“Ahli politik, bisnesman, ulama cap ayam dan siapa saja yang sengaja menjual maruah diri dan menjadi perkakas kapitalis. Malah, siapa saja yang menjadi hamba abdi demi kuasa dan wang,” jawab Nadim pada wartawan.

“Ada spesifik namanya?” Tanya wartawan.

“Luas. Tapi, kalau kamu perlu headline, saya jelaskan. Penyamun di kamar rakyat ialah pemegang permit atau AP barangan harian yang menjadi simbol kapitalis di negara ini. Penyangak pula, ialah pemaju yang merampas semua tanah sampai hutan ramsar pun nak dijadikan padang golf. Malah, laut ditambak demi projek kroni dan nelayan dibiarkan mati,” kata Nadim.

“Yang dua lagi?” Tanya wartawan penuh minat.

Sidang akhbar jadi hangat apabila Nadim menjawab: “Mudah cakap, saki-bakinya ialah pemimpin yang sekadar kakasan kapitalis!”

“Ulama penunggang agama, siapa pula?” Tanya wartawan agama.

“Kalau kamu tidak buta,” kata Nadim: “Pasti nampak syaitan berserban dan labuh jubahnya!”

Semua mata yang hadir pada sidang media itu terbelalak. Nadim tahu, kenyataannya bakal mencipta seribu risiko.

Baginya, tidak sukar menjelaskan lirik lagu punk rock yang mudah itu. Cuma, realiti sidang media tidak sama dengan konspirasi jahat ketika ditahan dan menjadi mangsa pembantaian misteri.

Kapitalis memang punya banyak tangan-tangan jahat - sama ada berbuku lima atau pistol berpeluru maut.

“Kapitalis ialah lintah darat yang banyak sesungut sotong. Menyedut dan melekap di mana saja!”

Itu ucapan yang selalu diungkap dalam tiap persembahan muziknya.

Namun, ada akibatnya. Setelah dua minggu berlalu - barulah Nadim sedar; detik sebenar yang paling sukar. Dia dipaksa menjawab soalan dengan tangan bergari. Apa pun jawapan, dia tetap dibantai bertubi-tubi. Saat itu, dia sedar; kebenaran sesuatu yang amat sukar dituturkan.

2
Seorang rakan lama datang dan memberitahu: “Aku mendapat projek. Tapi sakit hati sebab komisen habis disapu broker. Margin untung tinggal habuk saja. Aku rasa, kontraktor Bumiputera macam barua saja. Buat projek, tapi untung dikebas orang.”

“Apa maksudmu?”

“Aku harus bayar komisen demi komisen. Hanya kerana perlukan rekemen dan kelulusan,” kata rakannya.

Nadim menggelengkan kepala. Segera dia teringat, kisah demi kisah yang sama.

“Hmmm...,” kata Nadim: “Korupsi masih menyelinap dengan bijak. Semua projek masih dipenuhi komisen. Zaman apa pun, tangan ghaib tetap jadi broker kapitalis. Malah, makin halus macam halimunan.”

“Kau tulislah lagu,” kata rakannya: “Laungkan... bahawa kapitalis masih kenyang!”

3
Dua hari ditahan di bilik gelap entah di banat mana, serta 48 jam dikurung dengan kepala terbungkus plastik hitam - semuanya terasa sangat menyeksakan. Nadim jadi lemas dan letih kerana dipaksa duduk di atas kerusi dengan tangan diikat ke belakang.

Selama ditahan, dia tidak tahu perjalanan waktu.

“Dah dua hari kau dikurung,” kata satu suara: “Tapi kau tetap degil dan tak mahu hentikan kegiatan menghasut.”

Soalan itu menyedarkan Nadim - selama ditahan, dia tidak dibenarkan tidur atau berbaring. Malah, disoal dan disoal bertubi-tubi silih berganti. Tiap soalan kerap disela dengan tumbukan, atau ditampar berulang kali.

