Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pusat tahfiz yang bakal dibuka mulai tahun depan itu akan beroperasi di bangunan yayasan di Dungun melibatkan pengambilan 12 pelajar untuk satu kelas.

“Buat masa ini, kita sedang membaik pulih bangunan tersebut dan kita jangka beroperasi bermula tahun depan. Pendekatan ini diambil memandangkan kita ada seramai 530 orang pelajar yang belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

“Oleh itu, bagi pengajian di Tahfiz Mandarin ini salah satu daripada mata pelajaran wajib adalah dalam bahasa Mandarin di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Hasilnya nanti mereka bukan hanya mampu menguasai pengajian Islam semata, tetapi juga pengajian lain yang mempunyai asas kekuatan sebagaimana dimiliki ulama-ulama terdahulu”, katanya.

Satiful Bahri berkata demikian ketika berucap pada Majlis PerasmianSekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Pengkalan Berangan di Binjai Rendah, di sini petang semalam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Menurut Satiful Bahri, pembukaan sekolah Tahfiz Mandarin seumpama itu tidak memerlukan kos besar kerana ia menggunakan bangunan sedia ada manakala pengajian yang digunapakai adalah berdasarkan modul sekolah Imtiaz.

Menurutnya, para pelajar akan diambil di kalangan mereka yang belajar di sekolah Cina, kebanyakannya boleh berkomunikasi dalam bahasa berkenaan di samping hafaz al-Quran.

“Pengambilan pelajar akan dibuat menerusi sesi temuduga yang akan diadakan tidak lama lagi,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE