Untuk sampai ke hutan itu memakan masa sejam dengan berjalan kaki. Justeru, itulah halangan utama kepada pengunjung-pengunjung untuk sampai ke situ. Pengunjung-pengunjung terpaksa menyusuri denai, meniti batang-batang kayu balak, meredah alur sungai dan memijak akar-akar pokok yang berselirat. Kalau nasib tak baik, kaki menjadi mangsa pacat yang menunggu peluang menghisap darah.

 

Biasanya kami pergi bertiga; aku, Fakhrul dan Amri. Motosikal yang kami tunggangi, kami letakkan di kedai runcit Pak Leman. Dari kedai itulah kami berjalan kaki meredah hutan belantara itu. Di hadapan kami tertera papan tanda yang tertulis: DILARANG MASUK KE HUTAN SIMPAN KEKAl INI. ORANG RAMAI DINASIHATKAN TIDAK MANDI-MANDA DI AIR TERJUN KERANA IA ADALAH BERBAHAYA. SEBARANG RISIKO YANG BERLAKU ADALAH DI BAWAH TANGGUNGJAWAB PENGUNJUNG SENDIRI”.

Membaca notis pada papan kenyataan itu sudah cukup ‘menggerunkan’. Sudah beberapa kali tercetus berita tentang pengunjung mati lemas ketika mandi-manda di air terjun itu. Dengarnya, di situ terdapat sebuah lubuk pusing yang menyebabkan berlaku satu tarikan luar biasa yang akan menyebabkan berlaku kelemasan. Lubuk maut itu khabarnya memikili kedalaman sejauh 5 meter.

Aku, Fakhrul dan Amri tidak ambil pusing tentang arahan itu. Kami teruskan perjalanan tanpa rasa ragu. Masuk kali ini sudah tiga belas kali kami melolosnya. Bukan sekali dua. Segala liku telah kami hafal. Kalau perlu kami melompat, kami melompat. Kalau perlu kami mendaki, kami mendaki. Kalau perlu kami bergayut, kami bergayut. Segalanya di dalam kepala kami.

Rasa takut tidak pernah menjentik di hati kami. Apa yang hendak ditakuti. Yang penting, jangan mandi di tempat yang gazetkan bahaya.

Air Terjun Mulus kelihatan semulus perawan yang jelita. Air terjunnya luruh melampai kelihatan seperti rambut yang lebat disikat batu-batu gunung. Dingin airnya, bersihnya airnya, terasa asli lantaran tidak pernah dinoda oleh sebarang pencerobohan hutan atau pembangunan yang memudaratkan. Aku berharap Hutan Mulus akan mendapat pembelaan daripada semua pihak memandangkan sudah banyak hutan telah menjadi mangsa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Lengkung pelangi jam 10 pagi yang berwarna-warni menyambut ketibaan kami dengan gemilang. Bunyi kecipak timpaan air pada batu-batu gunung itu kedengaran riuh seperti hujan lebat seperti selalunya. Dingin airnya seperti air batu, juga seperti selalunya.

Demikian juga jernih airnya seperti berkaca adalah seperti selalunya juga. Pendek kata tidak ada apa-apa perubahan pun seperti selalunya.

“Ngauuuuuuuummmmmmm!”

Tiba-tiba telinga kami disapa oleh suatu ngauman yang tidak diduga; ngauman harimau.

Kami saling berpandangan. Ternyata kami tidak harus berlengah-lengah lagi. Walaupun tubuh harimau tidak kelihatan, tetapi petanda untuk ia menyerang kami sudah ada. Ia mungkin berada tidak jauh dari kami memandangkan suaranya begitu jelas kedengaran. Dan amaran itu tidak harus diambil mudah walaupun kami belum sempat mencecahkan tubuh pada air yang dingin itu.

Dengan pantas, kami mulai bergerak turun menuju ke jalan pulang. Gerak dan langkah

Kami hayun dengan berhati-hati. Mana tahu kalau-kalau Pak Belang mengekori kami di celah rimba hutan yang menghantu. Agak sukar untuk mempercayai kewujudan raja binatang itu di era moden ini. Tetapi apa yang didengari tadi seakan memberi erti bahawa sesuatu yang mustahil tidak semestinya akan menjadi mustahil sampai bila-bila.

Nasib baiklah aku tidak lemah lutut. Fakhrul tidak lemah lutut. Amri juga tidak lemah lutut. Kalaulah ada di antara kami yang lemah lutut, pastilah perjalanan kami untuk mudik keluar dari hutan itu menjadi lebih sukar. Kami melangkahkan kaki dengan tenang walaupun percaya nyawa kami sedang diancam. Bila-bila saja Pak Belang akan menerkam garang dan mengoyak-ngoyakkan tubuh kami; akan memamah-mamah daging kami dengan enak.

Namun, sepanjang perjalanan turun dari pergunungan hutan itu, tidak terlihat pun kelibat Pak Belang, tidak terdengar pun suara ngaumannya lagi seperti tadi. Kami tidak pasti di mana ia berada. Namun, percaya, ia masih menjadi penguasa di dalam hutan itu. Dan, tidak ada sesiapa pun yang boleh memasuki hutan itu sewenang-wenang kerana semenjak hari itu, ia sudah memberi amaran bahawa hutan itu miliknya. Air terjun yang jernih dan dingin itu miliknya.

