Tiga orang lagi anak saya bersama suami di Kuala Lumpur. Bila anak lelaki saya itu cuti semester, kami pulang ke tanah air. Itulah masanya untuk kami makan besar.

Tapi ketika menunggu makanan sampai, anak ketiga saya, Laila asyik memandang ke arah sebuah bangunan kosong di hadapan restoran tadi. Saya tanya dia, “Kenapa?”

 

Jawab Laila, dia lihat ada beberapa makhluk hitam di tangga, kaki lima dan pokok besar berhampiran bangunan kosong itu. Satu daripadanya bertubuh besar dan tinggi, berdiri di belakang pokok, tidak berganjak.

“Biarlah. Dia tau Laila nampak dia. Dah, jangan tengok dia. Itu tempat dia, jangan kacau dia. Dia pun makhluk Tuhan, dia ada tempat tinggal sendiri,” jawab saya.

Laila, yang akan mengambil SPM hujung tahun ini anggukkan kepala dan tidak mempedulikan lagi makhluk yang dilihatnya itu. Saya pandang suami. Pandangan kami bertembung…

 

TANDUK DAN API

Seingat saya, saya mula melihatnya ketika berusia tujuh atau lapan tahun. Saya selalu nampak ia duduk bertenggek di bucu bumbung bilik tidur. Bentuk badannya seperti manusia, warna hitam, bertanduk dan berekor. Yang menakutkan, seluruh badannya dipenuhi api.

Setiap kali saya hendak tidur, makhluk hitam yang badannya dipenuhi api ini akan menunjukkan diri. Jika tidak bertenggek di bumbung, ia akan duduk di lantai, belakang almari, berjalan keluar masuk bilik atau melintas katil saya.

Saya beritahu pada datuk, tapi datuk hanya berkata, “Biarlah. Dia tak kacau Alang, Alang jangan kacau dia.”

Saya cakap pada datuk, saya takut sebab makhluk itu suka memandang saya, seakan mahu memberitahu saya bahawa, dia tahu saya boleh melihatnya.

“Biarkan aja. Dia sengaja nak beritahu alang yang dia ada, itu saja.”

Seingat saya juga, makhluk hitam yang bertanduk dan sentiasa terbakar ini mula menunjukkan dirinya sejak senja, berkeliaran di sekitar rumah datuk. Sebentar ia muncul, sebentar ia hilang. Tetapi apabila saya hendak tidur, ia akan berada di dalam bilik. Bukan setiap hari, tetapi selalu.

Semakin usia meningkat, semakin banyak makhluk-makhluk alam lain nampak pada penglihatan saya. Ia berada di mana-mana, terutama ketika pertukaran waktu dari tengah hari yang panas terik ke waktu petang, senja dan menjelang dinihari.

Lama-kelamaan saya menjadi biasa dan tidak hiraukannya lagi, kecuali dua waktu ini. Pertama, semasa penganut suatu agama berarak sambil membawa peralatan dan melaungkan ucapan keagamaan mereka.

Saya ini cucu kesayangan datuk. Kebetulan pula ibu dan ayah ada masalah, lantas mereka letakkan saya di rumah datuk. Rumah datuk di Negeri Sembilan ini pula letaknya tidak jauh dari rumah ibadat agama tersebut.

Apabila sampai hari perayaan, mereka beramai-ramai berarak melalui depan rumah datuk. Bagi saya itulah waktu paling menakutkan. Penduduk kampung akan keluar untuk melihat mereka berarak, tapi saya pula akan cepat-cepat menyorok dalam rumah. Atau, sembunyi di celah pokok dan belakang badan datuk.

Ini kerana semasa penganut-penganut agama itu berarak, saya lihat di atas badan serta kepala mereka terdapat makhluk-makhluk hitam yang mengerikan. Ada yang berbentuk seperti monyet, melompat-lompat dari kepala seorang ke seorang yang lain. Kemudian ia bertenggek di atas peralatan agama yang mereka bawa itu.

Saya juga lihat ada makhluk seperti asap. Warnanya hitam, merayap dan bergerak ke sana ke mari, mengekori pergerakan kumpulan itu. Makhluk-makhluk hitam yang bentuknya seperti buah anggur bergugus-gugus, turut muncul entah dari mana. Tubuhnya panjang dan pada setiap `gugusan’ itu terdapat kepala yang menakutkan.

Ada juga yang berwarna kebiruan, kelabu dan keunguan. Bentuknya berbagai-bagai. Walaupun tiada yang seperti pontianak atau pocong, namun bentuk makhluk-makhluk itu pun sudah cukup menakutkan.

Pun begitu ia tidak segerun apabila berlaku kemalangan. Pernah suatu hari sebuah motosikal bertembung dengan kereta tidak jauh dari rumah datuk. Pemuda yang menunggang motosikal itu mati di situ juga. Kakinya patah, separuh mukanya hancur, badan dipenuhi luka akibat terseret di jalan.

Kebetulan saya ada di situ, lantas saya berlari dengan kawan-kawan untuk melihat kemalangan itu. Dalam sekelip mata saya lihat pelbagai makhluk yang menakutkan meluru datang. Dari belukar, dari bukit, dari dalam parit, dari celah rumah penduduk dan entah dari mana, ia tiba-tiba saja menyerbu datang.

Bentuknya sama seperti yang saya sebutkan tadi. Apabila sampai di tempat kemalangan, makhluk-makhluk ini segera menghisap, menjilat serta menyedut darah, cebisan daging dan juga lendir yang bertaburan di atas jalan.

Ia memakannya dengan lahap. Selepas kenyang, barulah makhluk-makhluk ini kembali ke tempat asal. Sejak itu saya cukup takut kalau berlaku kemalangan. Saya akan cepat-cepat pandang ke arah lain.

Ini kerana, makhluk itu bukan saja lahap memakan darah dan kotoran, ia juga akan memandang ke arah saya, seolah-olah mahu memberitahu, “Aku tau, kau boleh nampak aku!”

Dalam keadaan inilah saya membesar, hinggalah saya belajar di IPT.

EMAK

Sewaktu kecil lagi saya pernah beritahu emak apa yang saya lihat. Emak diam saja. Rupa-rupanya emak juga sama, dia boleh melihat makhluk ini. Emak tahu di mana makhluk itu tinggal dan bagaimana bentuknya.

Beberapa tahun lalu saya ikut anak kedua saya menyambung pelajarannya dalam bidang agama, di Mesir. Kami menyewa sebuah rumah. Tidaklah besar, tapi selesa. Cukuplah untuk kami berdua. Saya terperanjat, rupa-rupanya di negara itu juga banyak penampakan makhluk dari alam lain.

Suatu hari kami pergi ke stesen kereta api di Kaherah. Ketika sedang berdiri menunggu ketibaan kereta api, tiba-tiba anak saya memberitahu dia lihat ada makhluk hitam berkerumun di landasan. Dia juga lihat ada jelmaan menyerupai seorang lelaki sedang meluru mengejar kereta api yang sedang bergerak. Makhluk itu ghaib sebaik merempuh kereta api tersebut.

Kepada kedua-dua orang anak kami yang mampu melihat makhluk dari alam lain itu, saya beritahu mereka, ini adalah anugerah Tuhan untuk kita. Mungkin kita warisinya secara keturunan.

Kebolehan ini ada buruk dan baiknya. Jagalah akidah kita, jangan sampai kita menjadi riak dan syirik kerananya.

Makhluk-makhluk itu juga seperti hidupan lain macam lipas, tikus, semut, anai-anai dan sebagainya. Ia mempunyai tempat tinggal dan kehidupan sendiri. Jangan kita kacau mereka, kerana alam ini Tuhan ciptakan bukan untuk manusia sahaja. (SHEILA, KUALA LUMPUR.)