Anak kepada pasangan peronda keselamatan dan guru itu muncul pelajar terbaik CBK negeri apabila mem­pe­roleh keputusan 5A termasuk satu A+ dalam subjek Pendidikan Syariah Islamiah.

Menurut Ahmad Shahir Safwan, dia disahkan menghidap penyakit glaukoma sejak menuntut di tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang, Dungun namun, tidak sesekali menjejaskan prestasi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) apabila meraih 8A.

“Awalnya rasa rendah diri sebab kita ada kekurangan manakala orang lain ada kelebihan tetapi mujurlah kawan-kawan, cikgu serta ibu dan ayah sentiasa bagi semangat untuk saya bangkit.

“Mata kanan saya sudah rosak 100 peratus manakala mata kiri cuma berfungsi 20 peratus lagi. Saya jangkakan keputusan saya lebih daripada 5A namun tetapi tidak ada rezeki dan saya bersyukur,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan SPM 2018 peringkat negeri di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini hari ini.

Kecemerlangan Ahmad Shahir Safwan dalam pelajaran bukan setakat SPM dan PT3 malah anak ketiga daripada enam beradik itu turut mendapat keputusan membanggakan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) iaitu 4A dan 1B.

Bagi merealisasikan impian bergelar pendidik sekali gus mengikut jejak langkah ibunya, Ahmad Shahir Safwan berhasrat untuk menyambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bidang matematik mahu pun agama.

Katanya, dia turut merancang untuk mempelajari Braille di masa hadapan kelak memandangkan penyakitnya yang tidak lagi boleh dirawat. - UTUSAN ONLINE