Dari dalam tandas awam sehingga ke dalam ruang pejabat. Dari luar perkarangan masjid hingga ke saf hadapan di dalam masjid. Cah menjadi sebutan sekarang. Cah menjadi idola sekarang. Cah menjadi kegilaan ramai sekarang. Populariti Cah sekarang mengalah artis, pak dan mak menteri, pemain bola sepak, pemain badminton, dan pelawak-pelawak negara. Cah yang dahulu yang dipandang hodoh, telah mendapat perhatian yang sangat berlebih-lebihan oleh rakyat jelata. Daripada tukang pengutip barang-barang boleh kitar semula sehingga kepada tukang bina masjid. Daripada peminta sedekah di pasar malam sehingga kepada penyampai berita. Mana tidaknya, seminggu berturut-turut semua saluran televisyen kerajaan mahupun yang dibayar oleh rakyat menyebut-menyebut dan mengulang-ulangi nama Cah. 

Cah… Cah … Cah.

Cah tidak menyangka semua itu akan berlaku kepada dirinya. Cah sedar dan tahu diri, lahirnya dia memang hodoh. Tidak diterima oleh ibu dan bapanya. Cah tidak tahu sama ada dia ada adik beradik atau tidak kerana ibu dan bapanya meninggalkan dia seorang diri di pinggir kota raya di negara ini sebaik sahaja dia dilahirkan. Cah membesar sendiri dan hidup sendiri. Cah tahu dirinya sangat hina, dan sebab itu Cah suka bersendirian, berahsia-rahsiaan dan bersembunyi-sembunyian. Itulah tabiat Cah yang sebenarnya. Bukan kerana Cah mengambil pendekatan bersuluk tetapi Cah takut diri menjadi bahan fitnah. Barangkali sebab itulah juga ibu dan bapa ‘membuangnya’ daripada masyarakat. Cah tidak terkilan dan tidak sedikit pun menyalahkan ibu bapanya. Keterbuangannya menyebabkan Cah lebih mengenali dirinya.

Tetapi sekarang tidak lagi. Hari ini, Cah menjadi perhatian semua jenis lensa di dunia teknologi. Cah tampil bak seorang puteri daripada kayangan dalam skrin-skrin televisyen hingga kepada skrin telefon pintar. Walaupun Cah tidaklah pintar. Tambah-tambah lagi Cah tidak pernah memasuki alam persekolahan. Cah menjadi sebutan dan siulan kecil besar hingga mereka yang sudah bersedia untuk dijemput oleh malaikat maut. Wajah dan penampilan Cah terbayang-bayang pada mata mereka. Mungkin ada yang terbawa-bawa masuk ke dalam mimpi-mimpi mereka. Sama ada siang, lebih-lebih lagi pada malam hari.

Nama Cah tidak lagi disebut secara berbisik-bisik. Dahulu, pandang kiri pandangan kanan nama Cah baru berani disebut. Bukan apa takut didengar budak-budak. Baik budak lelaki, lagi-lagi budak perempuan. Nama Cah mesti tidak diketahui oleh mereka. Kalau tahu pun, biarlah nama Cah diketahui secara semula jadi. Ikut fitrah alam. Apabila tiba waktunya.

Bagi orang perempuan, nama Cah sangat digeruni, ditakuti lagi tabu. Bagi ulama dan ustaz, nama Cah jangan disebut-sebut. Haram. Titik. Bagi budak-budak, nama Cah sangatlah ganjil dan aneh kerana jika diketahui mereka menyebut nama Cah, akan nahaslah jadinya.

