Secara umumnya, puisi prismatis begini kaya dengan makna yang tuntas, penggunaan majas secara jelas dan teliti dalam memilih diksi,tetapi tetap mengekalkan kepuitisan bahasanya yang sebegitu emotif sekali. Membaca puisi-puisi Khalid Salleh memang menyeronokkan kerana ada teladan dan ada kecindan. Selari dengan pandangan penyair Amerika, Robert Frost iaitu: “Puisi bermula dengan keseronokan dan berakhir dengan kebijaksanaan.”

Tidak dinafikan, puisi-puisi Khalid Salleh mudah difahami dan senang hadam. Garapannya kelihatan sedemikian polos, tetapi kepolosan itulah mencerminkan keperibadian beliau sebenarnya yang suka berterus-terang dan memudahkan dirinya berkomunikasi dengan pembaca. Lebih tepat lagi, puisi-puisinya amat komunikatif tanpa batas sempadan merungkai setiap ruang perspektif. Benarlah, puisi ‘Kalau Aku jadi PM’ ada daya tarikannya yang tersendiri. Turut terkesan, seakan ada nada protes yang mengandungi pelbagai harapan dan impian yang mahu dilaksanakan jika kuasa berada di tangan. Rasa ketidakpuasan ini lahir dari hati nurani yang suci murni dan keluhurannya amat asli terhadap tanah air sendiri. Memang ada aura nasionalisme terpancar dari jiwanya dan cahaya patriotisme menyinari kerja sasteranya.

EKSKLUSIF

Ternyata protes kendiri yang dialami oleh penyair dapat dilentur menjadi saran kebaikan, diatur ke arah keterbukaan dan kemurniaan akal fikiran. Perasaan tidak puas hati terhadap tingkah laku atau tindak-tanduk manusia menjadi sumber ilham utama. Jelas, penyair bebas menyuarakan hasratnya yang sarat dengan pelbagai langgam itu tidak hanya terpendam atau dibiarkannya menjadi dendam yang bungkam. ‘Kalau’ belum tentu berlaku yang berupa hanya impian atau utopia sebuah cita-cita. ‘Aku’ adalah watak ciptaan boleh sahaja menjadi diri penyair atau mewakili segelintir atau sejumlah besar rakyat Malaysia yang punya cita-cita untuk menjadi seorang Perdana Menteri (PM). Ironisnya, jawatan PM tidak mungkin diiklankan di mana-mana media dan menjadikan jawatan ini sebegitu eksklusif dan istimewa. Namun, perkataan ‘PM’ juga ada makna lain bagi penyair dengan mentakrifkannya sebagai ‘Pemikir Masa’. Mengapakah tajuk begini menjadi pilihan penyair?

Khalid Salleh, hidupnya sebagai penyair sebenarnya bermotif dan mempunyai sebab-musababnya kendiri; beromong bukan kosong, berbicara punya makna dan saran punya alasan. Beliau sebegitu kasih dan sayang kepada tanah airnya dan melalui puisi ‘Kalau Aku Jadi PM’ membuktikan jati dirinya tidak boleh dipertikaikan lagi. Pelbagai persoalan susah senang, maju mundur, hidup dan mati adalah terpikul di pundak kita sendiri. Sungguh luar biasa bilamana beliau meluahkan isi hati dan jiwa nurani dengan bebas, tegas dan berani begini.

MARUAH

Dalam puisi ‘Tanah Melayu’ pula semangat nasionalisme Khalid Salleh jelas terserlah. Kecintaannya kepada tanah air adalah gambaran melalui kata-kata yang mudah difaham dan dihadam oleh sesiapa yang memahami dan turut merasai getirnya memerdekakan negara ini dari belenggu penjajahan. Manakala, kemerdekaan itu perlu diisi dengan segala kemajuan yang memanfaatkan anak pribumi, bukan menjadi pelarian di bumi sendiri melalui petikan, “di manakah sumpah dan teriakan seorang Hang Tuah / ‘Tak kan Melayu hilang di dunia’ / siapakah tuan dipertuan / yang telah menumpahkan tinta sejarah” / “jadikanlah Melayu sebuah peradaban kita / bentangkan kebenaran sejarah / di bahu para pedagang / jangan jadikan serampang menikam dari belakang / kebun pisang jangan dibuat tempat membela beruk / tangan yang memberi jangan dilukai / mulut tersenyum jari mencubit / dimakan mati emak diluah mati bapak / sekali berkepak jangan dahan dipatahkan”….