“Kau sengaja cetuskan prasangka,” kata suara yang menyoalnya. “Kau timbulkan kegelisahan awam dengan sengaja!”

“Ini kebebasan muzik saya,” jawab Nadim.

Berdentum bunyi kerusi tumbang.

Matanya gelap dan pandangan jadi kelam. Perut Nadim terasa senak. Dia tidak sempat meraung ketika jatuh terlentang; dadanya terasa dipijak tapak kasut yang keras. Nafasnya jadi sesak dan dunia gelap tiba-tiba.

4
Dua hari setelah dibebaskan - dan diturunkan di pinggir jalan raya dengan kepala yang ditekup plastik - nyawanya terasa dipulangkan kembali. Ketika hampir pengsan di tepi jalan, Nadim ditumpangkan orang sampai ke rumahnya.

Dua hari mengelamun bingung sendirian di rumah - dia menerima panggilan telefon.
Seseorang ingin menemuinya.

Dengan rasa takut dan curiga - Nadim nekad hadir dan berdepan lelaki itu.

“Kami bukan kapitalis,” kata lelaki bersut kemas serba hitam.

Mereka duduk di meja makan - lobi khas yang sangat eksklusif.

“Terima kasih kerana menebus pembebasan saya. Nanti ada wang, saya bayar semula,” kata Nadim.

Lelaki itu tersenyum. Suasana di kafe tengah hari itu tenang dan sunyi. Susunan set sofa berwarna merah hati diatur rapi. Cuma sunyi tanpa pelanggan.

Nadim menoleh ke luar; sengaja menghadap dinding cermin dan melihat pemandangan tasik yang membiru.

“Aku usahawan,” kata lelaki itu: “Barangkali, akulah kapitalis yang kau perangi mati-matian selama ini.”

“Rakyat menderita,” kata Nadim: “Makin menderita sebab puak kapitalis masih jadi mafia penentu harga barangan.”

“Kami pemodal, Nadim,” jawab lelaki itu: “Bukan sehari dua. Puluhan tahun kami berusaha bangunkan ekonomi kita semua. Untuk negara kita.”

“Tapi tuan tetap menguasai semua permit import,” katanya: “Monopoli total puak kapitalis, berterusan selama tujuh dekad.”

Lelaki itu meneguk kopi dan matanya memandang Nadim.

“Rakyat tak berpeluang menikmati era persaingan terbuka kerana dua tiga orang kapitalis menguasai pasaran. Hanya dengan satu persetujuan, pemegang permit boleh sepakat mengawal harga barang,” kata Nadim.

“Tapi, kami laburkan semula semua untung perniagaan AP dalam pelbagai sektor lain,” jawab lelaki itu: “Puluhan ribu peluang pekerjaan kami wujudkan.”

“Ya!” Kali ini jawapan Nadim keras: “Industri yang sama kemudian jadikan tuan sebagai bilionair.

Kaum pekerja kekal dapat habuk saja!”

Lelaki itu terdiam; menuangkan kopi ke dalam cawan Nadim dan menghulurkan bekas susu dan gula.

“Otak kau masih macam kaum sosialis tujuh puluhan,” katanya: “Terlalu ideal, hingga kau lupa, selama lima puluh tahun, negara ini maju kerana digerakkan modal kami.”

“Ya...,” jawab Nadim: “Jadi adillah... kalau 100 tahun lagi pun... muzik rakyat kami diizinkan terus hidup. Kita saling berjuang. Tuan penguasa ekonomi, kami kuasai seni. Biarkan kami kekal sebagai suara rakyat marhaen!”

Lelaki itu ketawa dan wajahnya kelihatan tercuit rasa lucu.

“Baiklah...,” katanya: “Aku suka anak muda macam kau. Berani berterus-terang. Ambil modal RM10 juta. Buka syarikat. Buat muzik dan filem. Tapi, jangan sampai kena cekup dan aku terpaksa bayar tebusan sekali lagi.”

