MOHD. AZRAAI KASSIM
MOHD. AZRAAI KASSIM 

Kehadiran Vivy yang juga pengasas bersama The dUCk Group iaitu jenama terkemuka dalam industri pakaian muslimah juga boleh memberi inspirasi kepada perniagaan baharu dalam kalangan warga terutamanya pelajar UiTM.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim, pengalaman luas yang dimiliki Vivy dalam bidang penjenamaan dan pemasaran diyakini dapat melonjakkan jenama serta produk UiTM supaya lebih gah di mata dunia.

Jelas beliau, sebagai Ketua Pegawai Kreatif FashionValet, Vivy tentunya amat peka dengan kehendak dan permintaan golongan milenium.

“Saya percaya universiti akan mendapat manfaat besar daripada pengalaman Vivy sebagai usahawan wanita yang sangat berjaya.

“Kami berharap untuk bekerjasama dengannya dalam usaha meningkatkan dan mengembangkan capaian keusahawanan UiTM dalam ekosistem global dan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pelantikan Vivy sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu UiTM diumumkan menerusi akaun Facebook rasmi universiti tersebut semalam dan mendapat pelbagai reaksi sama ada positif atau negatif daripada warga maya.

Vivy dilantik ke dalam barisan ahli lembaga pengarah untuk tempoh tiga tahun bagi menyertai Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM; Mohd. Sakeri Abdul Kadir; Datuk Mohd. Zaini Hassan dan Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Selain itu, barisan Lembaga Pengarah UiTM turut dianggotai Datin Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh dan Tan Sri Azizah Mokhzani. - UTUSAN ONLINE