Itu semua dahulu. Tidak lagi sekarang. Kecil besar tua muda menyebut-nyebut nama Cah. Nama Cah meniti pada bibir-bibir mereka. Nama Cah menjadi mainan mereka. Nama Cah tidak lagi digeruni dan ditakuti. Budak-budak boleh menyebut nama Cah sesuka hati di depan orang tua mereka. Bukan apa kerana orang tua-tua mereka pun semakin galak menyebut perihal Cah. Tidak lagi pandang kiri pandang kanan apabila menyebut nama Cah. Apabila menyebut nama Cah, orang-orang tua menjadi bertambah bersemangat. Ada yang sampai tahap teruja dan ghairah. Yang ada bini, ingin balik terus ke rumah. Yang sudah tidak ada bini, mula memeriksa senarai janda atau ‘andalusia’. Yang tidak pernah berbini, sangat-sangat berasa rugi. Kalau boleh dalam doa ingin diminta Tuhan putar umur mereka kepada 20-an. Dan tidak mahu merajuk lagi jika kekasih hati tidak sudi atau pilih lelaki lain. Benarlah cakap orang dulu-dulu, bunga bukan sekuntum. Tetapi sekarang semua sudah ganyut dan gayat, nak cari janda pun tak berpengalaman. Nak cari andalusia pula sama-sama tiada pengalaman.

Ini semua penangan Cah.

Bagi bini-bini pula, mula rasa rimas dan risau, walaupun kadang-kadang rasa seronok juga. Bukan apa, rimas tengok laki mereka balik awal dari surau. Ganggu tidur mereka atau ganggu mereka tengok siri telenovela dari Korea. Risau pula kerana jika diketahui oleh cucu-cucu mereka, siang-siang datuk dan nenek mereka berbual dalam bilik tak berkelambu sekarang. Dan rasa seronok juga kerana lama tak tengok laki mereka bersemangat semacam. Kalau tak bagi, takut mencari janda atau andalusia pula. Semua kerana ikut sunah. Itulah sahaja sunah yang lelaki tahu. Itu bukan kata Cah tetapi kata para ustaz yang Cah dengar di sebalik tirai setiap kali jika ada kesempatan Cah ikut kuliah di surau dahulu. Tetapi yang dapat Cah rasa daripada nada para ustaz itu adalah rasa ghairah mereka apabila menyebut pasal kahwin lagi ini. Yelah, kalau para ustaz yang ingin berkahwin lagi digalakkan kerana mereka tahu hukum agama, yang mana sunat, yang mana makruh, yang mana haram dan halal, tetapi jika lelaki biasa ingin kahwin lagi itu tanda lelaki itu ikut nafsu. Entah daripada Cah dengar kata-kata itu pun tidak pasti, mungkin daripada seorang kawan Cah juga kot.

Semuanya kerana Cah seorang.

Budak-budak yang melihat orang-tua mereka pun terjangkit sama ingin tahu siapa itu Cah. Bukan apa, budak-budak tengok orang-orang tua lain macam sahaja, baik lelaki mahupun perempuan bila menyebut-nyebut nama Cah. Budak-budak ingin tahu sangat siapa itu Cah. Bintang realiti televisyen yang terbaharu ke. Menang dalam rancangan apa. Akademi Fantasia, Malaysia Idol, Raja Lawak, Maharaja Lawak, atau Ustazah Pilihan? Dalam musim ke berapa? Dan yang pasti bukan dalam rancangan realiti Imam Muda dan Pencetus Ummah kerana Cah ini tentu orang perempuan. Tetapi tidak tentu juga. Boleh jadi Cah ini berjantina lelaki. Semua boleh jadi.

Siapa Cah?

Hanya Cah sahaja yang mengenal dirinya. Dan Cah tidak mahu namanya dikenali. Cah tahu dia boleh merosakkan mereka semua. Sebab itulah Cah mengambil pilihan bersembunyi dan berahsia-rahsiaan. Cah sedar diri dia sangat hodoh, lagi menakutkan. Cah tak nak rosakkan tidur malam budak-budak. Cah sayang budak-budak kerana jiwa mereka sangat murni. Biarlah mereka tahu siapa itu Cah apabila mereka dewasa nanti. Bukan apa, orang dewasa bagi Cah sudah dapat membezakan buruk dan baiknya. Itu pun kalau mereka mahu memanfaatkan akal yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hambanya.