Wajah Nadim tiba-tiba merah padam: “Terima kasihlah kerana membebaskan saya. Tapi itu pilihan tuan, dan kita tak pernah berunding sebarang syarat pun.”

“Nadim...,” kata lelaki itu: “Ambil modal aku bagi. Buka syarikat dan jadikan kau anak Melayu pertama ada empayar dalam industri seni. Aku akan labur lebih lagi, asal RM10 juta pertama, kau buktikan bawa untung lumayan.”

“Ini bukan modal, tuan,” jawab Nadim: “Itu namanya rasuah beli jiwa. Orang macam saya, sangat pantang soal jual beli jiwa!”

5
Pada usia 27 tahun - ditahan dan dibantai bertubi-tubi seperti anjing kurap - satu pengalaman ngeri. Apa lagi semua itu berlaku dalam sekelip mata.

Malam itu - tanpa dijangka - sambil duduk menghadap syisha di bumbung restoran Arab - sekumpulan lelaki datang dan hanya melaungkan: “Siapa nama Nadim?”

Sebaik saja dia bangun - kumpulan itu menyerbu dan membelasahnya. Dia tidak dapat mengingati apa-apa; kecuali ketika tersedar - pandangannya gelap.

“Kau duduk diam-diam,” jerit suara di sisinya.

Pandangan Nadim gelap dan dia sedar - wajahnya ditekup beg plastik hitam. Menyedari dirinya dalam bahaya, dia memilih berdiam diri.

“Lempar saja dalam gaung,” kata satu suara: “Biar dimakan babi hutan!”

“Babi pun takkan endahkan sampah busuk macam budak ini!” Sambut satu suara sambil ketawa besar.

“Ya!” Jawab Nadim dengan rasa sakit hati: “Hanya babi macam kamu semua saja yang kemaruk nak tangkap aku!”

Sekelip mata, bertubi-tubi pukulan hinggap di kepalanya - pandangan gelap sekali lagi.

6
Kafe terasa hangat dan menyengat. Melihat lelaki kapitalis itu seakan-akan sedang berusaha membeli jiwanya - Nadim memilih untuk pergi tanpa menikmati makan tengah hari. Tuan kapitalis nampak agak terkejut ketika dia bangun dan berlalu begitu saja, tanpa sepatah pun ucapan selamat tinggal. Cuma, Nadim yakin - lelaki itu faham - RM10 juta bukan harga membeli jiwa.

7
Henfon berdering.

“Kalau Nadim ada masa,” suara gadis dalam panggilan itu: “Kita jumpa malam nanti. Saya jelaskan ‘a to z’ - apa projek yang nak ditawarkan.”

“OK...,” jawab Nadim.

Malam itu, tepat jam 9.15 - Nadim tiba di Kafe Ungu. Cepat dia menyelinap masuk menuju meja paling hujung. Dirinya berasa lega kerana tiba 15 minit lebih awal.

Cuma fikirannya diburu rasa bingung sejak melangkah keluar rumah; hatinya gugup kerana dibendung rasa takut. Perasaannya jadi cemas kerana dibayangi kebimbangan kalau-kalau dirinya sedang diekori. Matanya selalu waspada; meliar ke sana-sini.

Nadim masih gementar. Sebelum duduk di sofa; matanya tajam melihat sekeliling. Bimbangkan kawanan babi hutan. Dalam kalap begitu, dia tidak dapat mengingati nama gadis yang menelefonnya petang tadi.

Malah, dia sendiri tidak pasti, siapakah yang akan ditemuinya.

“Hai...,” sapa seorang gadis sambil mengangkat tangan ketika berjalan masuk menuju ke mejanya.

Nadim terkedu seketika; matanya mulai kembali memandang liar; meninjau jauh di belakang gadis itu, walaupun dia yakin tamunya itu melangkah masuk dan berjalan sendirian.

