Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said berkata, melalui karya itu pelbagai detik dan peristiwa penting dapat dicatatkan supaya generasi sete­rusnya dapat memahami sejarah yang pernah berlaku.

Oleh itu, tegas beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua penulis mahupun penyair menghasilkan lebih banyak karya sastera kerana tugas mereka adalah membimbing masyarakat.

“Penulis dan penyair bukan sahaja menulis semata-mata bahkan tanggungjawab­nya adalah membimbing masyarakat.

“Saya sendiri sudah menulis lebih 60 buku yang me­rakam pelbagai peristiwa supaya anak-anak akan datang boleh menyelongkar kembali sejarah yang berlaku.

“Ini kerana, itu sahaja caranya untuk kita berada di tengah-tengah masyarakat,” katanya dalam program Sasterawan Negara Berkongsi Cerita anjuran Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini hari ini.

Sasterawan Negara lain yang turut hadir ialah, Prof. Dr. Muhammad Salleh dan Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Sementara itu, Anwar berharap cadangan Kementerian Pendidikan untuk menggabungkan aliran sains dan sastera menjadi kenyataan serta dapat direalisasikan.

“Sekarang ini bilangan pelajar dalam aliran sastera sangat kurang kerana kalau kita lihat pada zaman kecemerlangan sastera pada zaman 60-an hingga 80-an, waktu itu kita mempunyai guru terlatih dan memiliki kebitaraan.

“Ini sekali gus menyebabkan semangat menghayati sastera dalam kalangan pelajar itu tinggi sehingga mendorong mereka menjadi penulis,” jelasnya.

Bagi Muhammad pula, persepsi terhadap aliran sastera yang kurang penting harus diubah segera supaya tidak merebak kepada generasi akan datang.

“Sekarang ini hendak cari pelajar yang mengambil aliran sastera sangat susah di universiti kerana mereka merasakan bidang itu tidak begitu kuat. Kelas yang adapun malah sangat kecil yang hanya ada seramai 15 hingga 20 orang sahaja,” ujarnya.