Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, olahan kisah sejarah dan legenda serta pengalaman hidup masyarakat dalam bentuk mudah dan bergambar termasuk komik digital dapat memupuk minat generasi muda kepada sejarah, sastera dan Bahasa Melayu.

 Beliau berkata, tradisi lisan dan tulisan di negeri ini cukup banyak termasuklah cerita dari wayang kulit, dikir barat dan Hikayat Kelantan kerana Kelantan adalah sebuah negeri tua yang tradisinya besar dan lama terdedah dengan pengaruh luar. 

 "Kita mesti semarakkan kecintaan kepada Bahasa Melayu, pastikan lukisan Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang dalam buku cantik jelita dan gambarkanlah Taman Serendah Sekebun Bunga seumpama kecantikan taman dalam syurga, lengkapkan dengan glosari perbendaharaan kata yang dapat dipelajari kanak-kanak.

 "Pengalaman hidup masyarakat seperti golongan nelayan tempatan juga boleh diketengahkan untuk kita dedahkan ilmu laut mereka. Begitu juga rahsia orang di hulu Kelantan tahu bila banjir hendak melanda, adakah kerana semut naik ke bukit, kemahiran mereka membaca petanda alam ini boleh mencetus minat golongan muda untuk mencari bukti saintifik,"katanya.

 Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Penulisan Kreatif Guru Perpustakaan dan Media Kelantan 2019 di sini semalam.

 Bengkel dua hari itu anjuran bersama Gapena; Persatuan Penulis Kelantan (PPK); Unit Pengurusan Sumber Pendidikan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan (BTPNK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur.

 Sementara itu, Zainal Abidin berkata, peranan menulis sastera kanak-kanak ini paling sesuai dilaksanakan para guru yang merupakan golongan yang berada di barisan hadapan dan dekat dengan sumber untuk mengumpul bahan sama ada di sekolah dan kampung.

 "Melalui bengkel seperti hari ini kita harap dapat melahirkan ramai penulis dalam kalangan warga pendidik yang mampu menguasai bidang penulisan kreatif dengan baik.

 "Kelantan diketahui umum sebagai lubuk sasterawan dan karyawan termasuklah dari kalangan guru contohnya Sasterawan Negara, Allahyarham Syed Othman Syed Omar atau S.Othman Kelantan," katanya. - UTUSAN ONLINE