Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, supaya pelajar turut memanfaatkan kemahiran mengingat seperti menampal nota-nota penting, menggunakan kaedah akronim, tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah serta rekalah ‘cerita’ atau ayat mengenai konsep yang perlu diingati.

"Jadikanlah nota-nota yang diambil itu supaya lebih menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya. Tampallah maklumat yang rumit di tempat-tempat yang biasa dilihat," titah baginda.

Demikian titah Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Nangka, Tahun 2019’ di Dewan Ibnu Khaldun, Mata Ayer, di sini. Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

rmps-tip
 

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail dan Pengetua, Puzirah Abd Lateh.

Turut hadir, Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Program melibatkan seramai 224 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga sekolah itu adalah anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Baginda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut menyarankan agar guru-guru dijadikan sebagai sumber ilmu yang baik dengan segera bertanya apabila tidak faham tentang sesuatu perkara.

"Pada masa yang sama buatlah persediaan awal dengan membaca terlebih dahulu apa yang ingin diajarkan oleh guru pada hari berkenaan untuk lebih mudah difahami," titah baginda.

Bersempena keberangkatan ke sekolah termuda di Perlis yang baru berusia lima tahun itu pada kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan ‘Musolla Luqman Al-Hakim’ sekolah berkenaan.

Pada tahun 2018, Musolla sekolah yang dirasmikan ini telah menjadi Johan Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah (ABISS) Kementerian Pendidikan.

Terdahulu, diadakan ceramah bermodulkan Kesihatan, Jenayah, Bencana Alam, Dadah dan Sukan yang dikongsikan oleh para penceramah undangan dalam kalangan pakar-pakar bidang yang terbabit. - UTUSAN ONLINE