Bersemangat benar Sir Broker dalam usaha yang gigih lagi ketagihnya memberi keyakinan kepada orang yang dikempen supaya berikan salinan geran tanah kepadanya.

Dakwanya, matlamat utamanya adalah supaya tuan-tuan punya tanah memberi peluang kepadanya menjutawankan sesiapa sahaja yang memiliki tanah dan mahu menjadi jutawan mudah.

 

“Bukan nak geran asli pun. Cuma nak salinan geran dan salinan kad pengenalan tuan tanah bersama salinan kad pengenalan dan dua keping gambar pengiring”

“Pengiring?” soal Zakiah Batu Mengkebang.

“Hm. Pengiring akan dapat lima peratus”

“Lima peratus daripada berapa jumlah?”

“Kalau lima puluh juta, pengiring dapat lima peratus daripada lima puluh jutalah”

“Maknanya dua perpuluhan lima juta?. Wowwww!”

“Tak tahulah berapa jumlahnya. Kiralah sendiri

“Apa akan jadi pada tanah tu?”

“Tanah tu terus jadi hak tuan punyanyalah”

“Tuan tanah dapat duit tetapi tanah terus kekal jadi hak tuan tanah?”

“Bagi boss aku, tanah-tanah tu tak ada nilai, tak ada guna pun”

“Pelik”

“Tanah tu hanya diwayangkan untuk cairkan duit sahaja. Tanah tu tak mahu

diketahui pun berada pada lokasi mana”

“Nak dicairkan? Duit apa dibekukan?”

“Susahlah nak jelaskan. Duit tu bukannya beku macam air batu”

“Kawan aku ada tanah dua belas ekar. Dia sedang bermasalah. Perniagaan down. Dia perlukan duit” celah Meli Rong Chenak.

“Aku boleh tolong. Bawa mari geran kawan mu tu cepat” arah Sir Broker.

“Aku sedang usahakan pinjaman untuknya?”

“Pinjaman dengan bank?”

“Ya ‘lah”

“Bank-bank di negara ni mana ada duit sekarang”

“Mana boleh bank tak ada duit”

“Aku tahulah”

“Dari mana kau tahu?”

“Boss aku orang ada power di Bank Dunia”

“Boss yang mana?”

“Yang nak salinan geran, yang suruh aku mainkan peranan untuk jutawankan orang yang mahu jadi jutawan”

Berapa nilainya untuk tanah dua belas ekar?”

“Sembilan puluh juta”

“Banyakya”

“Kalau kau jadi pengiring, kau dapat lima peratus”

“Daripada sembilan puluh juta?”

“Hm”

“Berapa jumlahnya?”

“Empat juta setengahlah” celah Zakiah Mengkebang.

“Tak mau lah aku duit sebanyak tu” tolak Meli Rong Chenak.

“Kenapa?”

“Dulu gaji aku empat ribu setengah sebulan pun aku dah sombong bukan main. Aku takut kalau aku ada empat juta setengah, nanti aku bukan sahaja akan sombong tetapi akan bongkak dan angkuh sekali”

“Mu tak percaya?” soal Sir Broker. Ada nada frust daripada getar suaranya.

“Kenapa bayar kira ekar. Bukan ke sekarang ni keluasan tanah dikira dalam bentuk hektar?” tanya Meli Rong Chenak.

“Tak tau” balas Sir Broker.

“Tak kiralah dikira ekar ke kira hektar ke Li, asalkan dapat pitih” celah Noor SUK yang terkenal dengan orang yang sentiasa selamba dan mudah dalam kira bicara.

Dia mendakwa akan serahkan dokumen ladang seluas dua puluh dua ribu ekar yang khabarnya mahu dijual pada jumlah enam ratus enam puluh dua juta lima ratus ribu kepada orang yang Sir Broker dakwa sebagai bossnya.

Sir Broker kata bossnya bukan sebarangan orang, kawan akrab kepada bossnya itu adalah adik Ratu Pemerintah England yang telah memeluk Islam dan memakai nama Ibrahim.

Ibrahim mempunyai kuasa dan pengaruh ke atas Bank Dunia.

“Kerajaan mana-mana negara pun di dunia ini tidak boleh buat main-main dengan boss aku, apatah lagi dengan adik Ratu” tegas Sir Broker

“Boss aku ada kuasa untuk bekukan operasi Bank Negara di negara kita ni” tokoknya.

“Wow, hebat!” celah Zakiah Mengkebang dengan suara separuh menjerit kerana terlalu teruja.

“Untuk bayar BR1M pun guna duit boss aku kalau kau nak tau. Bank Negara dapat bernafas pun kerana boss aku” dakwa Sir Broker.

“Ya ke?” tanya Meli Rong Chenak diiringi tawa kecil.

“Menteri besar di sebuah negeri dan bersama anggota exconya akan ditangkap dan pilihan raya akan semula diadakan tidak lama lagi. Kalau tak percaya nanti tengok dalam sebulan dua lagi”

“Kenapa pula?” soal Meli Rong Chenak.