“Nicky,” kata gadis itu sambil menghulurkan tangan.

Nadim hanya tersenyum dan matanya masih memandang ke arah pintu kafe. Setelah yakin, tiada susuk tubuh yang mengekori gadis itu - Nadim segera duduk.

Gadis itu perasan akan sikap aneh Nadim; lalu ikut menoleh ke pintu.

“Ada janji dengan orang lain juga?” Tanya Nicky.

Nadim menggelengkan kepala; kemudian tersenyum dan kembali memandang gadis itu. Kali ini tunak matanya tenang.

“OK...,” kata Nadim: “Apa yang Nicky nak? Harap anda bukan peguamlah....”

Nicky tersenyum: “Tak... tak mungkin. Peguam tak jumpa pelanggan di kafe.”

Gadis itu tertawa kecil. Nadim hanya menganggukkan kepala.

“Saya ada syarikat label rakaman sendiri,” kata Nicky.

“Saya sembilan tahun dalam industri,” kata Nadim: “Tak pernah dengar nama Nicky.”

Nadim memandang Nicky dan kali dengan tenungan penuh rasa syak. Melihatkan gadis itu tersenyum; mata Nadim kembali tertinjau-tinjau ke arah pintu kafe.

“Dengar sini,” kata Nicky selepas melihat Nadim mulai mengesyaki sesuatu: “Saya baru buka bisnes. Sekarang mencari artis rakaman. Awak unik dan dianggap bintang rock sosialis. Jom, kita buat album!”

8
“Aku takkan rakam lagu-lagu cinta, Nicky,” kata Nadim: “Muzik dan lagu aku, bukan kisah cinta.”

Nicky hanya tersenyum - memberikan ruang Nadim meneruskan kata-kata.

“Beginilah,” kata Nadim: “Kalau kau kenal aku, bukan ini tawaran yang sesuai.”

Nicky tersenyum: “Dengar sini... ramai orang kagum dengan bakat kau. Semangat dan aspirasi kau. Muzik antikapitalis dan kritikan politik elok kau slow down dulu. Ini masanya kau berubah genre.”

Nadim merenung tajam pada Nicky; lampu jalanan menyala malap. Langit nampak suram ketika mereka berdiri di sisi kereta. Nicky bersandar pada bonet dan Nadim berdiri dua langkah di depannya.

“Elok kau terus-terang saja. Siapa yang menghantar kau?” Tanya Nadim.

Nicky tersenyum: “Aku pemilik label rakaman...”

“Sudahlah...,” tukas Nadim: “Kau dihantar orang. Pilihan raya tak lama lagi. Kau dihantar untuk diamkan aku....”

“Aku mendiamkan kau dengan sebab,” kata Nicky: “Nyawamu... itu yang penting.”

Nadim melenting: “Seribu lagu cinta yang lara belaka... takkan ubah apa-apa. Aku menyanyi menentang orang macam bapa kau!”

Nicky tersentak dan wajahnya jadi serba-salah.

“Kau ingat aku tak tahu, kau dihantar bapamu. Kau hanya alat untuk beli jiwa saja!” Suara Nadim meninggi.

“Ini tiada kaitan dengan bapaku,” kata Nicky: “Ini soal aku pemilik label rakaman. Aku berurusan kerana sukakan stail muzik kau.”

“Phuiii...!” Nadim meludah ke jalanan.

9
Awal pagi Jumaat - heboh kisah mayat bintang rock terkenal ditemukan dalam gaung di pinggir lebuh raya. Berita yang ringkas tanpa keterangan lanjut.

Mayat Nadim ditemui pekerja ladang yang tercium bau busuk. Mayat yang kepalanya dibungkus dengan beg plastik hitam.

“Dia banyak hutang ah long untuk album baharunya,” kata sumber: “Sekarang polis sedang menjejak gengster yang disyaki membunuhnya...”