Inisiatif ini boleh membantu para pelajar untuk menyiapkan diri sebelum memasuki pasaran kerja sekali gus dapat memenuhi kehendak industri.

Pengerusi Eksekutif NADICORP Holdings Sdn. Bhd. (NADICORP Holdings), Tan Sri Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata, pihak industri perlu berkolaborasi dengan IPT mengikut bidang masing-masing kerana impaknya bersifat jangka panjang.

Menurut beliau, ini kerana pihak industri sering memberikan maklum balas terhadap kebolehpasaran graduan misalnya dalam aspek penguasaan kemahiran, bahasa dan ilmu terkini.

"Ada juga industri yang memberikan input kepada IPT bagi memperbaiki pelaksanaan kurikulum dalam merangka strategi terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

"Dengan cara ini maka isu graduan tak berkualiti tidak akan timbul apabila kedua-dua pihak iaitu industri dan IPT saling bekerjasama," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik (COC) Politeknik Ungku Omar (PUO) 2019 di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah PUO, Dr. Zairon Mustapha.

Program dengan kerjasama JobsMalaysia dan NADICORP Holdings ini menyaksikan sebanyak 20 rakan industri memeterai COC dengan PUO bagi memperkasakan pasaran kerja.

Sebanyak 40 syarikat dan agensi pula terlibat dalam pameran dan mengadakan sesi temuduga terbuka.

Mengulas mengenai program berkenaan, kata Mohd. Nadzmi, ia merupakan langkah positif untuk mendekati PUO dengan pihak industri dan sebaliknya.

Jelas beliau, ini juga merupakan satu inisiatif PUO bagi 'menjual' graduannya kepada pasaran pekerjaan.

"Menerusi COC ini pihak industri dapat mengenali PUO manakala pihak PUO pula boleh mengetahui apa yang dikehendaki oleh pasaran kerja di mana hasilnya adalah untuk para graduan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE