Sungguhpun kejohanan ini berakhir hingga awal pagi — sekitar 4.45 pagi, penonton tetap setia menunggu sehingga ke akhir kejohanan.

Semasa perlawanan berlangsung dan berhenti rehat — para pengadil, pemain, pengurusan sukan, penonton — kelihatan membuka juadah masing-masing dan bersahur.

Ia cukup meriah. Ikatan “sporting spirit” ternyata akrab.

PEMENANG tempat ketiga pasukan Vilia bergambar dengan hadiah kemenangan. - UTUSAN ONLINE

PEMENANG tempat ketiga pasukan Vilia bergambar dengan hadiah kemenangan. - UTUSAN ONLINE

Acara ini boleh dijadikan satu budaya sukan dan ibadah secara tahunan, kata seorang penonton, Hafiz Mohd Nor.

“Saya terpersona dengan acara ini dianjurkan. Ia cukup ptofesional,” katanya seorang juruterbang profesional dan peminat sukan futsal dan bola sepak.

Dalam kejohanan yang bermula selepas solat sunat tarawikh, pasukan MAC dari Kelab MAC Selangor merangkul kejayaan dengan membawa pulanghadiah wang tunai bernilai RM1000 dan hamper.

Tim itu bermain dengan cukup cemerlang menewaskan 30 pasukan lain.

Tempat kedua dimenangi oleh TMT Shah Alam dan tempat ketiga dimenangi oleh Vilia dari Bangi.

Kejohanan menyaksikan sebanyak 30 pasukan berentap dalam kejohanan kalah mati di hadapan ramai peminat futsal sekitar Selangor.

Kejohanan yang diadakan di Pusat Sukan, UiTM Shah Alam berjaya menarik perhatian bukan sahaja penyertaan peserta dalaman UiTM malah dari pasukan luar dan juga juga pasukan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Selangor.

Semasa kejohanan ini berlangsung, aktiviti-aktiviti jualan juga turut berlangsung bagi memeriahkan lagi suasana kejohanan itu.

Kejohanan yang julung kali diadakan ini adalah bertujuanmenyasarkan golongan muda yang aktif dalam futsal sekitar Shah Alam.

Program kejohanan ini bermula selepas solat terawih sehingga waktu sahur.

Menurut penasihat program ini, Profesor Madya Dr. Sarimah Ismail, penganjur kejohanan ini terdiri daripada para pelajar Pengurusan Sukan (Semester 4).

“Saya cukup bangga kerana mereka berupaya meningkatkan kesedaran gaya hidup sihat di kalangan generasi muda sekitar Selangor di samping meningkatkan kesedaran keusahawan di kalangan pelajar-pelajar.

“Secara tidak langsung, program ini dapat mengelakkan aktiviti-akviti negatif di kalangan remaja, malah dapat menjadi landasan “socialization” yang sihat sesama mereka.

“Yang menariknya idea kejohanan ini iaitu futsal sahur cukup hebat,” katanya ketika ditemui di kejohanan itu.

Sementara itu menurut Pengarah Projek Fatin Mazrina Muhamad Yusoff, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar melaksanakan program secara hands-on selepas pembelajaran teori di dalam kelas “Sport Communication”.

“Bulan Ramadan, selain diisi dengan aktiviti keagamaan, aktiviti kesukanan sebegini dilihat dapat mengimbangi cara hidup duniawi generasi Y dan belia-belia yang sihat di negara ini,” kata beliau.

Ternyata para pelajar pengurusan sukan itu berjaya menjadi penganjur bertaraf profesional. - UTUSAN ONLINE