Pengarah Polisas, Norlida Abd. Razak berkata, graduan yang dianugerahkan diploma kali ini merupakan mereka yang tamat pengajian pada sesi Disember 2016 dan Jun tahun lalu.

“Keseluruhan jumlah graduan yang dilahirkan Polisas sejak 1976 ialah seramai 49,795 orang membabitkan dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Teknologi Makanan.

“Majlis ini turut memberi penghargaan dan penghormatan kepada graduan yang me­nunjukkan dedikasi dan iltizam seperti Anugerah Kecemerla­ngan Akademik dan Kokurikulum Politeknik dan Jabatan, Anugerah Projek Terbaik serta Anugerah Pengarah Politeknik,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Kumpulan (Tadbir Urus Korporat dan Ekosistem Perniagaan) QSR Brands (M) Holdings Bhd., Datuk Faris Yahaya.

Menurut Norlida, Anugerah Khas Industri turut diberikan iaitu sumbangan pihak industri sebagai pengiktirafan kecemerlangan penuntut dalam bidang masing-masing.

“Antara industri yang memberikan penganugerahan dan sumbangan ialah Enviro Land Services, Koridor Utiliti Pahang Sdn. Bhd., Qlassic Services, Mega Building System Sdn. Bhd., BGRC, Sabraa Architect, USS Enginee­ring & Trading, Primabaguz Food Sdn. Bhd., Inspirasi Semut Sdn. Bhd., SMC Pneunatics Sdn. Bhd. dan Al Ekhwan Marine Enginee­ring Sdn. Bhd.

“Kami amat berbesar hati apabila PKT Logistics Groups Sdn. Bhd. bersetuju memberikan tajaan biasiswa kepada tiga penuntut Polisas sebanyak RM100,000 setiap seorang bagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah bagi kali keempat berturut-turut,” ujarnya.

Tambah beliau, sebagai sebuah institusi pendidikan yang memacu bidang teknikal dan vokasional, penganugerahan itu diharap menjadi pemangkin kepada graduan untuk lebih cemerlang dan mampu bersaing di pe­ringkat global.