Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), Ruslan Ludin berkata, budaya membaca perlu diterap pada kanak-kanak seawal mungkin supaya lebih mudah menjadi tabiat dan amalan harian.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya melancarkan program yang dianjurkan sejak 2014 itu di lokasi seperti sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Tahun ini kita sengaja pilih murid prasekolah sebagaimana peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.

“Kita harap ini akan menjadi amalan mereka dan bila sudah biasa sudah tentu akan jadi tabiat yang diteruskan sehingga dewasa,” katanya selepas majlis pelancaran di Kompleks Perpaduan Kampung Terbak di sini hari ini.

Program anjuran PPAK dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) negeri itu telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Ab Hamid.

Yang turut hadir, Pengarah JPNIN negeri, Norwahidah Zinalibdin.

Pada majlis itu, seramai 650 pelajar pra sekolah dari Tabika Perpaduan dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sekitar daerah ini membaca secara serentak sebuah cerita kanak-kanak dari pukul 11.00 pagi hingga 11.10 pagi ini.

Sementara itu, Ruslan berkata, program yang turut dilaksanakan serentak hari ini di pelbagai agensi termasuk di sekolah Kementerian Pendidikan dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) itu dijangka menarik penyertaan 500,000 peserta dari seluruh negeri ini.

“Tahun lalu bilangan yang direkodkan adalah 328,999 orang, kita akan kumpul data dalam tempoh beberapa hari ini namun kita yakin jumlah tahun ini mampu naik hingga setengah juta orang berdasarkan komitmen memberangsangkan ramai pihak,” katanya.

Terdahulu, Siti Zabidah dalam ucapannya menyarankan ibu bapa menjadikan buku sebagai hadiah setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak.

“Saya berharap walaupun hari ini hanya 10 minit tetapi ia akan bercambah menjadi ribuan dan jutaan minit pada masa hadapan.

“Program tahun ini yang memilih murid pra sekolah adalah bertepatan untuk memupuk kesedaran membaca, saya sarankan guru dan ibu bapa memasukkan tempoh 10 minit sehari untuk membaca dalam jadual anak-anak kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE