Daun-daun kering yang berguguran satu persatu ditiup angin kelihatan bertaburan di atas permukaan tanah. Sekali-sekala kedengaran bunyi ranting patah jatuh bergemertap ditiup angin dan menimpa tanah yang kering.

“Assalamualaikum!” Kedengaran suara orang memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab Pak Ismail dan kemudian lalu menuju ke muka pintu.

“Hah! Kau rupanya, Suf.

Naiklah!” katanya.

“Apa khabar, Mail?” tanya Pak Yusuf sambil bersalaman dengan Pak Ismail.

“Alhamdulillah, baik. Jemputlah duduk!” dia membalas.

“Kau dari mana, Suf?” soal Pak Ismail pula.

“Dari rumah. Aku datang ni nak jemput kau. Aku nak buat berkampung Sabtu depan. Anak aku, Redzuan nak kahwin,” dia menjawab.

“Alhamdulillah!” angguk Pak Ismail dengan pantas.

“Dia kahwin dengan orang mana?” tanyanya lagi.

“Melaka,” ujar Pak Yusuf.

Angin yang tadinya bertiup perlahan dan nyaman tiba-tiba bertukar menjadi kencang. Bunyi pelepah pisang di belakang rumah Pak Ismail berkelepak-kelepuk ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana petang yang diwarnai cuaca cerah.

“Hah! Abang Yusuf rupanya. Seorang aje ke. Kak Miah tak ikut sekali?” tegur Mak Kamsiah, isteri Pak Ismail tiba-tiba.

“Tak! Dia ada kat rumah,” jawab Pak Yusuf pula sebaliknya.

“Abang Yusuf datang nak jemput kita ke rumahnya, Sabtu depan. Berkampung. Anak lelaki dia, Redzuan nak kahwin,” Pak Ismail memberitahu isterinya.

“Oh, begitu!” angguk Mak Kamsiah dengan pantas.

“Abang Yusuf duduklah, ya. Saya nak ke dapur,” katanya lagi.

Dia kemudian lalu mengatur langkah menuju ke dapur untuk menyediakan minuman.

“Kita hidup di kampung ni macam itulah. Muafakat dan bergotong-royong dalam semua perkara. Lebih-lebih lagi dalam buat kerja kahwin,” ucap Pak Ismail.

“Sejak dari dulu lagi, kita dah didik hidup bermuafakat dan bantu membantu antara satu sama lain,” sokong Pak Yusuf.

“Memang seronok bila kita dapat berkumpul beramai-ramai di rumah kau tu nanti. Yalah! Bukan saja dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita, malah segala kerja yang kita rancang dalam majlis itu nanti akan berjalan dengan lancar dan sempurna,” kata Pak Ismail pula.

“Sebab itu, kita perlu berunding sebelum melakukan sesuatu pekerjaan,” tambah Pak Yusuf.

“Memang betul kata kau tu, Suf!” balas Pak Ismail dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Di situlah cantiknya adat berkampung. Aku harap anak, cucu, cicit kita akan meneruskan adat berkampung apabila kita dah tak ada nanti,” dia menyambung lagi.

Pohon-pohon menghijau yang mengangguk-angguk apabila ditiup angin seolah-olah bersetuju dan menyatakan sokongan terhadap apa yang dikatakan Pak Ismail itu. Angin yang datang dari arah bukit menyusup masuk melalui atap zink dan celah dinding papan rumah Pak Ismail.

Tak lama kemudian, isteri Pak Ismail muncul sambil membawa dulang berisi dua cawan air teh dan sepinggan keledek goreng yang masih panas. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Asap nipis kelihatan keluar daripada air teh dan keledek goreng yang masih lagi panas itu dan kemudian lalu menghilang.

“Jemput minum, Abang Yusuf!” pelawa isteri Pak Ismail.

“Terima kasih!” angguknya.

Isteri Pak Ismail kemudian lalu masuk semula ke dapur sambil membawa bersama dulang yang telah kosong.

“Hah! Jemput minum, Suf!” pelawa Pak Ismail pula.

Mereka lalu menikmati air teh dan keledek goreng sambil rancak berbual.

“Bagi aku sayang kalau adat berkampung hilang satu hari nanti,” ujar Pak Ismail.

“Bak kata orang, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bermula dari sekaranglah, kita perlu mendidik dan menanamkan ke dalam diri anak-anak dan cucu-cucu kita betapa pentingnya adat berkampung dikekalkan dan dipertahankan walaupun zaman sentiasa berubah,” sambut Pak Yusuf pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.

“Siapa lagi yang nak mempertahankan adat berkampung yang kita warisi sejak zaman datuk nenek moyang kita, kalau bukan mereka sebagai generasi baru,” tambah Pak Ismail pula.

“Aku yakin, Mail. Kalau mereka sentiasa didedahkan dengan adat berkampung semenjak daripada usia muda lagi, pasti mereka akan mengamalkannya apabila ada majlis perkahwinan,” ucap Pak Yusuf.

“Buat majlis kahwin ni, bukannya mudah. Tak macam kenduri biasa. Sebab itu, adat berkampung tak boleh kita ketepikan. Masing-masing dah tahu tugas dan tanggungjawab semasa berlangsungnya hari kejadian itu. Siapa yang jaga masak. Siapa yang jaga khemah. Siapa yang jaga pinggan mangkuk dan macam-macam lagi,” kata Pak Ismail.

Pokok rambutan yang tumbuh di halaman rumah Pak Ismail kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Buah-buah yang berguguran ditiup angin kelihatan memenuhi permukaan rumput yang menghijau.

Pohon nyiur yang melambai-lambai ditiup angin seolah-olah mengajak anak-anak muda yang sedang mencari rezeki di kota agar pulang menabur khidmat dan bakti di kampung halaman. Lambaian pohon nyiur seperti menyampaikan pesan bahawa tenaga mereka amat diperlukan untuk memajukan dan memakmurkan tempat yang menyambut kelahiran dan membesarkan mereka.

Cuaca begitu panas sekali. Tidak kelihatan langsung tanda-tanda hujan akan turun. Sudah lama hujan tidak turun. Hampir berbulan-bulan juga lamanya. Pak Ismail dan Pak Yusuf semakin menghangatkan lagi tajuk perbualan mengenai adat berkampung. Sehangat cuaca yang menyinari seluruh kampung.

“Seperti kata orang, duduk seorang terasa sempit, duduk ramai terasa lapang. Kerja kahwin ni tak boleh kita buat seorang. Kena buat beramai-ramai. Barulah pekerjaan yang berat menjadi ringan dan pekerjaan yang susah menjadi mudah,” Pak Yusuf berkata.

“Adat berkampung mendidik kita supaya menjadi seperti aur dengan tebing. Saling sandar-menyandar dan perlu memerlukan setiap waktu dan ketika,” ujar Pak Ismail pula sebaliknya.

“Bila duduk seorang, kita tak terfikir perkara yang penting dan perlu ada dalam majlis perkahwinan. Akibat terlepas pandang, semua ni maka majlis jadi tak sempurna dan jadi kekurangan. Maka jadi buah mulutlah orang yang datang. Sebab kita jemput mereka untuk sama-sama meraikan majlis yang kita adakan,” Pak Yusuf menambah.

“Sebab itu, kita perlu mengadakan adat berkampung terlebih dahulu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Bila dah duduk ramai, macam-macam perkara yang membawa kepada kebaikan akan timbul dan ini akan menjadikan majlis berjalan dengan lancar dan tanpa cacat cela,” ulas Pak Ismail pula sebaliknya.

“Memang itulah yang aku harapkan, Mail. Semoga orang yang datang dalam majlis aku nanti berasa gembira dengan layanan yang diberikan sebagai tetamu,” kata Pak Yusuf.

“Insya-Allah, Suf!” balas Pak Ismail pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Selagi kita masih berpegang teguh pada adat berkampung, majlis perkahwinan yang kita adakan akan berjalan dengan teratur sepertimana yang kita harapkan,” dia menyambung lagi.

“Dalam pada itu, kita harus ingat selagi namanya adat termasuk adat berkampung maka perlu kita kekalkan buat selama-lamanya tanpa berundur walau setapak pun,” tambah Pak Yusuf.

“Ya, Suf! Semoga kita sama-sama menjaga dan memelihara adat berkampung sebagai pesaka yang telah diturunkan oleh datuk nenek moyang kepada kita semua,” sokong Pak Ismail pula.

Menjelang lewat petang, Pak Yusuf lalu meninggalkan rumah Pak Ismail dan pulang ke rumah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk terus mempertahankan adat berkampung.