Dalam sesi perkongsian itu, beliau menegaskan kepada pelajar UPM agar tidak gentar dengan kegagalan kerana ia adalah sebahagian daripada pengalaman hidup serta sebagai ‘senjata’ untuk persiapan masa depan yang cemerlang.

“Anda boleh melakukan apa sahaja yang anda impikan. Saya menggalakkan anda untuk mencapai impian anda, menikmati kehidupan, menjadi individu yang positif dan mencari penyelesaian positif dalam apa jua permasalahan,” katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa amalan pengurusan untuk berjaya memimpin sesebuah organisasi dalam jangka masa panjang.

“Anda harus memahami tugasan staf anda yang bekerja. Budaya kerja penting dalam sesebuah organisasi. Ketelusan adalah kunci kejayaan sesebuah organisasi. Saya sendiri masih ‘turun padang’ untuk memahami permasalahan dan keperluan staf di organisasi saya.

“Selain itu, kita perlu menjiwai kerjaya yang dilakukan kerana ini akan meningkatkan produktiviti serta memberi idea dalam mempertingkatkan kualiti kerja. Dalam pada itu, penjenamaan dan pemasaran syarikat adalah ‘kuasa’ untuk membina inovasi baharu,” katanya.

Program perkongsian ini turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pada tahun ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melantik empat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)serta Pegawai Kanan Kerajaan untuk berkolaborasi bersama UPM pada Majlis Apresiasi & Penyampaian Watikah Pelantikan, Program [email protected], anjuran Bahagian Hubungan Industri, KPT.

Di antara tugas CEO yang dilantik untuk [email protected] adalah berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan dunia korporat bersama staf UPM. Selain itu, program bersama mahasiswa pula membentuk serta membimbing dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta pembangunan sahsiah secara holistik.

Sementara itu, pada September tahun lalu, UPM telah menjemput Pengarah Penyelidikan & Teknologi, Kumpulan Rolls-Royce, Dr. Richard Parker.

Terdahulu, KPT melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi, PPPM (PT) pada 7 April 2015 yang disempurnakan Perdana Menteri.

Bagi menyokong lonjakan PPPM ini, kementerian telah melancarkan Program CEO Faculty (PCF) bagi membangunkan graduan yang seimbang daripada segi akhlak dan ilmu dengan meningkatkan minda berpandukan nilai dan keusahawanan.

Menerusi program itu, kerjasama industri akan dilibatkan dalam program pembelajaran melalui pengalaman, berserta kerangka penilaian bersepadu baharu yang melihat ke arah pembangunan holistik.

CEO yang terlibat akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan bagi membentuk serta membimbing pelajar meningkatkan kebolehpasaran graduan.
– UPM