Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif yang dinamakan Gerakan Pertanian Al Falah (Gepa) Pondok itu merangkumi projek pertanian, penternakan dan perikanan mengikut kesesuaian dan sumber yang ada di pondok.

Beliau berkata, pelaksanaan projek pertanian di pondok ini telah bermula tahun lalu lagi dengan peruntukan RM150,000 melibatkan lima buah pondok sahaja pada peringkat awal dahulu.

“Kita beri cadangan, latihan dan input pertanian untuk mereka mulakan sesuatu projek, kalau pondok yang ada tanah luas mereka boleh bercucuk tanam dan menternak haiwan seperti kambing dan lembu.

“Kita syaratkan supaya setiap pondok terlibat mempunyai sekurang-kurangnya 10 orang yang ditugaskan dan benar-benar komited memastikan projek berjaya.

“Semua kerja dilakukan sendiri oleh warga pondok terdiri daripada guru dan pelajar supaya dapat menjana pendapatan selain hasil pertanian yang diperoleh digunakan untuk kegunaan sendiri,” katanya selepas majlis perasmian Ijtimak Pondok Semalaysia di Madinah Ramadan di sini semalam.

Program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Sementara itu, Tuan Mohd Saripudin berkata, pihaknya membantu memasarkan hasil pertanian yang dikeluarkan pondok melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) iaitu Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB)

Beliau berkata, antara pondok yang menyertai program itu adalah Pondok Seligi Pasir Puteh yang mendapat bantuan kandang kambing dan 12 ekor ibu kambing untuk pembiakan.

“Sekarang penternakan kambing di Pondok Seligi sudah berkembang kepada lebih 40 ekor dalam masa sekejap sahaja.

“Pondok Repek di Pasir Mas pula misalnya melaksanakan projek pertanian hidroponik dan kita sentiasa hantar pegawai untuk bantu mereka.

“Manakala pondok di Padang Halban pula mengusahakan penternakan ayam kampung yang kini sudah mengeluarkan hasil,” katanya. - UTUSAN ONLINE