Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, pemilihan Siti Zainon adalah berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran, perkembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterima.

"Ramai telah dicalonkan untuk menerima anugerah ini berdasarkan sumbangan dan hasil karya mereka. Namun selepas mendapat pandangan para sasterawan sedia ada serta panel pemilih, kita telah memilih Siti Zainon.

"Majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 21 September depan di Kuala Lumpur," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Siti Zainon, 69, telah menghasilkan tiga novel, 10 kumpulan cerpen, 25 kumpulan puisi, tujuh antologi cerpen, lima antologi puisi, 18 kajian ilmiah berbentuk buku, 21 esei kajian dalam buku dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog.

Dilahirkan pada 18 Disember 1948 di Gombak, Kuala Lumpur, beliau meraih pelbagai pengiktirafan dalam negara antaranya memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSPM) sebanyak enam kali.

Di peringkat antarabangsa, Siti Zainon turut diiktiraf pelbagai anugerah termasuk SEA Write Award pada 1989 dan Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) melibatkan Anugerah Seni Budaya 2015.

Beliau juga aktif terlibat di peringkat antarabangsa serta dalam persatuan.

Anugerah Sasterawan Negara diberikan oleh kerajaan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Penghargaan dan penghormatan negara yang akan diberikan oleh kerajaan kepada Siti Zainon adalah warkah penghormatan negara, wang tunai sebanyak RM60,000 selain penerbitan sebanyak 50,000 naskhah atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan serta disebarkan dengan luasnya ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Siti Zainon juga diberikan kemudahan-kemudahan seperti perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kegiatan mencipta karya sastera, penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan. - UTUSAN ONLINE