Lebih membanggakan, produk Superb Dairy Fertilizer (SDF) hasil ciptaan penyelidik universiti itu, Dr. Abd. Jamil Zakaria turut dipilih menerima anugerah utama dalam majlis penutup yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah petang semalam.

Jamil berkata, SDF merupakan baja inovatif baharu dalam industri tenusu dan telah dirumuskan untuk menyediakan nutrien seimbang yang diperlukan dalam pemakanan kambing tenusu bagi menghasilkan kuantiti dan kualiti susu yang tinggi.

Katanya, gabungan nitrogen, fosforus, kalium dan kalsium yang seimbang dengan elemen surih dalam SDF terbukti dapat membantu pertumbuhan, hasil dan kualiti rumput di samping meningkatkan kandungan protein dan kalsium dalam susu serta meningkatkan jumlah rumput yang sihat untuk makanan ruminan.

“SDF membekalkan nutrien lengkap dan seimbang serta diperkayakan dengan kalsium terutama untuk pertumbuhan cepat pastura iaitu makanan haiwan tenusu.

“SDF mudah dan praktikal untuk digunakan serta turut menjimatkan apabila hanya 5 hingga 10 gram diperlukan untuk setiap tanaman bagi setiap selang tiga minggu di samping tiada baja kimia tambahan sekali gus dapat mengurangkan pencemaran persekitaran,” katanya.

MPI 2019 yang belangsung selama dua hari berakhir semalam mengetengahkan sebanyak 420 produk penyelidikan dan inovasi kalangan institut pengajian tinggi (IPT), sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

Majlis penutupnya disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniSZA, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad dan yang hadir sama, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan universiti itu, Prof. Madya Dr. Saiful Bahri Mohamad.

Sementara itu, R Badlishah berkata, MPI 2019 mampu menjadi medan kepada para penyelidik dan pelajar untuk menzahirkan idea-idea inovasi kepada produk bermanfaat untuk kesejahteraan sejagat. - UTUSAN ONLINE