanan lalu aku menyendukkan nasi serta seketul ayam goreng bersama-sama kuah kari. Sedikit sayur campur aku letakkan di atas nasi dan ayam goreng itu. Kemudian aku memesan sebungkus air teh o ais lalu aku letakkan di kaunter bayaran.

“Saya nak bayar. Berapa?” kataku kuat kepada tuan punya kedai.

Tuan punya kedai lantas meloloskan diri masuk ke dalam kaunter dan mula mengiranya.

“Semuanya RM12,” jawab tuan punya kedai acuk tak acuh.

“Nah RM20. Saya tak mahu baki. Ini pemberian untuk sebuah kemanusiaan. Barangkali wang lebih berharga dari sebuah kemanusiaan.” Sindirku kuat menyebabkan tuan punya kedai tertunduk malu.

“Seperkara lagi, jangan sesekali mencampakkan bendera kebanggaan negara seperti membuang sampah. Sebagai anak watan di mana rasa hormat? Langsung tidak ada rasa sayangkan negara sendiri! Lebih baik menjadi Mid yang gila tetapi di hatinya tetap bersemangat patriotik daripada menjadi siuman tetapi langsung tidak menghargai perjuangan bangsa!” kataku kuat mengakhiri kemarahanku itu.

Tuan punya kedai hanya memandang dengan mata yang terkebil-kebil. Kemudian aku dan ibu terus membawa Mid beredar dari situ. Semua mata memandang tuan punya kedai seolah-olah menyalahkan dirinya pula.

Benarlah, lebih baik jadi seperti Mid yang gila tetapi mempunyai semangat sayangkan negara dan sayangkan Jalur Gemilang. Kerana Jalur Gemilang itu lambang kepada kedaulatan negara Malaysia maka kita harus menghormati dan mempertahankannya sampai bila-bila.