Program julung kali diadakan di pantai peranginan itu bukan sahaja disertai guru-guru dan ibu-bapa murid sekolah terbabit malah turut menarik perhatian kebanyakan pengunjung di situ.

Program dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim dan majlis pelepasan itu dianggap istimewa memandangkan penyu tidak lagi mendarat di pantai daerah ini, kecuali di Pulau Kapas kebelakangan ini.

Malah, empat spesies penyu iaitu Belimbing, Karah, Agar dan Lipas yang suatu ketika dahulu seringkali mendarat di pantai ini tidak lagi kelihatan ekoran habitatnya semakin terancam.

Sehubungan itu, Mohd. Huzairil, dalam ucapannya berharap agar program seumpama itu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai terutama mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

"Ia penting kerana laut yang bersih dan tidak tercemar dengan sampah sarap dan juga bahan-bahan toksid akan membantu usaha kita memelihara khazanah laut sekali gus membolehkan kehidupan haiwan juga tidak terancam," katanya ketika merasmikan program itu.

Yang turut hadir ialah Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Mohamad Firdaus Abdillah; Guru Besar SK Paya Resak, Ahmad Bustaman Rais dan Pengerusi Kelab Cakna Penyayang PPKI SK Paya Resak, Wan Muhd. Masyhum Wan Harujan.

Sementara itu, Ahmad Bustaman memberitahu, program itu diadakan antara lain sebagai latihan kepada murid mengenai cara berkomunikasi dan bersosial di tempat awam bersama kawan-kawan, guru dan ibu-bapa.

"Selain itu, ia juga satu pendedahan dan pengalaman baharu kepada murid-murid pendidikan khas di samping memberi kesedaran kepada komuniti setempat tentang kepentingan pemuliharaan penyu," ujarnya. - UTUSAN ONLINE