Namun apa jadahnya jika orang dewasa pun sekarang yang menjadi perosak akal budak-budak. Cah sangat sesal tentang ini. Cah tidak mahu dipersalahkan nanti. Cah sangat takut pada hukum Tuhan. Cah tahu tujuan dia dijadikan. Cah tahu tujuan dirinya dijadikan untuk menguji manusia. Jika tidak diuji tahukah manusia kekuatan iman mereka. Cukup. Cah tidak mahu berkhutbah dan berceramah. Cah memang tidak layak pun untuk berkhutbah dan berceramah. Kalau Cah berkhutbah dan berceramah nanti itu akan melenyapkan fitrah Cah.

Cah hanya didatangkan untuk menguji sejauh mana kekuatan iman dan akal manusia. Hanya itu tugas dan peranan Cah, tidak lebih dan tidak kurang. Tetapi itu pun bergantung kepada jenis manusia. Kalau mereka tahap ustaz, biasanya Cah susah sedikit nak menghampiri mereka. Tetapi kalau setakat penyanyi di dalam bilik gelap, Cah sangat-sangat suka mereka. Cah sangat suka orang-orang yang berahsia-rahsiaan dan bersembunyi-sembunyian. Walaupun ustaz pun suka berahsia-rahsian dan bersembunyi-sembunyian tetapi mereka berbuat begitu kerana hendak mendekatkan diri kepada Pencipta mereka. Cah tak nak gangguan tumpuan mereka. Cah tahu-tahu sangat itu. Cah tak nak sangat mendekati mereka, tetapi jika ustaz-ustaz itu yang mendekati Cah, Cah tidak boleh buat apa-apa. Cah akan dekati lagi diri Cah kepada mereka. Mereka juga bukankah manusia yang mempunyai fitrah.

Cah ini sebenarnya hanya alat yang dijadikan oleh-Nya. Tetapi Cah berasa pelik. Bukan apa, Cah sememangnya tahu kedudukan Cah. Cah sebenarnya hanya alat. Itu pasti. Manusia yang mempergunakan Cah. Dalam erti kata lain, manusia yang memperalatkan Cah. Alat kepada manusia untuk merosakkan manusia sendiri. Tidak kurang, tidak lebih. Cah tahu-tahu sangat itu. Tetapi itulah fitrah Cah dijadikan. Sejak itu dari awal-awal lagi Cah beritahu bukan Cah yang minta dilahirkan. Tetapi Cah yang sudah ditakdirkan untuk menjadi alat untuk manusia untuk merosakkan manusia sendiri.

Tetapi mengapa Cah yang disalahkan oleh mereka?

Ya, Cah sangat sedih sekarang kerana tuduhan dan cemuhan itu datang daripada mereka sendiri. Mereka menuduh Cah yang menyebabkan iman mereka rosak. Cah sangat sedih kerana sepatutnya mereka yang membela Cah, bukan mengejek Cah. Mereka sepatutnya menasihati Cah bukan mengeji Cah. Mereka sepatutnya membimbing Cah bukan bimbangkan Cah merosakkan suami, isteri dan anak-anak mereka. Ini tidak, mereka yang sendiri menyeru supaya pihak berkuasa menghalau Cah keluar dari negara ini. Biar Cah merempat di negara lain. Biar Cah sedar diri. Biar Cah mati sendiri. Tetapi Cah hanya berasa itu tindakan yang sia-sia sahaja. Kalau Cah dihalau pun, Cah tetapi pada mata dan hati mereka. Mereka tetap dapat mengakses Cah di alam maya dengan begitu mudah sekarang melalui telefon pintar mereka. Dapatkah mereka menghalau bayangan Cah itu? Cah menggeleng-geleng kepalanya berkali-kali.

