Pegawai Belia dan Sukan UPM, Rohaida Hassan berkata, pasukan besbol UPM ke Jepun melalui program Baseball Exploration and Development Mobility Program (Badmo 2019).

Beliau berkata, beberapa siri perlawanan persahabatan juga telah diaturkan menerusi program yang dianjurkan Kelab Besbol Snitchers UPM dan Okayama Sanyo High School itu.

“Sebanyak 10 pemain, dua pegawai pengiring dan seorang pengurus akan terlibat dalam program ini. Perlawanan persahabatan akan melibatkan pasukan kelab di Jepun.

“Saya yakin melalui program ini, pasukan besbol UPM akan dapat mempelajari pelbagai teknik baharu dalam sukan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Rohaida, program itu juga akan menggalakkan perkongsian budaya antara komuniti yang berbeza di samping membentuk persefahaman dalam pembangunan mahasiswa.

“Melalui program ini, kami juga akan adakan aktiviti bersama pelajar dan masyarakat sekitar Okayama Sanyo High School selain lawatan ke kilang besbol dan fasiliti sukan di Jepun.

“Pertukaran idea dan teknik latihan dalam sukan besbol ini amat diharapkan bagi membolehkan ilmu yang dipelajari dapat diguna pakai di negara ini bagi memajukan sukan itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Badmo 2019 juga diharap membolehkan peserta mengukuhkan kemahiran dan menjadi perintis kepada pembangunan sukan besbol di Malaysia. - UTUSAN ONLINE