Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, peningkatan kualiti akademik dan intelektual merupakan faktor utama kecemerlangan yang menjadikan universiti itu pilihan pelajar antarabangsa bagi mengikuti pengajian.

Katanya, menerusi data sistem kajian mereka, Universiti Limkokwing telah melahirkan lebih 100,000 siswazah berkualiti dan mampu memenuhi permintaan pasaran. Ia terbukti dengan peratusan yang dapat pekerjaan selepas tamat pengajian di seluruh dunia.

“Memang menjadi matlamat Universiti Limkokwing melahirkan siswazah mampu memenuhi kehendak industri teknikal dan vokasional. Pendekatan budaya inovasi diterapkan di universiti ini.

“Kreativiti dan inovasi amat hidup di universiti ini dan diterjemahkan menerusi pelbagai cara. Inilah universiti yang terdapat anak muda dari pelbagai negara bagi membina kemahiran pendidikan untuk masa depan” katanya pada Majlis Graduasi Universiti Limkokwing 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Lebih 1,000 graduan dari 70 negara diraikan dalam majlis itu yang turut dihadiri Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku tetamu kehormat.

Kok Wing berkata, kejayaan graduan hari ini memberi gambaran pencapaian universiti yang bermula sebagai sebuah institusi kecil sehingga melalui proses evolusi menjadi institusi pengajian tinggi swasta yang menyumbang kepada industri teknikal dan vokasional di negara ini.

Pada majlis itu, Dr. Doaa S.I Awaja dari Palestin yang merupakan lulusan doktor falsafah (PhD) pengurusan diumumkan penerima Anugerah Canselor Kecemerlangan Akademik Universiti Limkokwing manakala suaminya, Dr. Ahmed R.S Awaja juga menerima PhD bidang sama.

Kesemua sijil dan anugerah disampaikan oleh Kok Wing.

Mereka membabitkan graduan peringkat doktor falsafah, sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma daripada pelbagai jurusan.