Cah mahu mereka mendekati Cah. Memahami hati nurani Cah. Mendidik budi Cah. Menyantuni Cah seperti mereka menyantuni ibu-ibu dan anak-anak perempuan mereka. Bukan menjadikan Cah gosip mereka. Bukan juga menjadi Cah musuh peribadi mereka. Mereka tidak akan dapat mengalahkan Cah. Jika pun mereka sampai membunuh Cah, bermakna mereka membunuh diri mereka sendiri. Cah adalah mereka dan mereka adalah Cah.

Bukan Cah yang mahu semua ini.

Berkali-kali Cah minta dan mohon supaya nama Cah tidak diuar-uarkan. Cah minta supaya gambar Cah tidak diambil. Cah tahu akibatnya. Cah tahu ada yang akan menyalahgunakannya. Cah tahu fitrah manusia. Cah mohon juga supaya diri Cah tidak ditampilkan di hadapan lensa kamera dan video. Biarlah Cah hidup sendiri seperti asal kejadian Cah. Cah tidak mahu publisiti. Cukup. Tetapi mereka telah mengambil kesempatan atas fitrah Cah. Mereka telah memanipulasikan wajah dan tubuh Cah.

Sejak itu ramai yang mencari dirinya. Bukan sahaja pihak yang mengakui dari media, tetapi yang ingin melamar Cah pun sanggup datang dan menawar diri. Ada yang melamar Cah untuk menjadi model. Ada yang melamar untuk menjadi artis. Ada yang melamar Cah untuk menjadi pelakon dan akhir sekali ada yang melamar Cah untuk memberi ceramah agama. Dengan berbagai-bagai ganjaran, tidak sedikit habuannya. Tetapi Cah tetap menolak dengan baik dan menahan diri. Cah tahu, itu bukan tempat Cah yang sesuai. Cah ini buruk lagi hodoh. Mereka harus menghindari diri dan keluarga mereka daripada Cah. Biar Cah bersendirian. Itu lebih baik kepada Cah dan mereka. Tetapi sebaliknya, mereka yang ingin membawa Cah ke dunia kepopularan. Cah tidak mahu semua itu. Itu bukan atas kesanggupan Cah. Mereka telah melanggar hak dan sifat semula jadi Cah.

Bukan itu yang Cah cari semua itu. Cah tidak cari kemewahan. Cah tidak cari kedudukan. Cah tidak cari kepopularan. Semua itu Cah tahu akan lenyap bersama musnahnya jasad. Nama baik memang akan dikenang, tetapi tidakkah di sebalik nama baik ada juga keburukannya. Kemewahan yang ditinggalkan juga akan habis. Apatah lagi pangkat yang dipegang. Semuanya seperti hujan yang jatuh di pasir. Lenyap. Jika jatuh ke lantai marmar mahupun kaca sekalipun akan lenyap juga. Tersejat ke udara. Semuanya kesementaraan.

Ah, Cah bukan mahu mengubah fitrah kejadian Cah, tetapi sekarang keadaan Cah seperti telah melangkau kejadian Cah. Bukan lagi sebagai penggoda tetapi telah menjadi fitnah kepada mereka. Cah benar-benar rasa diperalatkan. Bukan lagi menjadi alat.

Sesungguhnya bukan Cah yang merosakkan mereka, tetapi merekalah yang merosakkan diri mereka sendiri. Cukuplah. Carilah cara lain selain daripada mencari Cah. Cah ingin berehat sekarang. Cah sudah letih dan lelah. Cah tidak lagi mahu menjadi tumpuan daripada budak berhingus sehingga tua renta yang menunggu saat. Jangan cari Cah lagi. Biarkan Cah bersunyi-sunyian dalam kerahsiaan.

Nama Cah meniti pada bibir-bibir mereka. Nama Cah menjadi mainan mereka. Nama Cah tidak lagi digeruni dan ditakuti. Budak-budak boleh menyebut nama Cah sesuka hati di depan orang tua mereka. Bukan apa kerana orang tua-tua mereka pun semakin galak menyebut perihal Cah.