Seterusnya beliau mempersoalkan asal-usul anak pribumi yang sudah kehilangan kepunyaan dan kekuasaan di mana kaum pendatang-pendatang asing yang mengambil kesempatan berniaga dan berkuasa. Ditambah pula bahasa Melayu sudah kehilangan maruah apabila pendatang-pendatang ini tidak menghormati bahasa mahupun bangsa Melayu yang menjadi tuan di bumi Malaysia ini. Segala kebejatan ini siapakah dalang menjadi pengkhianatnya?

Penyair Khalid Salleh teramat jujur dan berterus-terang. Di samping kritikan penanya yang teramat tajam menghunjam perasaan, beliau tetap menghimpun santun. Timbul pertanyaan demi pertanyaan yang perlu dijawab oleh serendah-rendah marhaen sehinggalah setinggi-tinggi pemimpin. Tidak sukar difahami pertanyaan yang dilontarkan oleh penyair ini melainkan kita bersikap acuh tak acuh dan mengambil mudah mengkesampingkan fakta sejarah, sehingglah kelak menyesali segala kebenaran yang dipertahankan sudah jatuh tumpah ke tanah. Secara tersiratnya, panyair amat faham mengenai kontrak sosial dan mengerti akan jalur-jalur perlembagaan negara mengenai hak dan ketuanan yang perlu dipertahankan. Adakah kita sedar dan bersama mengakui hakikat ini?

NURANI

Bagaimanapun, di sebalik kekerasan dan ketajaman hamburan kata-kata, Khalid Salleh masih mempunyai kehalusan seni nuraninya, masih ada lembut melankolis nubarinya, masih menghargai keindahan dan kehidupan yang harmoni melalui puisinya ‘Percikan Sinar’ yang telah memenangi Hadiah Sastera ESSO-Gapena 1984/85 seperti berikut:

“erat bagai gading / julukan kiambang…ukiran cahaya kemilau / menampan hiasan resah…saujana terukir di ufuk / menyerlah titian waja…kemuning melingkari / titipan ratu dewangga / seuntai rindu menyingkap / tabir merjan terapung / melamar bisikan hening / merawat agihan ranggani / kiliran kasih terungkai / bagai lipatan malam / cahaya gemerlap / percikan sinar.”

Penyair, penulis, pengarah, aktivis teater ataupun seniman Khalid Salleh juga tersohor dalam dunia teater adalah seangkatan dengan kumpulan Anak Alam. Beliau merupakan pemegang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Jogho, dan Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Azizah The Legend. Suara kemanusiaan penyair ini sedemikian lantang bukan sahaja dalam genre puisi tetapi juga di persada pentas yang mana drama monolognya ‘Jual Ubat’ telah memungkinkan beliau menjelajahi ke segenap pelosok negeri seperti di Malaysia, Singapura, dan beberapa buah kota di Indonesia. Membuat persembahan dan bermonolog sendirian memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang mencabar konsisten bakat dan perwatakan yang dibawa. Itulah Khalid Salleh yang serba boleh.

Penyair Khalid Salleh tidak sempurna, tidak juga diri kita, tetapi beliau berjaya melentur hidup seadanya dan tidak pernah tunduk kepada kekalahan. Sebagaimana Goenawan Mohamad berkata: “Hasil seni tidak pernah sempurna, meskipun ia selalu ingin demikian.” Khalid Salleh tersendiri sebagai penyair kreatif, wibawanya ofensif tetapi puisi-puisinya cukup ekspresif, menjadikan beliau spesies Melayu terakhir di bumi Malaysia ini. Pemergian Khalid Salleh menghadap Tuhan pada 23 Julai, 2018, menyaksikan dunia sastera tanah air kehilangan sebutir permata yang teramat berharga dan hilangnya tidak mungkin berganti.