Segala hasil mahsul hutan itu juga miliknya. Dan manusia bukan lagi penguasa yang boleh diharapkan-harapkan untuk menjaga hutan dengan baik. Banyak kerosakan hutan berlaku jika dibiarkan manusia berkuasa.

Kami tiba di kedai Pak Leman dengan selamat akhirnya. Kami terduduk keletihan.

Kami termangu ketakutan.

Tetapi, keanehan dan ketakutan itu tidak lama menghuni di hati Fakhrul. Keanehan dan ketakutan itu tidak lama bertakhta di hati Amri. Sebulan kemudian, mereka mengunjungi lagi hutan dan air terjun itu. Dengan bangganya mereka mengatakan harimau di dalam hutan itu telah tiada lagi. Mereka mengajakku untuk pergi lagi bersama-sama mereka dan menikmati kembali keindahan air terjun yang memukau itu.

“ Jomlah kita ke sana lagi. Harimau itu dah tak ada,” ajak Fakhrul.

“Benar, sudah dua tiga kali kami pergi, sebarang bunyi pun tak kedengaran,” pujuk Amri.

Aku tidak dapat menerima pelawaan Fakhrul dan Amri. Di hatiku telah tertanam perasaan takut. Di hatiku telah terpahat perasaan benci. Aku benar-benar tidak dapat mengubah pendirianku. Untuk melihat di kejauhan pun aku tidak sanggup, apatah lagi untuk menjejakkan kaki di situ bagai selalu. Aku teringat betapa sukarnya perjalanan untuk menyelamatkan diri tempoh hari. Cukup mencemaskan.

“Ngauman harimau itu sebenarnya adalah amaran. Kita tidak boleh ambil ringan atau sikap acuh tak acuh pada amaran. Jika kita buat tak kisah pada amaran, lambat laun, kita akan terperangkap. Sebab itulah, apa-apa saja perkara yang berbahaya didahului amaran. Kita perlu ambil langkah bijak untuk menghentikan perbuatan yang salah, sebelum terlewat.

Jika sudah terlewat baru hendak insaf tiada gunanya,” aku berkhutbah.

Si Fakhrul ketawa. Si Amri turut tertawa. Mereka semacam memperlekehku. Mereka seperti menganggapku pengecut. Benar, Fakhrul. Benar Amri. Memang aku pengecut. Aku terpaksa menjadikan diriku sebagai seorang pengecut demi untuk mencapai cita-citaku supaya selamat. Daripada aku memilih berani tetapi tak selamat, lebih baik aku memilih pengecut tetapi selamat.

Fakhrul dan Amri tidak mengendahkan kata-kataku. Mereka tertawa terbahak-bahak sambil melambai-lambaikan tangan padaku. Aku termangu-mangu memerhatikan gelagat mereka yang sedang berjalan menuju perut hutan. Sekilas, kuperhatikan juga papan amaran melarang pengunjung memasuki hutan simpan itu. Kini, semakin ramai pengunjung memasuki hutan simpan itu yang memiliki air terjun yang menarik sebagai daya tarikan.

Aku tidak mampu menahan Fakhrul dan Amri. Aku tidak mampu menyekat keinginan para pengunjung. Papan tanda yang jelas terpampang itu, sudah cukup untuk menghalangi mereka jika mereka benar-benar menghayati. Apakan dayaku. Hati mereka terlalu keras untuk menerima kenyataan.

Tentulah ada signifikannya kenapa pihak berwajib melarang sedemikian. Bukankah telah ramai yang mati lemas di arus pusing. Arus yang mempunyai kedalaman 5 meter itu sentiasa menjadi perangkap jika tidak berhati-hati ketika mandi. Perkara ini cukup kusedari tetapi tak pernah kuinsafi. Mujurlah ngauman harimau itu menyedarkanku untuk menghentikan perbuatan salahku. Jika tidak, sampai ke hari ini pun aku belum disapa keinsafan.

Hari sudah bertukar gelap. Kelibat Fakhrul dan Amri belum nampak. Hatiku mulai digayut sangkaan buruk. Orang ramai mulai memenuhi sekitar kedai Pak Leman. Aku tidak tahu kenapa. Tetapi, lantaran kelibat Fakhrul dan Amri belum muncul dan beberapa orang polis, pegawai JPAM dan pegawai bomba turut berada di lokasi itu membuatkan aku bertambah yakin ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada rakan baikku itu.

“Fakhrul dan Amri belum dijumpai lagi” kata Ibu Fakrul sambil mengesat-ngesat air matanya dengan lengan baju bila aku ajukan soalan mengenai mereka. Motosikal mereka berdua masih tercatuk di hadapan kedai Pak Leman.

Aku tidak tahu apa hendak dikata. Jauh di sudut hati, aku berdoa, mudah-mudahan Fakhrul dan Amri akan pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat tanpa mengalami apa- apa musibah atau kecelakaan walaupun punca kehilangan mereka di dalam hutan itu masih menjadi teka-teki disebabkan oleh apa sebenarnya.