“Boss aku suruh tangkap”

“Sebabnya?””

Sir Broker tidak mahu menjawab soalan-soalan Meli Rong Chenak, sebaliknya dia mahu Meli Rong Chenak ikut Noor SUK, Zakiah Mengkebang dan seorang lagi rakan dari Kota Jelasin berjumpa bossnya.

“Lokasinya?”

“Nanti kau tahulah”

“Mana boleh pergi kalau tak tau lokasi. Urusan libatkan nilai wang puluhan dan ratusan juta ringgit. Tak mustahil akan jadi macam kes ratu kecantikan, kalau tak kena gayanya”

Noor SUK dan Zakiah Mengkebang setuju dengan pandangan Meli. Cuma rakan dari Kota Jelasin yang membantah.

“Chalok” Sir Broker mengalah apabila Meli Rong Chenak, Noor SUK dan Zakiah Mengkebang berkeras tidak akan ikut serta seandainya tidak dimaklumkan lokasinya.

“Terengganu?” tanya Noor SUK.

“Dekat Permaisuri. Walaupun di Terengganu tapi orangnya cakap loghat Kelantan”

“Tak banjir ke?” soal Zakiah Mengkebang

“Belum lagi. Kerana itu nak pergi esok. Takut nanti banjir pula kalau lambat pergi”

“Ok” Meli Rong Chenak memberikan persetujuan.

“Pukul Sembilan pagi kita bertolak. Berkumpul rumah mu, Meli. Pergi dengan satu kereta cukuplah” cadang Sir Broker.

“Beres” sanggup Meli Rong Chenak.

Pada malam sebelum bertolak, Meli Rong Chenak minta izin tuan punya tanah seluas dua belas ekar untuk menyerahkan salinan geran dan salinan kad pengenalannya.

“Saya jadi pengiring, Tengku. Saya tak nak pun duit komisen tu. Nanti bila dapat duit tu saya serahkan pada Tengku”

“Saya dapat sembilan puluh juta, campur dengan awak punya pula empat perpuluhan lima juta, maknanya saya akan dapat sembilan puluh empat perpuluhan lima jutalah?”

“Tak. Tengku akan dapat lima puluh perpuluhan lima juta”

“Kenapa pula?”

“Yang Sembilan puluh juta tu kena dibahagi dua dengan pihak yang mengurus, Tengku”

“Jadinya?”

“Tengku dapat empat puluh lima juta daripada sembilan puluh juta. Dah banyak tu. Kalau dijual nilainya berapa?”

“Sekitar satu perpuluhan lima juta”

“Maknanya Tengku dapat tiga puluh juta lebih tinggi daripada harga tanah tu. Bila dicampur dengan komisen saya sebagai pengiring, Tengku akan dapat empat puluh perpuluhan lima juta lebih tinggi dari harganya sebenar”

“Soalnya dapat ke tidak?”

“Tak berani jaminlah, Tengku. Lagi pun dia orang tak mahu geran sebenar. Cuma mahu salinan geran sahaja. Urusan pinjaman dengan bank yang Tengku saya tolong uruskan diteruskan juga. Kertas kerja untuknya sedang saya siapkan. Kira kita guna satu tembakan untuk tumbangkan dua ekor kijanglah ni, Tengku”

“Kita cubalah”

“Dia orang pun tak mahu tanah tu. Bila dah dapat duit, Tengku nak jual tanah-tanah tu pada orang lain pun tak apa”

“Macam tak percaya saya”

“Saya pun tak berapa percaya. Esok bila saya jumpa orang yang mendakwa separuh daripada wang di Bank Dunia adalah miliknya, akan dapatlah jawapannya. Saya akan maklumkan pada Tengku dari sana”

Esoknya lewat setengah jam daripada yang dijanjikan, Sir Broker muncul bersama seorang rakan di rumah Meli Rong Chenak yang sedia menunggu bersama Noor SUK dan Zakiah Mengkebang.

Setelah membelah hujan yang adakalanya lebat dengan kereata berkuasa kuda 650cc, Sir Broker mengarahkan pemandu kereta berhenti di depan sebuah rumah kampung dengan halaman rumahnya berselut seakan kubang kerbau.

Kedatangan rombongan pembawa geran tanah dan dokumen ladang seluas dua puluh ribu ekar dipersilakan naik ke rumah yang dengan memuatkan enam orang pun, kaki dua orang daripadanya sudah terpaksa dihulur ke atas tangga.

Meli Rong Chenak memilih berteduh di bawah pokok rambutan walaupun hujan membasahkan pakaiannya.

Tuan punya salinan geran tanah dua belas ekar menelefon Meli Rong Chenak, bertanyakan perkembangan semasa.

“Awak kat hotel mana?” tanya tuan punya salinan geran tanah dua belas ekar.

“Saya duduk di lobi sahaja, Tengku” jawab Meli Rong Chenak sambil menahan gelak.

“Ai, hotel apa ada bunyi ayam berkokok?” soal tuan punya salinan geran tanah dua belas ekar apabila dia mendengar bunyi ayam berkokok.

“Hahahaha”

“Kenapa ketawa?”

“Nanti saya cerita bila balik, Tengku”

“Hati-hati. Jangan sampai awak jadi macam kes ratu kecantikan sudahlah ”

“Insya-Allah, Tengku. Saya ada pendinding. Hahahaha”

“Dia orang bayar dengan duit tunai atau cek?”

“Nanti saya cerita kemudian, Tengku. Hahahaha”

“Okey”

“Nanti ada apa-apa perkembangan saya akan maklum pada Tengku.

Hahahaha”

“Adik Ratu ada sekali ke tu?”

“Nanti saya cerita bila balik, Tengku. Hahahahaha”

“Okey”

Meli Rong Chenak menahan muntah kerana terasa loya serta merta melihat Sir Broker mencium tangan orang yang didakwa bossnya walaupun orangnya jauh lebih muda daripada Sir Broker sendiri.

Tidak lama selepas segala geran diserahkan, Noor SUK keluar daripada sidang puluhan dan ratusan juta dan mendekati Meli Rong Chenak yang berlindung daripada hujan renyai-renyai di bawah pokok rambutan.

“Macam mana pandangan, Li?” soal Noor SUK bila mendekati Meli Rong Chenak.

“Pandangan apa?”

“Boleh percaya ke boss Sir Broker tu pemilik separuh daripada pitih di World Bank?”

“Mana ambo tahu. Nak rujuk dengan World Bank pun ambo takdok gu. Hihihihi”

“Takkan kalau dah duit banyak, rumah pun sudahlah dalam semak dengan depan rumah lecah macam kubang babi, saiznya very-very teruk. Hahahaha”

“Takut dia zuhud orangnya, Abe Noor”

“Zuhud macam mana hisap rokok sambung putin. Nampak kotak rokok macam nak seghamba. Pelahap nampak”

“Hujan ni. Abang Noor naiklah ke dewan sidang”

“Li?”

“Biarlah ambo di sini. Nak naik pun dah tak muat. Hihihihihi”

“Hak sengotinya. Li rasa patut serah ke tidak dokumen ni?”

“Kalau ambolah, ambo tak serah”

“Ambo faham dah tu. Hahahaha”

Pemilik separuh daripada duit di Bank Dunia rumahnya lebih kecil daripada kandang untuk penempatan dua ekor lembu, munasabah ke tidak?.

Itu antara hujah Meli Rong Chenak yang menarik balik salinan geran dan salinan kad pengenalan pemilik tanah dua belas ekar membuatkan Sir Broker menyinga.

“Bayar enam ratus sepuluh ringgit untuk dapat sembilan puluh juta. Apa nak dikedekutkan” marah Sir Broker.

“Bukan soal kedekut. Kalau nak enam ribu pun aku boleh beri sekarang. Soalnya untuk apa?” sanggah Meli Rong Chenak.

“Untuk proses. Untuk tambang gi-mari”

“Kenapa tak guna duit dia dulu, dapat duit yang dicairkan nanti ambillah”

“Dia mana ada duit”

“Kata separuh daripada duit di Bank Dunia dia yang punya”

Sir Broker diam.

“Kata nak tolong. Kalau ambil duit dulu atas apa alasan sekali pun, itu bukan tolong namanya. Tapi membebankan orang yang nak ditolong”

Sir Broker masih diam.

“Nak menipu pun biar munasabah. Kalau Pak Had Ceton Tembus mari sekali dengan kita semua ni, Pak Had pun tak akan percaya. Kalau ada hak percaya juga, maknanya standardnya lebih rendah dari Pak Had Ceton Tembus”

“Aku bayar enam ratus sepuluh tadi” celah rakan dari Kota Jelasin.

“Hahahaha. Demo boleh ccayo?”

“Ambo dengan Li ni jadi broker dekat sepuluh tahun dah. Sebab tu sebelum serah dokumen, ambo rujuk dengan Li dulu” celah Noor SUK.

“Kesimpulannya?” tanya Zakiah Mengkebang.

“Kita semua dah jadi mangsa broker maut” kata Noor SUK.

“Kita terjerumus ke lembah angan-angan dan impian seorang broker yang saya yakin ada masalah mentalisme. Dia tidak salah tetapi kita yang bodoh dan telah diperbodohkan hanya kerana keinginan menjadi jutawan mudah walaupun punca untuk jadi jutawan mudah itu sangat tidak munasabah” kata Meli Rong Chenak.

Sir Broker membisu seribu bahasa, malah mula berpeluh walaupun dalam cuaca yang sudah sejuk kerana musim hujan dan kereta berhawa dingin apabila pemandu kereta mengugut akan tinggalkannya di tepi jalan Kampung Belara supaya pulang berjalan kaki ke Kota Bharu atas nama kezuhudan.